#7833: Hadiah Sesuatu Yang Ditegah Untuk Dipakainya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, bagaimanakah cara yang sesuai menurut syarak untuk memanfaatkan hadiah yang tidak dibenarkan pemakaiannya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hadiah berasal daripada perkataan bahasa Arab, yang bermaksud pemberian seseorang yang sah memberi ketika dia masih hidup, secara tunai tanpa ada sebarang syarat dan mengharapkan balasan. (Lihat Aqrab al-Masalik, 5/342)

Dari sudut bahasa, hadiah ialah harta yang diserahkan atau diberikan kepada seseorang sebagai tanda penghormatan kepadanya. Manakala dari sudut istilah, ulama’ mazhab Syafi’i menyebut bahawa hadiah ialah pemilikan sesuatu benda tanpa berlakunya pertukaran dan berlakunya perpindahan (barang tersebut) kepada orang yang dihadiahkan sebagai tanda penghormatan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/252)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:

تَهَادَوْا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.”

Riwayat al-Baihaqi (6/169), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini isnadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)

Nas ini menunjukkan kepada kita agar kita saling memberi hadiah kerana ia mengikatkan perasaan kasih sayang serta penghormatan. Ia juga lambang sebuah persahabatan atau ikatan yang baik yang dibina sesama manusia mahupun kaum keluarga. Tidak pelik, Rasulullah SAW banyak memberi hadiah kepada sahabat-sahabatnya, sebagai contoh, nabi SAW memerdekakan semua hamba sahaya baginda SAW dan bersedekah 7 dinar yang ada dalam simpanannya. Baginda SAW membahagikan senjata-senjata kepada orang Islam. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 232)

Para fuqaha’ bersepakat bahawa pensyariatan hadiah adalah disunatkan pada asalnya, melainkan sekiranya kepentingan yang mendatang. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/255)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa memberi hadiah adalah perkara baik yang sangat digalakkan dalam Islam. Ini kerana ia membawa kebaikan seperti mempereratkan hubungan antara pemberi dan penerima hadiah dan menambahkan lagi kasih sayang di kalangan umat Islam.

Namun begitu, tidak semua hadiah yang diterima harus digunakan atau dipakai. Terdapat juga perkara yang diberikan, tetapi syarak melarang untuk memakainya, seperti sutera. Sutera diharamkan untuk dipakai oleh kaum lelaki, namun menerima hadiah tersebut tidak dianggap sebagai satu kesalahan. Yang demikian sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn  ‘Umar bahawa beliau berkata:

رَأَى عُمَرُ بْنُ الخَطَّابِ حُلَّةً سِيَرَاءَ عِنْدَ بَابِ المَسْجِدِ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، لَوِ اشْتَرَيْتَهَا، فَلَبِسْتَهَا يَوْمَ الجُمُعَةِ وَلِلْوَفْدِ، قَالَ: «إِنَّمَا يَلْبَسُهَا مَنْ لاَ خَلاَقَ لَهُ فِي الآخِرَةِ»، ثُمَّ جَاءَتْ حُلَلٌ، فَأَعْطَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عُمَرَ مِنْهَا حُلَّةً، وَقَالَ: أَكَسَوْتَنِيهَا، وَقُلْتَ فِي حُلَّةِ عُطَارِدٍ مَا قُلْتَ؟ فَقَالَ: «إِنِّي لَمْ أَكْسُكَهَا لِتَلْبَسَهَا»، فَكَسَاهَا عُمَرُ أَخًا لَهُ بِمَكَّةَ مُشْرِكًا.

Maksudnya: “Umar bin Khattab melihat pakaian sutera di depan pintu masjid, lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah, Bagaimana kalau engkau membelinya dan memakainya pada hari Jumaat dan untuk menyambut rombongan tetamu?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya orang lelaki yang memakainya adalah orang yang tidak ada bahagian (kebahagiaan) untuknya di akhirat.” Kemudian datang beberapa persalinan pakaian, lalu Rasulullah SAW memberikan kepada Umar satu persalinan. Maka Umar berkata: “Kamu memberikannya kepadaku, sedangkan kamu telah mengatakan tentang pakaian sutera (lelaki yang memakainya tidak mendapat bahagian (kebahagiaan) di akhirat) apa yang telah kamu katakan?” Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya aku memberikan kepadamu bukan untuk kamu memakainya.” Maka Umar pun memberikannya kepada saudaranya yang masih musyrik di Makkah.”

