Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan istighfar yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada Abu Bakar R.A?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا
Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”
(Surah Nuh: 10-12)
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Bakar R.A, beliau berkata kepada Rasulullah SAW: “Ajarkanlah aku suatu doa yang boleh aku panjatkan dengannya ketika solat.” Maka Baginda SAW pun bersabda: “Bacalah:
اللَّهُمَّ إِنِّى ظَلَمْتُ نَفْسِى ظُلْمًا كَثِيرًا وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ ، فَاغْفِرْ لِى مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ ، وَارْحَمْنِى إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Riwayat al-Bukhari (834) dan Muslim (2705)
Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: ‘ظَلَمْتُ نَفْسِي’ (aku telah menzalimi diriku sendiri), maksudnya melakukan apa yang dapat mendatangkan seksaan atau mengurangkan darjat. Ini merupakan penjelasan bahawa seseorang tidak terlepas daripada kekurangan meskipun orang itu berstatus siddiq (benar dan boleh dipercayai).
‘ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ’ (dan tidak ada yang mengampuni dosa selain Engkau). Kalimat ini mengandungi pengakuan akan keesaan Allah serta permohonan keampunan kepada-Nya.
Berkenan lafaz ‘مَغْفِرَةً مِن عِندِكَ’ (keampunan dari sisi-Mu), Al-Tibi berkata: Lafaz ‘مَغْفِرَةً’ yang diungkapkan dalam bentuk nakirah menunjukkan bahawa apa yang diminta adalah keampunan yang sangat besar, yang tidak diketahui batasannya. Adapun maksud pernyataan bahawa ia berasal dari sisi Allah SWT adalah menggambarkan keagungan, kerana sesuatu yang berasal dari sisi Allah SWT, maka sifatnya tidak dapat digambarkan.
Ibn Daqiq al-‘Id berkata: Hal ini mencakupi dua kemungkinan:
Pertama, mengisyaratkan tauhid (keesaan Allah SWT) yang disebutkan sebelumnya, seakan-akan dikatakan bahawa tidak ada yang melakukan hal ini kecuali Engkau, maka lakukanlah oleh-Mu.
Kedua, – ini yang lebih baik – mengisyaratkan permohonan keampunan berupa kurniaan daripada Allah SWT, bukan kerana balasan atas suatu amal kebaikan daripada hamba. Kemungkinan terakhir inilah yang ditegaskan oleh Ibn al-Jauzi, katanya: “Maknanya, berikanlah kepadaku keampunan sebagai kurniaan daripada-Mu meskipun aku tidak berhak memperolehinya dengan amalanku.” (LihatFath al-Bari, 4/685)
Hadith ini menunjukkan ketika bertaubat dan memohon keampunan, hendaklah disertai dengan perakuan terhadap dosa yang telah dilakukan. Begitu juga hendaklah ketika memulakan doa, dimulakan dengan pengakuan terhadap keadaan diri yang faqir (berhajat kepada Allah SWT) dan penuh dengan dosa. Inilah antara wasilah dalam berdoa. (Lihat Syarh Riyadh al-Salihin, 6/34)
Hadith ini juga menunjukkan bahawa setiap orang pasti memiliki kekurangan, sekalipun orang yang disifatkan al-Siddiq seperti Abu Bakar. Oleh itu, tidak sewajarnya seseorang itu lalai daripada beristighfar dan memohon keampunan daripada Allah SWT.
Al-Hasan al-Basri pernah berkata: “Perbanyakkanlah istighfar di rumah-rumah, di meja-meja makan, di jalan-jalan, di pertemuan-pertemuan dan di mana saja kamu berada. Sesungguhnya kamu tidak mengetahui bilakah turunnya keampunan.” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/481)
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”