#7834: Hukum Khusyuk dalam Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum khusyuk dalam solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”

(Surah al-Mu’minun: 1-2)

Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan ayat ini menyebut, khusyuk merupakan perkara di dalam hati. Sekiranya seseorang itu khusyuk ketika solat maka anggota badan juga turut akan khusyuk disebabkan hatinya khusyuk melakukan solat. Imam al-Qurtubi menceritakan seorang ulama ketika melakukan solat, maka ia akan melakukan dengan mengagungkan Allah SWT dengan memalingkan pandangannya daripada sesuatu urusan keduniaan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 12/103)

Para ulama berbeza pendapat dalam isu khusyuk di dalam solat. Adakah ia merupakan di antara perkara wajib di dalam solat atau ia sekadar sunat dan merupakan pelengkap kepada solat. Imam al-Qurtubi menyebut: Para ulama berbeza pandangan mengenai khusyuk di dalam solat ini kepada dua pendapat:

Pertama: Ia merupakan di antara perkara fardhu (yang wajib) di dalam solat.

Antara tokoh ulama yang berpegang dengan pendapat ini adalah Imam Abu Hamid al-Ghazali. Beliau menyebutkan beberapa dalil yang menunjukkan kewajipan khusyuk di dalam solat. Antaranya adalah firman Allah SWT:

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: “Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”

(Surah Taha: 14)

Kata Imam Al-Ghazali ketika mengulas berkenaan ayat ini; Zahir perintah (mendirikan solat) adalah membawa kepada hukum wajib. Kelalaian (tidak khusyuk) adalah bercanggahan dengan sifat zikir (iaitu mengingati). Maka sesiapa yang lalai dalam keseluruhan solatnya bagaimana dia itu dikira sebagai seorang yang mendirikan solat untuk mengingati Allah? (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 1/159)

Pandangan ini juga merupakan pendapat yang paling sahih menurut Imam al-Qurthubi. Ini dapat dilihat dari kata-kata beliau: Pendapat yang paling sahih adalah pendapat yang pertama (yang mengatakan khusyuk adalah di antara fardhu solat). Dan tempat bagi kekhusyukan adalah jantung hati. Kata ‘Ubadah bin Al-Shomit R.A: Khusyuk adalah ilmu yang terawal diangkat daripada manusia. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 12/97)

Kedua: Khusyuk adalah di antara perkara sunat di dalam solat dan merupakan pelengkap bagi solat. Pendapat ini dipegang oleh Imam al-Nawawi dan beberapa tokoh selainnya.

Imam al-Nawawi mengatakan: Disunatkan untuk khusyuk di dalam solat serta tunduk, mentadabbur ayat-ayat bacaan serta zikir-zikir di dalamnya, dan berpaling dari memikirikan perkara-perkara yang tiada kaitan dengannya. Sekiranya seseorang itu berfikir tentang perkara selain dari solat serta banyak memikirkannya, solatnya tidak terbatal. Akan tetapi perbuatan itu hukumnya makruh sama ada seseorang itu memikirkan perkara-perkara yang mubah (harus) atau memikirkan perkara-perkara yang haram seperti meminum arak.

Kata Imam al-Nawawi lagi: “Telah dinukilkan ijmak bahawasanya perbuatan berfikir dan monolog dalaman adalah tidak membatalkan solat akan tetapi para ulama sepakat bahawa ianya makruh.” Pendapat Imam al-Nawawi ini didasarkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA beliau berkata dan beliau memarfu’kannya kepada Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لأُمَّتِي عَمَّا وَسْوَسَتْ أَوْ حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ بِهِ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan umatku terhadap apa-apa yang dibisikkan kepada mereka dari perasaan was-was, ataupun monolog-monolog di dalam diri mereka selama mana mereka tidak melakukannya atau berkata-kata.

Riwayat al-Bukhari (6664)

Setelah meneliti beberapa pandangan di atas, kami lebih cenderung dengan pendapat yang dikemukakan oleh Imam al-Nawawi dan juga jumhur ulama bahawa solat yang dilakukan dengan tidak khusyuk tidak membatalkan solat.

Hal ini berdasarkan beberapa dalil, antaranya sepertimana hadis Nabi SAW yang memulangkan baju kepada Abi Jahm dengan bersabda:

اذْهَبُوا بِهَذِهِ الْخَمِيصَةِ إِلَى أَبِي جَهْمِ بْنِ حُذَيْفَةَ، وَائْتُونِي بِأَنْبِجَانِيِّهِ، فَإِنَّهَا أَلْهَتْنِي آنِفًا فِي صَلَاتِي

Maksudnya:  “Pergilah dengan membawa baju ini untuk diberi kepada Abi Jahm bin Huzaifah dan bawalah kepadaku baju yang biasa. Ini kerana baju tersebut melekakanku sebentar tadi pada solatku.”

Riwayat al-Bukhari (373) dan Muslim (556)

Dapat difahami melalui hadith ini adalah hendaklah menjaga  dari segala yang boleh mengganggu semasa sembahyang,  dari hadith ini juga  kita faham tentang makruh menghias dan membuat ukiran di masjid, serta sembahyang di tempat yang boleh mengganggu fokus atau apa sahaja yang mendekatkan diri kepada-Nya. Sedikit gangguan  semasa sembahyang tidak akan membatalkannya. (Lihat Ikmal al-Mu’allim bi Fawa’id Muslim, 2/490)

Jika seseorang melakukan perkara-perkara yang boleh menghalang kekhusyukan seperti banyak bergerak, berfikir perkara-perkara yang tiada kaitan dengan solat, banyak beralih ke kiri dan kanan, maka perbuatan tersebut adalah dimakruhkan. Walaupun begitu, tidak khusyuk di dalam solat akan mengurangkan pahala solat dan menjadikan solat seseorang itu tidak sempurna.

Kami juga tidak menafikan bahawa pandangan yang mewajibkan untuk khusyuk di dalam solat mempunyai asas yang kukuh. Imam Ibn al-Qayyim pernah mengatakan: Solat orang-orang munafiq adalah solat anggota badan, bukannya solat jantung hati.” (Lihat Madarij al-Salikin, 1/354)

Lakukanlah solat dengan penuh kekhusyukan serta hayatilah intipati bacaan yang dibaca di dalam solat, supaya solat kita tidaklah sekadar pergerakan anggota badan akan tetapi solat yang terzahir daripada kekhusyukan jiwa, kerendahan hati, tunduk, serta patuh menghadapkan diri di hadapan Allah. Kami berdoa supaya Allah SWT memberikan kepada kita semua kekhusyukan di dalam solat.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.