#7841: Kanak-kanak Lelaki dan Perempuan Belum Mukallaf Berkumpul untuk Makan Bersama

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum kanak-kanak lelaki dan perempuan yang belum mukallaf berkumpul untuk makan bersama? Misalnya sekumpulan besar pelajar lelaki dan perempuan, rakan sekelasnya yang seusia, berkumpul untuk makan bersama dalam satu kumpulan, melibatkan sekitar dua puluh pelajar lelaki dan perempuan. Dalam keadaan itu, kadang-kadang ada pelajar perempuan akan duduk bersebelahan dengan salah seorang rakan lelaki dan begitulah sebaliknya mengikut kumpulan masing-masing. Namun, duduknya mereka itu tidaklah terlalu dekat, tetapi agak jauh iaitu lebih kurang kira-kira setengah meter antara mereka. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ۝ وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…

(Surah al-Nur: 30-31)

Menurut Imam Ibn Kathir, ayat ini merupakan perintah Allah SWT kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menjaga pandangan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Janganlah melihat melainkan hanya kepada perkara yang diharuskan oleh syarak sahaja dan menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang diharamkan. Begitu juga, Allah SWT memerintahkan juga kepada orang-orang perempuan yang beriman agar turut sama menundukkan (menjaga) pandangan dan memelihara kemaluan mereka (daripada perkara-perkara yang diharamkan). Dan bagi membezakan mereka daripada sifat serta perbuatan wanita Jahiliyyah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, 4/2342-2344).

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa pendapat yang dipegang oleh umat Islam, sama ada generasi awal mahupun yang terkemudian, adalah bahawa keberadaan wanita bersama lelaki di tempat yang sama tidaklah haram secara zatnya. Namun, ia menjadi haram apabila wujud suasana sosial yang bertentangan dengan syariat Islam. Contohnya, apabila wanita menampakkan sesuatu yang tidak dibenarkan untuk ditunjukkan menurut syariat, atau apabila pertemuan itu berlaku atas perkara yang dilarang atau bertujuan untuk melakukan perkara haram, atau apabila wujud situasi berdua-duaan (khalwat) yang diharamkan.

Para ulama menegaskan bahawa ikhtilat (percampuran) yang diharamkan secara zatnya adalah apabila terdapat hubungan fizikal seperti bersentuhan atau bersentuhan rapat, bukan sekadar keberadaan lelaki dan wanita di tempat yang sama. Dalil tentang hal ini terdapat dalam sunnah Nabawi. Terdapat riwayat daripada Sahl R.A, beliau berkata:

لَمَّا عَرَّسَ أَبُو أُسَيْدٍ السَّاعِدِيُّ دَعَا النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابَهُ، فَمَا صَنَعَ لَهُمْ طَعَامًا وَلاَ قَرَّبَهُ إِلَيْهِمْ إِلَّا امْرَأَتُهُ أُمُّ أُسَيْدٍ، بَلَّتْ تَمَرَاتٍ فِي تَوْرٍ مِنْ حِجَارَةٍ مِنَ اللَّيْلِ، فَلَمَّا فَرَغَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ الطَّعَامِ أَمَاثَتْهُ لَهُ فَسَقَتْهُ تُتْحِفُهُ بِذَلِكَ.

Maksudnya: “Ketika Abu Usaid al-Sa‘idi mengadakan walimah, dia mengundang Nabi SAW dan sahabat-sahabatnya, tidak ada yang membuatkan makanan untuk mereka dan tidak pula menghidangkannya selain daripada isterinya sendiri iaitu Ummu Usaid. Dia merendam beberapa biji kurma dalam air di dalam periuk batu semalaman. Setelah Nabi SAW selesai makan, dia menuangkan air itu untuk Baginda dan memberi minum air kepada Baginda. Dia menyediakan minuman istimewa itu kepada Baginda.

Riwayat al-Bukhari (5182)

Imam al-Bukhari telah meletakkan hadith ini di bawah tajuk bab: “بَابُ قِيَامِ الْمَرْأَةِ عَلَى الرِّجَالِ فِي العُرُسِ وَخِدْمَتِهِمْ بِالنَّفْسِ” (Bab: Wanita Mengurus dan Melayani Kaum Lelaki Ketika Majlis Pernikahan).

