Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud dan pengertian daripada perkataan aqidah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ ۚ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ
Maksudnya: Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”.
(Surah al-Baqarah: 285)
Aqidah merupakan paksi agama. Dengannya manusia selamat dari sebarang kegelinciran, syirik dan khufarat. Aqidahlah yang menjadikan seseorang itu benar-benar bahagia hidup di dunia dan di akhirat.
Dalam Kitab Al-‘Aqidah Awwalan Lau Kanu Ya’lamun oleh Dr. Abd al-Aziz al-Qari, katanya: Aqidah atau i’tiqad menurut bahasa diambil daripada kata akar ‘عقد’ ertinya menyimpul atau mengikat. Oleh itu, orang Arab berkata: (عقد الحبل) ertinya: Dia mengikat atau menyimpul tali. (عقد العهد) ertinya: Dia bersungguh-sungguh pada janjinya. (عقد اليمين) ertinya: Dia berpegang teguh dan setia pada sumpahnya. (Lihat Al-‘Aqidah Awwalan Lau Kanu Ya’lamun, hlm. 9-10 )
Syeikh Dr. Mustafa Khin dalam al-Aqidah al-Islamiyah berkata: Daripada itu pengertian tersebut digunakan sebagai anutan seseorang terhadap pemikiran dan pendapat yang diimaninya dan meresap ke dalam hati sanubari yang akhirnya membentuk tindak tanduk dan tingkah lakunya. Justeru itu, ada pendapat yang mentakrifkan manusia sebagai makhluk yang boleh dipimpin dari dalam dirinya sendiri iaitu segala kepercayaan dan sesuatu yang diimaninya. (Lihat al-Aqidah al-Islamiyah, hlm. 17)
Menurut kamus al-Misbah al-Munir, perkataan aku beri’tiqad demikian bermaksud aku menambat hati sanubari kepadanya dan perkataan aqidah bermaksud sesuatu fahaman yang dianuti seseorang sehingga dia mempunyai pegangan yang baik dan tidak diragui. (Lihat al-Misbah al-Munir, 2/421)
Daripada pengertian tersebut, dapat difahami bahawa tidak semestinya aqidah itu sahih barulah dinamakan aqidah. Hal ini kerana ada kalanya aqidah itu betul dan ia dinamakan aqidah yang sahih dan ada kalanya salah dan ia dinamakan aqidah yang cacat.
Para ulama’ Islam menggunakan perkatan aqidah ini sebagai ilmu yang lazimnya bermaksud ilmu yang membahaskan perkara yang wajib dipercayai dan diimani oleh seseorang dengan dalil yang sahih dan meyakinkan. Aqidah juga dinisbahkan kepada prinsip-prinsip agama itu sendiri yang thabitdengan dalil yang kukuh.
Jadi aqidah atau i’tikad menurut bahasa dapatlah diertikan dengan simpulan atau ikatan atau bersungguh-sungguh dan berpegang teguh. Atas dasar inilah maka timbullah istilah akad nikah, akad jual beli dan sebagainya.Adapun aqidah atau i’tikad menurut istilah agama atau syara’.
Kami akhiri dengan doa:
رَضِينَا بِاللهِ رَبًّا، وَبِالإِسْلَامِ دِيْنا، وَبِمُحَمَّدٍ – صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وِسَلَم – رَسُولًا
Maksudnya: “Kami redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Rasul.”