Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah perspektif Islam berkenaan perancangan keluarga?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ
Maksudnya: “Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”
(Surah al-Syura: 49)
Ibn Kathir berkata: “Allah SWT memberitahu bahawa Dia memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan menahan rezeki daripada siapa yang Dia kehendaki. Tidak ada yang dapat menghalangi apa yang Dia berikan, dan tidak ada yang dapat memberikan apa yang Dia tahan. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memberi anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Contohnya adalah Nabi Lut, yang hanya diberikan anak perempuan”. Dia juga memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Seperti Nabi Ibrahim yang tidak diberikan anak perempuan”. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/198)
Para ulama’ berbeza pandangan tentang hukum tanzim al-usrah atau perancangan keluarga atas alasan bebanan kehidupan. Kami kemukakan perbezaan pandangan serta hujah-hujahnya seperti berikut:
Pendapat Pertama: Tidak Dibenarkan
Menurut mereka yang cenderung melarang perancangan keluarga ini, rezeki itu berada dalam ketentuan Allah SWT, dan Allah jua yang menetapkan pembahagian rezeki bagi setiap anak. Ini sebagaimana disebutkan dalam firman-Nya:
وَلاَ تَقْتُلُواْ أَوْلاَدَكُم مِّنْ إمْلاَقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ
Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.
( Surah al-An‘am: 151)
Perbuatan ini juga menyerupai amalan Jahiliyyah yang membunuh anak-anak mereka kerana takut miskin, sekalipun kaedah ini sekadar cubaan untuk menghalang kelahiran anak. Namun tujuannya adalah sama, yakni takut miskin, sedangkan kaedah fiqh ada menyebut:
الوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَامُ الْمَقَاصِدِ
Maksudnya: “Suatu wasilah (cara atau perantara) itu mengambil hukum yang sama dengan perkara yang hendak dicapai.”
Rezeki itu adalah milik Allah SWT, dan perancangan keluarga kerana takutkan kemiskinan ialah suatu bentuk sangka buruk kepada Allah. Maka sepatutnya seseorang itu bertawakal kepada Allah kerana Allah akan memberikan rezeki kepada siapa yang Dia ingini tanpa hisab. Wajib baginya berbaik sangka kepada Allah kerana seseorang itu tidak mengetahui hakikat kebaikan dan keperluan yang sebenar seperti yang ditentukan oleh Allah.
Firman Allah SWT:
وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu, dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya.”
(Surah al-Baqarah: 216)
Pendapat Kedua: Dibenarkan
Bagi mereka yang membenarkannya, mereka memperincikan perancangan keluarga kepada tanzim al-nasl (تَنْظِيمُ النَّسْلِ) dan tahdid al-nasl (تَحْدِيدُ النَّسْلِ).
Tanzim al-Nasl (تَنْظِيمُ النَّسْلِ) merujuk kepada usaha untuk menjarakkan anak dengan menggunakan kaedah-kaedah seperti memakan ubatan pil perancang, melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur, memakai kondom, melakukan ‘azl (ejakulasi luar rahim), mengeluarkan air mani daripada kemaluan isteri selepas selesai persetubuhan dan memasang peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara. Kaedah ini diharuskan dengan syarat-syarat:
- Iktikad bahawa jika Allah ingin mengurniakan anak juga, tiada siapa yang boleh menghalang dan wajiblah pasangan memelihara kandungan dan menjaga maslahatnya.
- Tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya isteri.
- Dilakukan dengan kebenaran dan persetujuan kedua-dua suami isteri.
Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:
كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ ﷺ وَالْقُرْآنُ يَنْزِلُ
Maksudnya: “Kami melakukan ‘azl pada zaman Nabi SAW dan al-Quran sedang turun.”
Riwayat al-Bukhari (5207) dan Muslim (1440)
Di dalam riwayat lain pula daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:
كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَبَلَغَ ذَلِكَ نَبِيَّ اللَّهِ ﷺ فَلَمْ يَنْهَنَا
Maksudnya: “Kami selalu melakukan ‘azl ketika zaman Rasulullah SAW masih hidup dan Baginda mengetahuinya, tetapi Baginda tidak pernah menghalang kami melakukannya.”
Riwayat al-Bukhari (5207) dan Muslim (1440)
Dapat difahami daripada hadith Jabir ini bahawa mereka melakukan perkara tersebut pada zaman Rasulullah SAW masih hidup dan semasa al-Quran masih diturunkan, dan yang ingin dimaksudkan adalah perbuatan mereka tersebut tidak dilarang oleh syara‘.