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan, ulama kami menyebutkan, hadith ini menunjukkan bahawa dibolehkan seorang pengantin wanita melayani suaminya dan juga para tetamu suaminya dalam majlis perkahwinannya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 9/68).

Begitu juga Ibn Battal dalam Syarh Sahih al-Bukhari (6/53) pula menyebutkan, hadith ini menunjukkan bahawa hijab – iaitu pemisahan wanita daripada lelaki dalam tempat dan urusan secara langsung – bukanlah kewajiban bagi semua wanita beriman, tetapi ia khusus untuk isteri-isteri Nabi SAW. Hal ini juga disebutkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِن وَرَاءِ حِجَابٍ

Maksudnya: “Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir.”

(Surah al-Ahzab: 53)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menyatakan, hadith ini menunjukkan keharusan seorang wanita melayani suaminya dan orang yang diundang suaminya. Namun, perkara ini terhad kepada situasi di mana tidak ada fitnah dan wanita itu tetap menjaga kewajipan menutup aurat. Ia juga menunjukkan keharusan seorang lelaki menggunakan khidmat isterinya dalam perkara seperti ini. (Lihat Fath al-Bari, 9/251).

Selain itu, terdapat riwayat daripada Abu Juhaifah, katanya:

آخَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ سَلْمَانَ، وَأَبِي الدَّرْدَاءِ، فَزَارَ سَلْمَانُ أَبَا الدَّرْدَاءِ، فَرَأَى أُمَّ الدَّرْدَاءِ مُتَبَذِّلَةً، فَقَالَ لَهَا: مَا شَأْنُكِ؟ قَالَتْ: أَخُوكَ أَبُو الدَّرْدَاءِ لَيْسَ لَهُ حَاجَةٌ فِي الدُّنْيَا، فَجَاءَ أَبُو الدَّرْدَاءِ فَصَنَعَ لَهُ طَعَامًا، فَقَالَ: كُلْ، فَإِنِّي صَائِمٌ، قَالَ: مَا أَنَا بِآكِلٍ حَتَّى تَأْكُلَ، قَالَ: فَأَكَلَ، فَلَمَّا كَانَ اللَّيْلُ ذَهَبَ أَبُو الدَّرْدَاءِ يَقُومُ، قَالَ: نَمْ، فَنَامَ، ثُمَّ ذَهَبَ يَقُومُ فَقَالَ: نَمْ، فَلَمَّا كَانَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ قَالَ: سَلْمَانُ قُمِ الآنَ، فَصَلَّيَا فَقَالَ لَهُ سَلْمَانُ: إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: صَدَقَ سَلْمَانُ

Maksudnya: “Nabi SAW mempersaudarakan antara Salman dan Abu al-Darda’. Maka, Salman mengunjungi Abu al-Darda’ dan melihat Umm al-Darda’ berpakaian sederhana (yakni tidak berhias). Salman bertanya kepadanya: ‘Ada apa denganmu?’ Ummu al-Darda’ menjawab: ‘Saudaramu, Abu al-Darda’ tidak memiliki keinginan terhadap dunia.’ Lalu Abu al-Darda’ datang dan menyiapkan makanan untuk Salman, lalu berkata: ‘Makanlah! Sesungguhnya aku sedang berpuasa.’ Salman berkata: ‘Aku tidak akan makan sehingga engkau makan.’ Dia berkata: Akhirnya Abu al-Darda’ makan. Pada malam hari Abu al-Darda’ bangun, lalu Salman berkata: ‘Tidurlah!’ Abu al-Darda’ pun tidur. Kemudian beliau bangun, tetapi Salman berkata: ‘Tidurlah!’ Pada akhir malam Salman berkata: ‘Bangunlah sekarang!’ Lalu mereka berdua solat. Kemudian Salman berkata kepada Abu al-Darda’: ‘Sesungguhnya Tuhanmu memiliki hak ke atasmu, dirimu memiliki hak ke atasmu dan keluargamu memiliki hak ke atasmu, maka berikanlah setiap yang memiliki hak apa yang menjadi haknya.’ Abu al-Darda’ datang kepada Nabi SAW dan menyampaikan hal itu. Nabi SAW pun bersabda kepadanya: ‘Salman benar.’

