Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana tips untuk memperoleh khusyuk di dalam solat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”
(Surah al-Mu’minun: 1-2)
Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan ayat ini menyebut, khusyuk merupakan perkara di dalam hati. Sekiranya seseorang itu khusyuk ketika solat maka anggota badan juga turut akan khusyuk disebabkan hatinya khusyuk melakukan solat. Imam al-Qurtubi menceritakan seorang ulama ketika melakukan solat, maka ia akan melakukan dengan mengagungkan Allah SWT dengan memalingkan pandangannya daripada sesuatu urusan keduniaan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 12/103)
Imam Al-Syaukani ketika mengulas ayat ini berkata: Sebahagian ulama memasukkan khusyu’ sebagai sebahagian daripada perbuatan hati seperti perasaan takut dan juga gerun. Manakala sebahagian yang lain mengatakan ia termasuk sebahagian dari perbuatan anggota badan seperti tenang dalam solat, tidak beralih ke sana sini, dan tidak melakukan perkara sia-sia di dalam solat. Dan dari segi bahasa khusyuk bermaksud: Tenang, tawadhu’ (rendah diri), takut, dan juga perasaan hina diri. (Lihat Fath al-Qadir, 1/977).
Kami bahagikan di sini beberapa bahagian untuk mendapatkan kekhusyukan di dalam solat. Bahagian pertama ialah sebelum mendirikan solat iaitu persediaan untuk solat, kedua ketika hendak hampir solat dan ketiga ketika dalam solat:
Pertama: Persediaan Untuk Solat
- Solat tepat pada waktu.
Firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
(Surah al-Nisa’: 103)
Daripada ayat ini Imam Abu Ja’far al-Tahawi berkata terdapat tiga tafsiran ulama tentang ayat ini; bahawa solat itu ialah kefarduan yang difardukan, bahawa solat itu fardu yang diwajibkan dan bahawa solat itu ditentukan masa pelaksanaannya. Beliau berkata tafsiran-tafsiran itu dekat antara satu sama lain. Ini kerana suatu yang fardu itu adalah kewajiban, dan kewajiban itu ditunaikan pada selepas masuk waktu yang telah ditentukan. (Lihat Jami’ al-Bayan, 9/170)
Dan ada hadis pula yang menyatakan bahawa solat di awal waktu itulah yang paling afdhal, ini sebagaimana hadis daripada Ummu Farwah, beliau berkata:
سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – أَىُّ الأَعْمَالِ أَفْضَلُ؟ قَالَ: الصَّلاَةُ فِى أَوَّلِ وَقْتِهَا.
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah ditanya, amalan apakah yang paling afdhal. Lalu Baginda pun menjawab: “Solat di awal waktunya.”
Riwayat Abu Daud (426)
Di sini menunjukkan pentingnya menjaga solat pada waktunya, malah pada awal waktu solat; kerana apabila seseorang menunaikannya pada awal waktu, dia telah mengambil langkah awal untuk memenuhi tanggungjawabnya. Berbeza pula dengan orang yang menangguhkan solat sehingga ke hujung waktu, boleh jadi dia solat di luar dari waktu solat tersebut dan menyebabkan solatnya diluar daripada waktu yang sepatutnya. Oleh yang demikian, hendaklah menyegerakan solat pada awal waktu sebagai menunaikan tanggungjawab dan tidak bertangguh dari melaksanakannya sehingga akhir waktu. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 62/20)
Justeru, melaksanakan solat pada awal waktu memberi ruang untuk melakukannya dengan tenang dan penuh fokus tanpa tergesa-gesa. Ini membantu mencapai kekhusyukan dalam ibadah, dan dapat menghadirkan jiwa ketika ketika mengabdikan diri kepada Allah SWT.
- Membersihkan diri dan bersugi.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ وُضُوءٍ
Maksudnya: “Jikalau tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali wudhu’.”
