Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Sebahagian orang tidak mahu ada anak kerana bimbang untuk memberi rezeki kepada anak-anak mereka. Apa pandangan Islam dalam hal ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepada kefakiran.Kami yang memberi rezeki kepada mereka (anak-anak) dan kepada kamu. Sesungguhnya membunuh mereka (anak-anak) itu adalah satu kesalahan yang besar.”
Surah al-Isra’ (31)
Menurut Imam al-Tabari dalam tafsirnya, ayat ini menjelaskan bahawa janganlah kamu semua membunuh anak-anak kamu disebabkan takut kepada kefakiran atau kemiskinan. Kerana golongan jahiliyyah dahulunya membunuh anak-anak mereka disebabkan takut miskin. Lalu Allah SWT pun memberikan amaran kepada mereka berkenaan hal tersebut serta mengkhabarkan kepada mereka bahawa rezeki mereka dan rezeki anak-anak mereka itu adalah di bawah tanggungjawab Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Tabari, 17/437)
Di sana terdapat satu ayat yang hampir sama, tetapi dengan perbezaan taqdim dan ta’khir (pada beberapa lafaznya). Firman Allah SWT:
وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُم مِّنْ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ ۖ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.”
(Surah al-An’am: 151)
Syeikh al-Sya’rawi berkata: Firman Allah SWT: ‘وَلاَ تقتلوا أَوْلاَدَكُمْ مِّنْ إمْلاَقٍ’, (Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan) yakni daripada kemiskinan yang ada. Selagimana kefakiran itu wujud, maka seseorang itu tidak mahukan anak kerana ia akan menambah kefakirannya. Disebabkan itu, Allah SWT berfirman, ‘نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ’ (Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka). Maksudnya, kedatangan anak-anak tidak akan menjadikan kamu lebih fakir. Ini kerana, bagi kamu ada rezeki kamu, dan bagi mereka ada rezeki mereka (yang telah ditetapkan). Dan ini tidaklah bermakna bahawa dengan rezeki mereka itu, maka ia akan mengurangkan rezeki kamu. Tetapi, bagi bapa itu, ada rezekinya dan bagi anaknya, ada pula rezekinya.
Adapun berkenaan ayat, ‘وَلاَ تقتلوا أَوْلادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلاقٍ’, (“dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepada kefakiran,”) maka ia seolah-olah kefakiran itu tidak wujud. Tetapi dia (ibu bapa itu) bimbang bahawa apabila mempunyai anak, maka dia akan jadi fakir. Allah SWT berfirman kepadanya, ‘نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُم’ (Kami yang memberi rezeki kepada mereka (anak-anak) dan kepada kamu). Maksudnya, rezeki mereka akan datang kepada mereka sebelum rezeki kamu. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 1/320)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”