Riwayat al-Bukhari (1968)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, hadith ini mengandungi beberapa faedah, antaranya adalah disyariatkan untuk menjalin persaudaraan kerana Allah, menziarahi saudara-saudara dan bermalam di rumah mereka, serta dibolehkan berbicara dengan wanita bukan mahram dalam batas yang dibenarkan. Juga, dibolehkan untuk bertanya tentang perkara yang membawa kepada kemaslahatan, meskipun pada zahirnya ia kelihatan tidak berkaitan secara langsung dengan si penanya. (Lihat Fath al-Bari, 4/211-212).

Tidak ada halangan bagi lelaki dan perempuan berada di tempat yang sama sekiranya tiada kebimbangan terhadap timbulnya fitnah dan tidak berlakunya khalwat yang dilarang. Sekadar keberadaan lelaki dan wanita di tempat yang sama bukanlah haram secara zatnya. Khalwat (yang diharamkan) didefinisikan sebagai situasi di mana seorang lelaki dan seorang perempuan berdua-duaan di tempat yang tidak memungkinkan orang lain masuk ke tempat tersebut.

Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebutkan dalam Ihkam al-Ahkam Syarh Umdah al-Ahkam (2/181) ketika menjelaskan sabda Nabi SAW: “إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ” (Berhati-hatilah kamu daripada memasuki — yakni berduaan — dengan wanita), beliau menyatakan, hadith ini dikhususkan kepada bukan mahram, dan bersifat umum apabila disandarkan kepada selain wanita itu. Namun, perlu dipertimbangkan satu perkara lain, iaitu masuk tersebut boleh menyebabkan terjadinya khalwat. Jika tiada situasi berlakunya khalwat (yang dilarang), maka ia tidak dilarang.

Garis Panduan Khalwat yang Diharamkan

Tidak setiap situasi berdua-duaan (khalwat) dianggap sebagai khalwat yang haram. Sebagai contoh, dalam riwayat al-Bukhari daripada Anas bin Malik R.A disebutkan:

جَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنَ الأَنْصَارِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَلاَ بِهَا. فَقَالَ: وَاللَّهِ، إِنَّكُنَّ لَأَحَبُّ النَّاسِ إِلَيَّ

Maksudnya: “Seorang wanita daripada kaum Ansar datang kepada Nabi SAW, lalu Baginda berdua-duaan dengan wanita itu (untuk mendengar aduannya). Kemudian Baginda bersabda: ‘Demi Allah, sesungguhnya kamu para wanita Ansar ialah manusia yang paling aku cintai.’[1]

Riwayat al-Bukhari (5234)

Dalam beberapa riwayat lain disebutkan:

فَخَلَا بِهَا فِي بَعْضِ الطُّرُقِ أَوْ فِي بَعْضِ السِّكَكِ

Maksudnya: “Baginda berdua-duaan dengannya di salah satu jalan atau lorong.

Imam al-Bukhari telah meletakkan tajuk bab bagi hadith di atas sebagai: “بَابُ مَا يَجُوزُ أَنْ يَخْلُوَ الرَّجُلُ بِالْمَرْأَةِ عِنْدَ النَّاسِ” (Bab: Apa yang Dibolehkan Bagi Seorang Lelaki Berkhalwat dengan Seorang Wanita di Tengah-Tengah Khalayak).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, hadith ini menunjukkan bahawa berbicara secara rahsia/sembunyi dengan wanita asing tidak mencacatkan agama seseorang apabila terjamin (selamat) daripada fitnah. (Lihat Fath al-Bari, 9/333)

Sementara itu, al-Mulla Ali al-Qari dalam Mirqah al-Mafatih (9/3714) menyebutkan, hadith ini memberi isyarat bahawa berdua-duaan dengan seorang wanita di jalanan bukan termasuk kategori khalwat seperti berdua-duaan di dalam rumah.

Garis panduan (dhabit) bagi khalwat yang diharamkan, sebagaimana disebutkan oleh Syeikh al-Syabramalisi al-Syafi‘i dalam Hasyiah ‘ala Nihayah al-Muhtaj (7/163) ialah pertemuan yang biasanya tidak bebas daripada syak wasangka (fitnah). Sebaliknya, jika secara adatnya pasti tiada syak wasangka, maka ia tidak dianggap sebagai khalwat (yang diharamkan).