Riwayat al-Bukhari (1934)
Ibn Battal ketika mensyarahkan ayat “kalaulah tidak menyusahkan umatku” beliau menyatakan: Ia menunjukkan perkara sunat yang disukai (مُسْتَحَب) kerana kelebihannya dapat menghilangkan bau mulut serta sentiasa bersih ketika hendak bermunajat kepada Allah SWT. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari li lbn Battal, 2/486)
Menjaga kebersihan diri, termasuk membersihkan mulut adalah sangat penting sebelum mendirikan solat. Rasulullah SAW mendorong umatnya untuk menjaga kebersihan dengan memastikan tubuh yang bersih dan wangi, agar dapat mencapai ketenangan jiwa dan khusyuk dalam ibadah kepada Allah SWT.
- Jangan solat jika makanan telah tersedia.
Daripada Aisyah, beliau berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
لاَ صَلاَةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلاَ وَهُوَ يُدَافِعُهُ الأَخْبَثَانِ
Maksudnya: “Jangan solat ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.”
Riwayat Muslim (560)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas berkata: “Pada hadith-hadith ini menunjukkan kemakruhan solat ketika terhidangnya makanan yang ingin dimakannya kerana perbuatan ini akan menyibukkan hati dengannya (makanan) dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. Makruh juga bagi orang yang solat dalam keadaan menahan dua perkara yang kotor, iaitu membuang air kecil dan besar. Maka dengan itu, apa yang boleh difahami adalah (solat ketika makanan terhidang) hal ini akan menyibukkan hati dan menghilang kesempurnaan khusyuk. Kemakruhan ini adalah di sisi jumhur ashab kami (ulama’ al-Syafi’eyyah) dan selain daripada mereka.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/46)
Imam Muslim ada menulis satu bab dalam Sahihnya berkenaan dengan hukum makruh solat jika makanan telah tersedia dan seseorang itu berkeinginan untuk makan.
Ibn Qudamah juga ada menyebut berkenaan pentingnya melapangkan hati dalam menghadirkan khusyuk ketika solat. Kata beliau: “Apabila telah tersedia makan ketika waktu solat, maka sunat dimakan terlebih dahulu sebelum daripada solat. Ini kerana, ia akan melapangkan hati dan menghadirkan khusyuk. Selain itu, tidak disunatkan untuk tergesa-gesa ketika makan malam atau makan tengahari.” (Lihat al-Mughni, 1/655)
- Jangan solat dalam keadaan menahan air besar dan kecil.
لاَ صَلاَةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلاَ وَهُوَ يُدَافِعُهُ الأَخْبَثَانِ
Maksudnya: “Jangan solat ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.”
Riwayat Muslim (560)
Bagi ulama yang berpendapat bahawa khusyuk termasuk dalam kewajiban solat, bererti maksud kata “laa” dalam hadis menunjukkan tidak sah solat dengan menahan kencing. Sedangkan menurut jumhur atau majaoriti ulama bahawa khusyuk adalah sunnah, bukan wajib. Sehingga “laa” yang dimaksud dalam hadis adalah menafikan kesempurnaan solat atau hadis tersebut diertikan “tidak sempurna solat dari orang yang menahan kencing”.
Menurut jumhur ulama, menahan kentut juga hukumnya makruh. Imam Nawawi berkata: “Menahan kencing dan menahan dari membuang air besar (termasuk kentut) mengakibatkan hati seseorang tidak fokus di dalam solat dan khusyuknya akan terganggu. Menahan qadha hajat seperti itu hukumnya adalah makruh menurut majoriti ulama Syafi’iyah dan juga ulama selainnya. Jika waktu solat masih luas (masih ada waktu yang luas untuk qadha hajat), maka hukumnya adalah makruh. Namun bila waktunya sempit untuk solat, contohnya jika makan atau bersuci boleh keluar dari waktu solat, maka (walau dalam keadaan menahan kencing), tetap kena solat pada waktunya dan tidak boleh ditangguh lagi.”
