#7823: Kelebihan Beristighfar Serta Faedahnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan kelebihan dan faedah istighfar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”

(Surah Nuh: 10-12)

Berkenaan persoalan di atas, terdapat banyak kelebihan dan faedah beristighfar. Antaranya:

  • Mendapat keampunan Allah SWT dan keredhaan daripada-Nya walaupun beliau melarikan diri dari peperangan.
  • Allah SWT amat suka orang yang bertaubat dan beristighfar. Firman Allah SWT:

 إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ

Maksudnya: “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat.”

(Surah al-Baqarah: 222)

  • Mustajab doa
  • Mendapat pelepasan dari bala
  • Menjadi pengikut Nabi SAW dan contoh perbuatan Rasulullah SAW yang banyak beristighfar
  • Diberi pertolongan dengan hujan
  • Direzekikan dengan anak yang ramai
  • Direzekikan dengan harta benda yang melimpah ruah
  • Direzekikan dengan kebun-kebun yang subur.

Hal ini berdasarkan pengamatan kami dengan nas-nas sama ada al-Quran mahupun al-Hadith. Sebenarnya, banyak lagi kelebihan dan faedah istighfar. Makin seseorang itu melazimi istighfar, maka makin baiklah kehidupannya serta diberi pelbagai bentuk kebaikan dan keuntungan dalam kehidupan. Banyak urusan yang sukar akan dimudahkan Allah SWT serta menjadi golongan yang mendapat manfaat dan kelebihan dari pelbagai sudut di muka bumi ini.

Kami nyatakan sebuah hadith Nabi SAW: Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن لَزِمَ الاستِغفارَ، جَعَلَ اللهُ له مِن كُلِّ ضِيقٍ مَخرَجًا، ومِن كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، ورَزَقَه مِن حيث لا يَحتَسِبُ.

Maksudnya: “Siapa yang melazimi istighfar, nescaya Allah jadikan baginya setiap kesempitan ada jalan keluar, setiap dukacita ada pelepasan dan Allah rezekikannya sekira-kira dia tidak menyangkanya.”

Riwayat Abu Dawud (1518), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10290), Ibn Majah (3819) dan Abdullah bin Ahmad dalam Zawa’id al-Musnad (2234).

Syeikh al-’Azim Abadi dalam Aun al-Ma’bud (4/267) berkata: Siapa yang melazimi istighfar ketika berlakunya maksiat dan ditimpa bala atau siapa yang melazimi istighfar pada setiap waktunya yang dia perlukannya nescaya terhasil. Kerana itu, Rasulullah SAW bersabda:

طُوبَى لِمَنْ وَجَدَ فِي صَحِيفَتِهِ اسْتِغْفَارًا كَثِيرًا ‏

Maksudnya: “Beruntunglah seseorang yang mendapati banyak (amalan) istighfar di dalam catatan amalannya.”

Riwayat Ibn Majah (3818)

Daripada ‘Ali bin al-Husain bin ‘Ali R.Anhum, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أُنْعِمَ عَلَيْهِ نِعْمَةٌ فَلْيَحْمَدِ الله وَمَنِ اسْتَبْطَأَ الرِّزْقَ فَلْيَسْتَغْفِرِ الله وَمَنْ حَزَبَهُ أَمْرٌ فَلْيَقُلْ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَاّ بِالله

Maksudnya: “Siapa yang diberi nikmat, maka hendaklah memuji Allah, dan siapa yang sukar mendapat rezeki, maka hendaklah beristighfar kepada Allah. Siapa yang diuji dengan sesuatu perkara, maka hendaklah ia menyebut: ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَاّ بِالله’

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (2/155). Dinyatakan sebagai dha’if dalam al-Silsilah al-Dha’if (4565)

Justeru, lazimilah istighfar sebagaimana perintah Allah SWT dan Nabi-Nya.

Kami akhiri dengan dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”