Adapun mengenai lelaki dan perempuan berkongsi makanan, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A tentang kisah Abu Talhah al-Ansari memuliakan dan memberi makan kepada tetamu Rasulullah SAW. Dalam hadith itu diceritakan bahawa:

أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَبَعَثَ إِلَى نِسَائِهِ فَقُلْنَ: مَا مَعَنَا إِلَّا المَاءُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ يَضُمُّ أَوْ يُضِيفُ هَذَا، فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ: أَنَا، فَانْطَلَقَ بِهِ إِلَى امْرَأَتِهِ، فَقَالَ: أَكْرِمِي ضَيْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: مَا عِنْدَنَا إِلَّا قُوتُ صِبْيَانٍ، فَقَالَ: هَيِّئِي طَعَامَكِ، وَأَصْبِحِي سِرَاجَكِ، وَنَوِّمِي صِبْيَانَكِ إِذَا أَرَادُوا عَشَاءً، فَهَيَّأَتْ طَعَامَهَا، وَأَصْبَحَتْ سِرَاجَهَا، وَنَوَّمَتْ صِبْيَانَهَا، ثُمَّ قَامَتْ كَأَنَّهَا تُصْلِحُ سِرَاجَهَا فَأَطْفَأَتْهُ، فَجَعَلاَ يُرِيَانِهِ أَنَّهُمَا يَأْكُلاَنِ، فَبَاتَا طَاوِيَيْنِ، فَلَمَّا أَصْبَحَ غَدَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: ضَحِكَ اللَّهُ اللَّيْلَةَ، أَوْ عَجِبَ، مِنْ فَعَالِكُمَا» فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ المُفْلِحُونَ} [الحشر: 9]

Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, maka Baginda SAW mengirim utusan kepada isteri-isterinya (untuk bertanya). Mereka berkata: ‘Kami tidak miliki sesuatu apapun (untuk dihidangkan), kecuali air.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Siapakah yang menanggung atau menjamu orang ini?’ Seorang sahabat daripada kalangan Ansar berkata: ‘Aku!’ Beliau pun berangkat membawa orang itu (ke rumahnya), menemui isterinya dan lalu berkata: ‘Muliakanlah tetamu Rasulullah SAW.’ Beliau berkata: ‘Kita tidak memiliki makanan, kecuali makanan untuk anak-anakku.’ Beliau berkata: ‘Siapkanlah makananmu itu, nyalakan lampumu, dan tidurkan anak-anakmu apabila mereka ingin makan malam.’ Beliau menyiapkan makanannya, menyalakan lampunya, dan menidurkan anak-anaknya. Kemudian beliau berdiri seakan-akan memperbaiki lampunya, lalu memadamkannya. Kemudian keduanya memperlihatkan seakan-akan sedang makan. Akhirnya keduanya melalui waktu malam dengan perut kosong. Di pagi hari, beliau berangkat menemui Rasulullah SAW, maka Baginda bersabda: “Allah ketawa semalam atau takjub (simbolik kepada redha atau gembira) kerana perbuatan kamu berdua.” Lalu Allah menurunkan ayat, “وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ المُفْلِحُونَ” (Maksudnya: “Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”) [Surah al-Hasyr: 9].

Riwayat al-Bukhari (3798)

Dalam kisah tersebut, mereka berpura-pura seolah-olah sedang makan, sedangkan mereka tidur dalam keadaan lapar.

Begitu juga dalam riwayat Ibn Abi al-Dunya dalam Qira al-Dhaif (hlm. 19) daripada hadith Anas R.A, terdapat petunjuk bahawa mereka berkumpul untuk makan dari satu bekas makanan. Dalam riwayat itu disebutkan bahawa:

أن الرَّجُلَ قَالَ لِزَوْجَتِهِ: أَثْرِدِي هَذَا الْقُرْصَ، وَآدِمِيهِ بِسَمْنٍ ثُمَّ قَرِّبِيهِ، وَأْمُرِي الْخَادِمَ يُطْفِئُ السِّرَاجَ، وَجَعَلَتْ تَتَلَمَّظُ هِيَ وَهُوَ حَتَّى رَأَى الضَّيْفُ أَنَّهُمَا يَأْكُلَانِ

Maksudnya: “Seorang lelaki berkata kepada isterinya: ‘Potonglah roti ini menjadi beberapa potongan kecil, lumurkan ia dengan minyak sapi, kemudian hidangkan. Perintahkan pembantu untuk memadamkan lampu.’ Mereka berdua berpura-pura sedang makan sehingga tetamu itu menyangka mereka turut makan.”

Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (14/12) menyatakan, hadith ini mengandungi banyak pengajaran, antaranya adalah kebijaksanaan dalam memuliakan tetamu yang mungkin merasa berat untuk makan kerana prihatin terhadap keadaan tuan rumah. Sebagaimana ucapan lelaki tersebut: “Padamkan lampu dan buatkan dia menyangka bahawa kami sedang makan,” kerana jika tetamu itu melihat sedikitnya makanan dan menyedari mereka tidak makan bersamanya, dia akan enggan untuk makan. Rasulullah SAW kemudian bersabda kepada mereka: “Sesungguhnya Allah kagum dengan perbuatan kamu terhadap tetamu kamu pada malam ini,” dan turunlah firman Allah ta‘ala mengenai mereka:

 وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ

Maksudnya: “Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat.”

(Surah al-Hasyr: 9)

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كُنْتُ آكُلُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَيْسًا، فَمَرَّ عُمَرُ، فَدَعَاهُ فَأَكَلَ، فَأَصَابَتْ يَدُهُ إِصْبَعِي، فَقَالَ: حَسِّ، لَوْ أُطَاعُ فَيَكُنَّ مَا رَأَتْكُنَّ عَيْنٌ. فَنَزَلَ الْحِجَابُ

Maksudnya: “Aku pernah makan bersama Nabi SAW hidangan hais (iaitu makanan yang dibuat daripada tepung, kurma dan minyak sapi). Lalu Umar lalu di situ, maka Baginda mengajaknya untuk makan. Umar pun makan, dan jarinya tersentuh jariku. Umar pun berkata: ‘Alangkah baiknya! Sekiranya mereka (para wanita) menurut perintah, nescaya tidak ada mata yang akan melihat kalian.’ Maka turunlah ayat tentang hijab.”

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (1053); al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (11355); Hadith ini sanadnya dinilai sebagai sahih oleh al-Suyuti dalam al-Durr al-Manthur (12/108).

Al-Qadhi ‘Iyadh menyebutkan, kewajipan berhijab adalah sesuatu yang dikhususkan kepada isteri-isteri Nabi SAW; maka ia menjadi kewajipan ke atas mereka tanpa sebarang perselisihan pendapat berkenaan wajah dan kedua-dua tapak tangan. (Lihat Ikmal al-Mu‘lim bi Fawa’id Muslim, 7/57).

Kenyataan yang hampir sama telah dinyatakan oleh al-‘Allamah Ibn Battal, dan ini menunjukkan bahawa perkara tersebut dibolehkan bagi selain mereka (isteri-isteri Nabi SAW). Maksud hijab yang diwajibkan ke atas isteri-isteri Nabi SAW bukanlah sehingga mereka tidak boleh menzahirkan kehadiran mereka sama sekali meskipun dalam keadaan tertutup, tetapi mereka diizinkan untuk keluar bagi memenuhi keperluan mereka, demi mengelakkan kesukaran dan mengangkat kesempitan, sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani dalam Fath al-Bari (3/479-480). Beliau membuktikan perkara ini dengan apa yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dalam bab “Tawaf Wanita Bersama Lelaki,” daripada Ibn Juraij yang berkata: ‘Ata’ memberitahuku — apabila Ibn Hisyam melarang wanita tawaf bersama lelaki —, dia berkata: “Bagaimana dia melarang mereka sedangkan wanita-wanita Nabi SAW melakukan tawaf bersama lelaki?” Aku bertanya: “Adakah itu selepas turunnya perintah hijab atau sebelumnya?” Dia menjawab: “Demi umurku, aku telah mendapati ia berlaku selepas turunnya perintah hijab.” Aku bertanya: “Bagaimana mereka melakukannya? Adakah mereka bercampur dengan lelaki?” Dia berkata: “Mereka tidak bercampur; Aisyah R.Anha melakukan tawaf dengan menjauhkan diri daripada lelaki dan tidak bercampur dengan mereka.”