Imam Nawawi berkata lagi: “Jika seseorang solat dalam keadaan menahan kencing padahal masih ada waktu yang luas untuk melaksanakan solat setelah buang hajat, solat pada ketika itu hukumnya adalah makruh. Namun, solat tersebut tetaplah sah menurut kami -ulama Syafi’i- dan inilah pendapat jumhur atau majoriti ulama.” (Lihat Syarh Shahih Muslim, 5/46)
Al-San’ani berkata: “Perlu diingat bahawa hal ini bukan termasuk bab mendahulukan hak hamba mengatasi hak Allah, tetapi itu termasuk masalah menjaga hak Pencipta, agar tidak termasuk dalam ibadah kepada-Nya dengan keadaan hati yang tidak diterima munajatnya.” (Lihat Taisir al-Allam Syarh Umdah al-Ahkam, 104-107)
- Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
Memakai pakaian yang kemas dan selesa akan memudahkan untuk khusyuk di dalam solat. Ini kerana, terdapat sebahagian orang yang solat tidak khusyuk disebabkan memakai pakaian yang ketat, pakaian yang singkat dan sebagainya.
Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ
Maksudnya: ”Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).”
(Surah al-‘A’raf: 31)
Perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat tersebut di atas ialah pakaian yang menutup aurat untuk mengerjakan solat. Tambahan lagi, memakai pakaian yang terbaik untuk menunaikan solat ialah sunnah Rasulullah SAW. Ayat ini juga merupakan dalil kewajipan menutup aurat semasa mendirikan solat. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 3/405)
Ibnu Kathir menjelaskan, di dalam ayat ini terdapat makna bahawa sunnah memakai pakaian yang kemas dan sesuai ketika solat, terutama pada hari Jumaat dan hari raya. Begitu juga digalakkan memakai wangi-wangian dan bersiwak kerana ia juga termasuk dalam maksud berhias dan kedua-duanya itu merupakan satu kesempurnaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/256).
Pakaian yang bersih dan kemas, memainkan peranan penting dalam membantu seseorang untuk fokus, tenteram, dan khusyuk semasa menjalankan ibadah solat. Pakaian yang tidak kemas, terlalu ketat, atau mengandungi gambar yang tidak sesuai tidak hanya dapat mengganggu khusyuk individu yang sedang solat, tetapi juga dapat mengganggu orang lain di sekelilingnya yang sedang menjalankan ibadah mereka. Oleh itu, memastikan kekemasan pakaian sebelum mendirikan solat merupakan perkara yang penting dalam menghadirkan khusyuk dalam solat.
- Jangan makan dan minum berlebihan ketika hendak solat.
Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-‘A’raf: 31)
Menurut Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas, beliau menyebutkan, hal tersebut merujuk kepada perbuatan berlebih-lebihan. Ia boleh berlaku dengan beberapa cara, seperti makan atau minum berlebihan hingga membahayakan tubuh, kemewahan dan pemborosan dalam makanan, minuman, dan pakaian, atau melampaui batasan halal sehingga membawa kepada haram.
Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas kerana ia boleh membawa kepada membahayakan tubuh badan dan kehidupan manusia. Bahkan boleh menyebabkan ketidakmampuan untuk memberi nafkah. Justeru, ayat ini mengandungi perintah untuk makan dan minum, di samping larangan untuk meninggalkannya serta larangan berlebih-lebihan padanya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/287)
Hal ini juga dinyatakan oleh Nabi SAW di dalam satu hadith daripada Miqdam bin Ma’di Karib RA, Nabi SAW bersabda:
مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ
Maksudnya: “Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suapan yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya dia tidak dapat (berbuat demikan), maka satu per tiga untuk makanan, satu per tiga untuk minuman dan satu per tiga untuk pernafasan.”
Riwayat al-Tirmizi (2380). Menurut beliau, hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al- Bari pula menyatakan hadis ini hasan.
