#7836: Solat Istisqa’ Afdhal di dalam Masjid ataupun di luar Masjid?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika mahu solat memohon hujan, tempat mana lebih afdhal di dalam masjid atau di luar masjid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Istisqa’

Istisqa’ ialah memohon kepada Allah SWT agar diturunkan hujan ketika berlakunya kemarau dan kekeringan serta nampak kesan-kesan buruk daripada perkara tersebut. Istisqa’ boleh dilakukan sama ada dengan doa semata-mata atau boleh juga dengan doa selepas solat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/76)

Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, solat Istisqa’ ialah solat yang disyariatkan apabila berlaku kemarau. Ia sunat dilakukan apabila ada sebab tersebut, dan tidak sunat lagi apabila hujan turun atau mata air mengalir kerana sebab-sebabnya telah luput. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/585).

Seterusnya, berkenaan hukumnya pula Ibn ‘Abd al-Barr ada menyatakan bahawa para ulama telah berijma‘ bahawa keluar beramai-ramai untuk solat Istisqa’ dengan berdoa dan memohon kepada Allah untuk menurunkan hujan ketika musim kemarau dan kekeringan melanda hukumnya adalah sunat, yang telah disunnahkan oleh Rasulullah SAW tanpa ada perbezaan pendapat oleh para ulama dalam hal ini. (Lihat al-Tamhid, 17/172).

Begitu juga Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, solat istisqa’ ketika adanya sebab untuk melakukannya adalah sunat muakkad dengan ijma‘ ulama. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith-hadith yang sahih. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/77).

Ulama’ mazhab empat bersepakat bahawa Istisqa’ boleh dilakukan di masjid ataupun diluar masjid kecuali mazhab Maliki yang berpendapat bahawa tidak harus untuk solat diluar masjid kecuali dalam keadaan yang amat mendesak.

Manakala, Mazhab Hanafi berpendapat, bagi penduduk Makkah dan Bait al- Maqdis, afdhal mereka berkumpul dalam masjid. Manakala bagi sebahagian mereka berpendapat, bagi penduduk Madinah hendaklah di dalam Masjid Nabawi kerana di situ terdapat maqam Rasulullah SAW.

Ibn Abidin berkata: “Digalakkan berhimpun untuk solat Istisqa’ di masjid Nabi kerana wujudnya maqam Rasulullah SAW”. (Lihat Hasyiah Ibn Abidin, 2/186)

Imam al-Nawawi berkata di dalam al-Majmu’: Sunnah untuk solatistisqa’ di padang tanpa khilaf. Hal ini kerana Rasulullah SAW solat di tengah padangdengan kehadiran ramai manusia, kanak-kanak, wanita yang haid, haiwan-haiwan ternakan. Bahkan padang itu lebih luas dan lebih membuatkan mereka selesa. (Lihat al-Majmu‘, 5/72)

Al-Hattab al-Maliki berkata: Mazhab kami berkenaan solat Istisqa’ ialah dengan keluar ke padang untuk berdoa meminta hujan, dan mereka (mazhab malik) tidak mengikat dengan hukum tersebut selain Makkah seperti solat hari raya. Secara zahirnya tidak ada beza antara di Makkah ataupun selain daripadanya. Sesungguhnya penduduk Makkah berdoa memohon hujan di Masjid al-Haram sebagaimana solat hari raya. (Lihat Mawahib al-Jalil li Syarh Mukhtasar Khalil, 2/206)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk melakukan istisqa’ sama ada di dalam masjid ataupun di luar masjid berdasarkan nas namun yang paling afdhal ialah dengan solat istisqa’ berjemaah di padang supaya dapat dihadiri oleh semua golongan seperti kanak-kanak, golongan yang uzur dan seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”