#7835: Tafsiran dan Makna “لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّه”

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah makna dan tafsiran terhadap kalimah hauqalah (“لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّه”)?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berkenaan tafsiranلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’, ia dapat difahami melalui riwayat Abdullah bin Mas’ud di mana beliau berkata:

كُنْتُ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «تَدْرِي مَا تَفْسِيرُهَا؟» ، قُلْتُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: «لَا حَوْلَ عَنْ مَعْصِيَةِ اللَّهِ إِلَّا بِعِصْمَةِ اللَّهِ، وَلَا قُوَّةَ عَلَى طَاعَةِ اللَّهِ إِلَّا بِعَوْنِ اللَّه

Maksudnya: “Ketika aku bersama Nabi SAW, aku menyebut zikir dengan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’. Lantas Rasulullah SAW bertanyaku : Adakah kamu tahu apakah tafsirannya? Jawabku : Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Sabdanya: ‘لَا حَوْل’ (tiada daya) untuk (menghindari) maksiat kepada Allah SWT kecuali dengan pemeliharaan Allah SWT. Dan ‘وَلَا قُوَّة’ (tiada kekuatan) untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT kecuali dengan pertolongan Allah SWT.

Riwayat al-Bazzar di dalam Musnadnya (2004). Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (10/102) menyatakan hadith ini diriwayatkan dengan dua sanad, salah satu sanadnya terputus dan terdapat Abdullah bin Kharasy yang pada ghalibnya dinilai sebagai dhaif,manakala satu lagi sanadnya bersambung dan dinilai sebagai hasan

Al-San’ani dalam Subul al-Salam menyatakan maksud kalimah ini sehingga mendapat pahala dan anugerah yang besar di sisi Allah SWT kerana kalimah ini melambangkan penyerahan, berserah kepada Allah SWT, mengiktiraf dengan tunduk dan patuh kepada-Nya. Begitu juga bahawa tiada di sana pembuat dan pencipta selain dari-Nya. Tiada yang boleh menolak dan membangkang segala kehendak dan perintah-Nya. Hamba sekali-kali tidak memiliki sesuatu dari sebarang urusan dan perkara. Kekuasaan, pergerakan dan helah tiada mungkin berlaku kecuali dengan kehendak Allah SWT. (Lihat Subul al-Salam, 2/706)

Kami kemukakan tiga pendapat para sahabat berkenaan tafsir hauqalah:

  • Saidina Ali R.A berkata: Maksudnya, kami tidak memiliki bersama Allah sesuatu pun dan tidak memiliki daripadanya sedikitpun, dan kami tidak milik melainkan apa yang dipermilikkan kepada kami, bahkan Dia (Allah) lebih berhak memilik daripada kami.
  • Ibn Mas’ud R.A berkata: Tiada upaya daripada maksiat kepada Allah SWT kecuali dengan pemeliharaan-Nya, dan tiada kekuatan untuk mentaati Allah kecuali dengan pertolongan-Nya.
  • Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata: Tiada upaya dengan kami dalam amalan untuk mentaati kecuali dengan Allah SWT, dan tiada kekuatan bagi kami untuk meninggalkan maksiat kecuali dengan Allah.

Justeru tafsiran secara marfu’ seperti di atas iaitu dengan maksud tiada daya dan upaya daripada menghindari maksiat kecuali dengan pemeliharaan Allah SWT. Begitu juga tiada kekuatan dalam mentaati Allah kecuali dengan izin Allah SWT. Inilah yang dikhabarkan Jibril AS kepada Nabi SAW daripada Allah SWT.

Hal yang sama juga dijelaskan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani, di mana beliau menyebut bahawa maksudnya, tidak ada yang menghalang daripada maksiat pada Allah melainkan dengan pertolongan Allah. Tidak ada juga kekuatan untuk melakukan ketaatan kepada Allah selain dengan pertolongan Allah. (Lihat Kasyifatu al-Saja, hlm. 33)

Dr. Muhammad Luqman al-Silafi berkata, maksud لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ iaitu bahawa bagi hamba mempunyai kehendak, kudrat dan perbuatan pada hakikat dilakukannya mengikut kehendaknya. Tetapi kehendak dan nawaitunya itu tidak keluar dari daerah kehendak Allah SWT dan iradah-Nya. Maka Allah SWT meminta supaya kita ,melakukan amalan soleh sedangkan hamba menghendaki dan melakukannya di samping memohon daripada Allah pertolongan dengan kalimah لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِdan tiadalah boleh digantung dan disandarkan atas kekuatan sendiri dan kudratnya semata-mata.

Al-Imam al-Nawawi berkata: Ahli lughah atau bahasa berpendapat, diiktibar daripada kalimah ini dengan al-hauqalah (الحَوْقَلَة) atau al-haulaqah (الحَوْلَقَة).

Saya pernah mendengar seorang ulama’ menyatakan:

‘لَا حَوْلَ’ memberi maksud tiada upaya. ‘حَوْلَ’ juga dengan makna pergerakan dan helah iaitu tiada pergerakan dan kemampuan serta helah melainkan dengan kehendak Allah SWT. Ada juga berpendapat, maknanya, tiada upaya dalam menolak kejahatan dan tiada kekuatan dalam menghasilkan kebaikan kecuali dengan Allah SWT.

‘وَلَا قُوَّةَ’ memberi maksud tiada sebarang bentuk kekuatan. Para ulama’ menyatakan, tidak sayugia kita menyebut ‘لَا حَوْلَ’ sahaja tanpa ‘وَلَا قُوَّةَ’. Ini kerana kedua-duanya apabila disandarkan dengan izin Allah SWT merupakan kalimah penyerahan secara mutlak kepada Allah dan mengiktiraf dengan tunduk kepada-Nya, bahawa Allah sebagai Pencipta, tiada yang lain dan tiada boleh sebarang bentuk kehendak kecuali dengan izin-Nya. Manusia tidak mempunyai sesuatu. Sebahagian makna telah ditafsirkan oleh al-Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim (4/87).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”