Wanita Makan Bersama Lelaki Bukan Mahram dan Dalil-Dalil Mengenainya

Imam Malik telah menetapkan keharusan bagi wanita untuk makan bersama lelaki bukan mahram, dengan syarat tidak berlaku khalwat dengannya. Hal ini ada disebutkan dalam al-Muwatta’ (4/367):

Yahya menyebutkan: Imam Malik telah ditanya: “Adakah wanita boleh makan bersama lelaki yang bukan mahram atau bersama hambanya?” Maka Imam Malik menjawab: “Tidak mengapa jika ia berlaku dalam keadaan yang biasa diketahui wanita itu makan bersama lelaki.” Imam Malik berkata lagi: “Wanita boleh makan bersama suaminya dan bersama lelaki lain yang dia biasa makan bersamanya, atau bersama saudaranya dalam keadaan seperti itu. Akan tetapi tidak disukai bagi wanita untuk berdua-duaan dengan seorang lelaki yang tiada hubungan mahram dengannya.”

Begitu juga isteri-isteri Nabi SAW menyampaikan ilmu dan menyebarkan agama. Kitab-kitab sunnah yang diriwayatkan daripada mereka membuktikan perkara ini, bahkan daripada kalangan generasi wanita selepas mereka, termasuklah mereka yang diriwayatkan oleh para lelaki dan yang memindahkan ilmu daripada mereka. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani sendiri telah menyebutkan biografi sebanyak 1543 wanita dalam kitabnya al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, termasuk para faqihah, muhaddithat, dan lain-lain tokoh dalam kalangan wanita.

Percampuran Wanita Muslimah bersama Lelaki dalam Aktiviti Kehidupan Sosial

Wanita Muslimah turut serta dalam aktiviti kehidupan sosial umum bersama lelaki dengan mematuhi pemakaian syariat dan menjaga batas-batas serta adab-adab Islam. Malah, terdapat wanita dari kalangan sahabat Nabi SAW yang melaksanakan tugas hisbah (amar makruf nahi mungkar). Antara contohnya, hadith yang diriwayatkan daripada Abu Balj Yahya bin Abu Salim, beliau berkata:

رَأَيْتُ سَمْرَاءَ بِنْتَ نَهِيكٍ، وَكَانَتْ قَدْ أَدْرَكَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: عَلَيْهَا دِرْعٌ غَلِيظٌ، وَخِمَارٌ غَلِيظٌ، بِيَدِهَا سَوْطٌ تُؤَدِّبُ النَّاسَ، وَتَأْمُرُ بِالْمَعْرُوفِ، وَتَنْهَى عَنِ الْمُنْكَرِ

Maksudnya: “Aku melihat Samra’ binti Nuhaik, yang telah sempat bertemu Nabi SAW, memakai baju besi yang tebal dan tudung yang tebal, serta memegang cemeti di tangannya untuk mendidik orang ramai, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (785); Al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (9/264) menyatakan perawinya adalah thiqah.

Oleh itu, tiada siapa yang boleh menafikan hakikat ini, yang telah ditetapkan dalam sunnah Nabi SAW yang mulia dan sejarah Islam. Adalah tidak wajar untuk menjadikan tradisi dan adat yang diwarisi dalam zaman atau tempat tertentu sebagai penghakim terhadap agama dan syariat. Sebaliknya, syariat adalah lebih tinggi dan tidak dapat diatasi. Tidak dibenarkan bagi sesiapa yang mengambil jalan wara‘ untuk mewajibkan orang lain mengikut jalannya, memaksa mereka melakukannya, atau menyulitkan sesuatu perkara yang telah Allah SWT jadikan mudah dan luas bagi umat manusia.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas dan situasi yang diajukan, kami berpendapat bahawa makan bersama antara wanita dan lelaki adalah dibenarkan dari sudut syarak, selagi mana ia dilakukan dalam rangka adab-adab syariat yang terpelihara, wanita menjaga pakaian syar‘i mereka, tidak berlaku sentuhan antara kedua-dua jantina, dan tidak melampaui batas dalam interaksi atau percakapan.

Jika situasi ini melibatkan kanak-kanak perempuan dan lelaki yang belum mukallaf (belum mencapai usia tanggungjawab syariat), ia lebih-lebih lagi layak untuk dibolehkan, dengan syarat mereka dibimbing kepada adab-adab syariat serta dibiasakan berkelakuan mengikut adab Islam, agar mereka terbiasa dengannya apabila mencapai usia baligh.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

 

Nota Hujung:

[1]   Kerana sifat mereka yang tidak malu untuk bertanya tentang persoalan agama.