Justeru Kekhusyukan semasa solat juga boleh terjejas oleh pengambilan makanan dan minuman yang berlebihan. Untuk kekal selesa semasa ibadah, adalah penting untuk mengawal jumlah makanan dan minuman yang diambil sebelum solat. Terlampau kenyang boleh menyebabkan rasa tidak selesa semasa sujud atau rukuk dan ia menganggu fokus semasa beribadah. Oleh itu, untuk kekal khusyuk semasa beribadah, adalah penting untuk mengawasi jumlah makanan dan minuman yang diambil sebelum solat.
Kedua: Ketika Hendak Hampir Solat
- Dilakukan secara berjemaah
Dalam ajaran Islam, mendirikan solat secara berjemaah adalah satu amalan yang sangat ditekankan. Ia bukan sahaja membantu dalam mencapai kekhusyukan dalam solat, tetapi ia merupakan amalan yang dapat meraih ganjaran yang berlipat kali ganda. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”
Riwayat Muslim (1509)
Di dalam riwayat lain menyatakan:
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا
Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.”
Riwayat Muslim (1504)
Imam Al-Nawawi menyebut bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Lihat Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/183)
Dalam solat berjemaah, individu menyempurnakan ibadah secara bersama, dengan seorang imam yang menjadi pemimpin solat dan yang lain mengikutinya. Kebersamaan dalam gerakan, dan doa yang dilafaz secara serentak, serta suasana ibadah berjemaah dapat membantu dalam meningkatkan fokus, dan kekhusyukan ketika beribadah kepada Allah SWT.
- Menghadirkan hati.
Salah satu cara untuk meningkatkan kualiti ibadah kita kepada Allah SWT ialah dengan menghadirkan diri dan hati untuk mencapai kekhusyukan. Khusyuk adalah di mana keadaan hati yang tenang, tenteram, dan sepenuhnya tertumpu kepada hubungan hamba dengan Tuhannya.
Syeikh Ibn Baz Rahimahullah menyatakan bahawa: Khusyuk dalam solat adalah menghadirkan hati di hadapan Allah, serta mengarahkan perhatian dan kecenderungan kepada-Nya. Dalam situasi ini, seseorang menghayati kebesaran Allah SWT, menyedari bahawa dia berharap kepada rahmat-Nya dan takut kepada hukuman-Nya. Ini menghasilkan khusyuk, perasaan rendah diri, serta menempatkan hati di hadapan Allah.[1]
- Mengibaratkan sebagai solat yang terakhir atau mengingati mati
Tiada keraguan bahawa sesiapa yang memulakan solat sambil mengingati kematian, dan takut bahawa solat itu mungkin solat terakhir yang dia lakukan, dia pasti akan merasai khusyuk dalam solatnya. Diriwayatkan daripada Anas R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda :
اذْكُرِ المَوتَ فِى صَلَاتِكَ فإنَّ الرَّجُلَ إِذَا ذَكَرَ المَوْتَ فِى صَلَاتِهِ فَحَرِىٌّ أْن يُحْسِنَ صَلَاتَه وَصَلِّ صَلَاةَ رَجُلٍ لَا يَظُنّ أنَّهُ يُصَلِّى صَلَاةً غيرَهَا وَإِيَّاكَ وكلَّ أمرٍ يعتذرُ مِنْهُ
Maksudnya: “Ingatlah kematian dalam solatmu kerana jika seseorang mengingat mati dalam solatnya, maka ia akan memperelokkan solatnya. Solatlah seperti solat orang yang tidak menyangka bahawa dia masih berkesempatan untuk melakukan solat yang lain. Hati-hatilah dengan perkara yang kelak kamu terpaksa meminta uzur (meralatnya) (kerana tidak mampu memenuhinya).”
Riwayat al-Baihaqi dalam Kitab Al-Zuhd (527)
- Tidak melakukan maksiat ketika sebelum solat.
Firman Allah SWT:
تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ ۚ وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١٣﴾ وَمَن يَعْصِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُّهِينٌ
Maksudnya: “Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.”