Di dalam riwayat lain menyebutkan dengan jelas sebab mengapa sebahagian sahabat melakukan ‘azlini. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:
ذُكِرَ الْعَزْلُ عِنْدَ النَّبِيِّ ﷺ فَقَالَ: وَمَا ذَاكُمْ. قَالُوا الرَّجُلُ تَكُونُ لَهُ الْمَرْأَةُ تُرْضِعُ فَيُصِيبُ مِنْهَا وَيَكْرَهُ أَنْ تَحْمِلَ مِنْهُ وَالرَّجُلُ تَكُونُ لَهُ الأَمَةُ فَيُصِيبُ مِنْهَا وَيَكْرَهُ أَنْ تَحْمِلَ مِنْهُ. قَالَ: فَلاَ عَلَيْكُمْ أَنْ لاَ تَفْعَلُوا ذَاكُمْ فَإِنَّمَا هُوَ الْقَدَرُ
Maksudnya: “Telah diceritakan kepada Nabi SAW tentang ‘azl, lalu Baginda bertanya: ‘Mengapa buat begitu?’ Sahabat berkata: ‘Ada lelaki yang mempunyai isteri yang masih menyususkan anak, maka dia tidak suka jika isterinya mengandung dengan melepaskan air mani dalam rahim. Dan ada lelaki yang mempunyai hamba perempuan, maka dia tidak mahu perbuatannya menyebabkan hamba tersebut mengandung’ Lalu Baginda bersabda: ‘Apa yang baik atas kamu agar kamu tidak melakukannya, sesungguhnya ia (kehamilan) berdasarkan taqdir’.”
Riwayat al-Bukhari (2542) dan Muslim (1438)
Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, terdapat isyarat bahawa ada dua sebab dilakukan ‘azl pada zaman tersebut. Pertama, kerana tidak mahukan kelahiran anak dari hamba perempuan, baik kerana atas keinginan sendiri atau agar tidak susah untuk menjual hamba tersebut jika ia memiliki anak. Kedua, kerana tidak mahukan wanita yang sedang menyusui anak mengandung lagi, kerana perkara itu dapat membahayakan kesihatan anak yang menyusu. (Lihat Fath al-Bari, 9/307)
Meskipun ia pernah dilakukan oleh sahabat semasa hayat Rasulullah SAW, tidak bermakna ia merupakan amalan yang digalakkan atau diterima baik oleh Baginda SAW. Ini berdasarkan riwayat lain daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَا عَلَيْكُمْ أَنْ لَا تَفْعَلُوا، فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ كَتَبَ مَنْ هُوَ خَالِقٌ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ
Maksudnya: “Apa yang baik atas kamu agar kamu tidak melakukannya, kerana Allah telah menulis siapakah yang menjadi Pencipta (bagi setiap sesuatu) sehingga Hari Kiamat.”
Dan Abu Sa‘id juga berkata:
لَيْسَتْ نَفْسٌ مَخْلُوقَةٌ إِلَّا اللَّهُ خَالِقُهَا
Maksudnya: “Tiada suatu nyawa pun yang diciptakan melainkan Allahlah Penciptanya.”
Riwayat al-Bukhari (7809)
Diriwayatkan juga daripada Sa‘id al-Khudri R.A bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ كُلِّ الْمَاءِ يَكُونُ الْوَلَدُ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ خَلْقَ شَيْءٍ لَمْ يَمْنَعْهُ شَيْءٌ
Maksudnya: “Tidak semua air mani itu diperlukan untuk menjadi seorang bayi. Dan apabila Allah ingin menciptakan sesuatu, tiada apa yang dapat menghalang-Nya.”
Riwayat Muslim (1438)
Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, Rasulullah SAW tidak melarang secara jelas perbuatan ‘azl itu, akan tetapi Baginda SAW memberi isyarat bahawa sebaiknya perbuatan tersebut ditinggalkan kerana ianya tidak mendatangkan apa-apa faedah. Allah SWT Maha berkuasa menciptakan anak tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 9/307)
Manakala Tahdid al-Nasal (تَحْدِيدُ النَّسْلِ) atau membataskan anak pula menggunakan kaedah yang lebih melibatkan campur tangan perubatan yang kekal seperti pemandulan kekal dan melakukan pengguguran. Kaedah ini dianggap haram kerana melibatkan pengubahan ciptaan Allah, merosakkan asas kehidupan dan melakukan pembunuhan. Ini juga tindakan yang menafikan Allah sebagai Pemberi Rezeki bagi ibu bapa dan anak-anak. Apatah lagi jika ia dilakukan oleh wanita atau lelaki yang belum berkahwin.
Pengecualian khusus hanya diberikan apabila terdapat kes-kes tertentu yang melibatkan masalah kesihatan sehingga mengancam nyawa seseorang wanita seperti risiko besar kematian atau menyebabkan masalah kesihatan yang kritikal bagi ibu akibat mengandung dan bersalin. Maka ketika itu, boleh dilakukan pengguguran sebelum kandungan mencapai umur 120 hari daripada tarikh persenyawaan berlaku, atau 106 hari daripada hari terakhir haid.