Riwayat al-Bukhari (2612) dan Muslim (2068)

Muhammad al-Amin al-Harari ketika mensyarakan petikan “إِنِّي لَمْ أكسُكَهَا لِتَلْبَسَهَا” فَكَسَاهَا عُمَرُ أَخًا لَهُ مُشْرِكًا، بِمَكَّةَ beliau menyatakan bahawa: Yakni, aku tidak memberikannya kepadamu untuk dipakai olehmu sendiri, tetapi untuk dipakaikan kepada isterimu atau dihadiahkan kepada seseorang yang dibenarkan memakainya. Maka Umar memberikan pakaian itu kepada saudaranya yang masih musyrik, yang berada di Makkah. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj fi Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, 21/321)

Pengharaman sutera bagi lelaki boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-’Asy‘ari bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أحلَّ الذهبُ والحررُ لإناثِ أُمتي، وحُرِّم على ذكورِها

Maksudnya: “Dihalalkan emas dan sutera bagi wanita dalam kalangan umatku, dan diharamkan bagi kaum lelakinya.”

Riwayat al-Nasa’i (5163)

Imam al-Syaukani menyatakan hadith ini merupakan dalil yang digunakan oleh jumhur ulama’ yang berpendapat bahawa sutera dan emas adalah haram bagi lelaki dan harus bagi wanita. (Lihat Nail al-Autar, 2/98)

Dalam riwayat lain, Nabi SAW bersabda:

أَنَّهُ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – أَخَذَ فِي يَمِينِهِ قِطْعَةَ حَرِيرٍ وَفِي شِمَالِهِ قِطْعَةَ ذَهَبٍ وَقَالَ: هَذَانِ حَرَامٌ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي حِلٌّ لِإِنَاثِهِمْ

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW mengambil sutera dan dipegangnya dengan tangan kanan. Lalu baginda mengambil emas dan dipegangnya dengan tangan kiri. Kemudian baginda bersabda, “Kedua-duanya ini (sutera dan emas) haram untuk kaum lelaki dalam kalangan umatku, dan halal untuk kaum wanitanya.”

Riwayat al-Bukhari (2921) dan Muslim (2076)

Saidina ‘Ali bin Abi Thalib R.A menyatakan: “Nabi SAW pernah memberiku pakaian daripada sutera bergaris maka aku pun keluar mengenakannya. Ketika Rasulullah SAW melihatnya, tampaklah kemarahan di wajah baginda. Maka aku pun membahagikan pakaian sutera tersebut di antara wanita-wanitaku.”

Riwayat al-Bukhari (5840)

Selain itu, para ulama’ menyatakan hikmah pengharaman sutera bagi lelaki kerana kerana Islam adalah agama jihad dan kekuatan. Maka Islam juga menjaga sifat kelelakian kaum lelaki daripada segala perkara yang menunjukkan kelemahan dan kelembutan. Sedangkan sutera itu sifatnya lembut dan melambangkan kewanitaan. Hal ini  berbeza dengan wanita yang dihalalkan memakai sutera kerana Allah menciptakannya dengan sifat kelembutan yang sukakan kecantikan dan kewajipannya untuk berhias demi kesenangan suaminya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 373-374)

Kesimpulan

Islam amat menggalakkan pemberian hadiah sebagai salah satu cara untuk mempereratkan hubungan dan menambah kasih sayang antara sesama umat. Namun, tidak semua hadiah yang diterima sesuai untuk digunakan oleh penerima, terutama jika ia bertentangan dengan hukum syarak. Dalam hal ini, sutera adalah contoh yang jelas, di mana penggunaannya diharamkan untuk lelaki tetapi dibolehkan untuk wanita. Walaupun begitu, menerima hadiah berupa sutera tidaklah dilarang, dan ia boleh dimanfaatkan dengan memberikannya kepada pihak lain yang dibenarkan memakainya, seperti wanita atau bukan Muslim.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah:201)

Wallahu‘alam