(Surah al-Nisa’: 13-14)
Telah dinyatakan dalam Fatawa Nur ‘ala Darb bahawa: Antara faktor terbesar untuk mencapai khusyuk adalah dengan meninggalkan dosa-dosa, berwaspada daripadanya, berjuang untuk menahan diri daripada melakukan dosa-dosa tersebut, dan bertaubat kepada Allah daripadanya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala Darb, 8/9)
Ketiga: Ketika dalam Solat.
- Memahami dan menghayati bacaan dalam solat
Antara cara yang dapat membantu seseorang untuk khusyuk di dalam solatnya adalah dengan meneliti dan menghayati makna-makna bacaan di dalam solatnya. Hal ini kerana, solat adalah saat berdirinya seorang hamba di hadapan Tuhannya. Justeru segala bacaan ayat di dalam solat perlulah difahami dengan baik kerana al-Quran itu sendiri merupakan kalamullah.
Supaya kita tidak menjadi orang yang seperti di dalam ungkapan ini: “Jangan jadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai menuturkan kata-kata tetapi tidak tahu apa makna dan maksudnya.”
Justeru itu amatlah digalakkan untuk memahami setiap makna ayat-Quran yang dibacakan di dalam solat kerana ia akan lebih menambah kekhusyukkan di dalam solat.
- Memahami fiqh solat dengan sempurna
- Merendahkan dan menghinakan diri di hadapan Allah SWT.
- Mengagungkan allah swt
- Memperbanyakkan sunnah dalam solat sama ada qauli atau fi’li
- Membaca doa yang sunnah dalam solat
- Menghadirkan hati ketika sujud.
Ini kerana sewaktu sujud merupakan saat paling hampir antara hamba dengan Tuhan-Nya.
- Memohon perlindungan daripada gangguan syaitan
- Tidak memikirkan hal keduniaan
- Mengurangkan pergerakan tubuh.
- Tidak melihat ke langit.
- Lihat pada tempat sujud dan pada tempat yang mendatangkan kekhusyukkan.
- Lakukan dengan tama’ninah serta tidak tergopoh-gapah
Antara cara untuk mendapatkan kekhusyukan di dalam solat adalah dengan melakukannya dengan penuh ketenangan. Perbuatan gopoh-gapah di dalam solat dengan cara melakukannya dengan laju, tidak ada thoma’ninah (ketenangan) di dalam rukuk dan sujud adalah dilarang oleh Nabi S.A.W. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَدَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَرَدَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم عَلَيْهِ السَّلاَمَ فَقَالَ ” ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW masuk ke dalam sebuah masjid lalu seorang lelaki juga turut masuk ke dalam masjid tersebut dan dia melakukan solat dua rakaat kemudian dia datang ke arah Nabi dan memberi salam kepada baginda. Maka Rasulullah SAW menjawab salam tersebut lalu berkata: Pergilah kamu dan solatlah kembali kerana sesungguhnya kamu masih belum solat.”
Riwayat Al-Bukhari (793)
Kami menutup isu ini dengan sebuah kisah, bagaimana seorang sahabat bernama Abu Talhah R.A sedang solat di kebunnya yang terdapat padanya pohon kayu. Tiba-tiba, ia terpandang seekor burung kecil yang sedang berterbangan di pohon kayu, mencari tempat keluar. Matanya mengekori burung tersebut sedangkan dia terlupa berapa rakaat dia solat. Kemudian, dia laporkan hal itu kepada Rasulullah SAW tentang fitnah yang dihadapinya seraya berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ، هُوَ صَدَقَةٌ للَّهِ فَضَعْهُ حَيْثُ شِئْتَ.
Maksudnya: “Ya Rasulullah, ia (kebunku) adalah sedekah. Maka berilah mengikut kamu kehendak mengikut siapa.”
Riwayat Imam Malik dalam al-Muwattta’ (69)
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.
[1] Lihat: https://binbaz.org.sa/fatwas/9882/% Diakses pada 26 Disember 2023