Fatwa-Fatwa Ulama dan Badan Berautoriti
Pertama: Imam al-Ghazali
Imam al-Ghazali juga menyebutkan bahawa hukum perancangan keluarga ini adalah harus atas faktor ekonomi, kesihatan isteri, dan kecantikan isteri bagi tujuan kasih sayang berpanjangan antara pasangan untuk mengelakkan penceraian.
Adapun faktor yang tidak boleh diterima dan berdosa seperti takut untuk mendapat anak perempuan adalah diharamkan. Pengguguran kandungan juga adalah haram secara mutlak sekalipun pada peringkat awal seperti nutfah kerana ianya asas kehidupan manusia. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 2/52)
Kedua: Majma’ al-Fiqh al-Islami
Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuwait pada 1-6 Jumadil Akhir 1409 H bersamaan 15 Disember 1988 M telah memutuskan, antara lain:
- Haramnya menghilangkan kemampuan reproduksi daripada lelaki ataupun wanita, seperti apa yang dikenali dengan pemandulan. Pengecualian diberikan dalam kes-kes darurat yang perlu ditimbang dengan kayu ukur yang Syar‘i.
- Dibolehkan untuk mengawal secara sementara kemampuan reproduksi dengan tujuan menjarakkan antara tempoh-tempoh kehamilan, atau menghentikan bagi tempoh tertentu, jika terdapat keperluan yang diambil kira oleh syara‘, berdasarkan persetujuan dan keredhaan daripada perbincangan antara kedua pasangan yang sah, dengan syarat kaedah kawalan itu tidak mendatangkan mudharat, berdasarkan kaedah yang tepat dengan syariat, dan tidak menzalimi kandungan yang sedia ada. (Lihat Majallah al-Majma’ Siri 4, 1/73)
Ketiga: Syeikh Atiyyah Saqr
Syeikh Atiyyah Saqr pada Mei, 1997 melalui Dar al-Ifta’ al-Misriyyah mengeluarkan fatwa atas soalan hukum melakukan pemandulan bagi tujuan perancangan keluarga bahawa dibolehkan pemandulan atas alasan kesihatan atau selainnya bagi tempoh tertentu, dengan syarat kemampuan untuk reproduksi itu kekal dan boleh digunakan kembali apabila masa berlalu. Justeru, tidak boleh pemandulan itu dilakukan jika kesannya bersifat sempurna dan kekal sehingga hilang kemampuan dan fungsinya, melainkan wujudnya kemudaratan yang serius. (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 47/10)
Keempat: Syeikh Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani
Beliau dalam kitabnya Adab al-Islam fi Nizam al-Usrah menyatakan pendiriannya berkenaan ideologi Childfree ini. Katanya: “Prinsip yang saya pegang dan amalkan sebagai pegangan beragama kepada Allah SWT adalah bahawa pemikiran dan ideologi memutuskan keturunan sebagai prinsip hidup merupakan pemikiran ateisme yang keji, tipu daya Zionis yang sangat nyata dan terang-terangan. Pemikiran itu meracuni sebahagian individu yang terpedaya yang dianggap beragama. Kemudian mereka meniupkan semangat kepada idea tersebut dan mula menyeru kepadanya atas alasan untuk melindungi ekonomi Arab dan Islam serta melindungi masyarakat daripada kemiskinan, kejahilan, dan penyakit yang meningkat dengan bertambahnya populasi.” (Lihat Adab al-Islam fi Nizam al-Usrah, hlm. 164).
Kelima: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
Dalam persidangan kali ke-28 yang diadakan 29 Februari 1991, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah membincangkan Sistem Susuk Norplant Dalam Program Perancang Keluarga Kebangsaan. Muzakarah telah memutuskan bahawa Sistem Susuk Norplant ini adalah harus digunakan. Penggunaan sistem ini hendaklah tertakluk kepada keputusan Muzakarah Kali Ke-12 pada 20 Januari 1977 yang memutuskan hukum mengenai Perancang Keluarga adalah seperti berikut:
- Memandul lelaki dan perempuan hukumnya adalah haram.
- Mencegah beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang perseorangan.
- Menyusun keluarga dari kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang selain daripada (1) dan (2) di atas adalah harus. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam, hlm. 138)
Dr Yusuf al-Qaradhawi antara lain menyebut, “Akan tetapi, Islam juga membenarkan seorang Muslim merancang keturunannya bila timbul alasan-alasan yang diterima akal atau muncul keadaan darurat yang boleh diterima.” (Lihat al-Halal wa al-Haram dalam Islam, hlm. 366)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” 43