#7851: Surah al-Falaq dan Surah Al-Nas Merupakan Makkiyah atau Madaniyah?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan sebab nuzul surah al-Falaq dan Surah al-Nas?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلْفَلَقِ ١ مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ٢ وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ ٣ وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّـٰثَـٰتِ فِى ٱلْعُقَدِ ٤ وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

Maksudnya: “Katakan wahai Muhammad, “Aku berlindung dengan Tuhan yang mencipta dan mengurus waktu subuh dan seluruh makhluk.”“Daripada kejahatan apa yang diciptakan.”“Juga daripada kejahatan yang ada dalam  kegelapan malam apabila ia datang.”“Serta daripada kejahatan tukang sihir yang menghembus pada gumpalan-gumpalan dan simpulan-simpulan.” “Dan daripada kejahatan orang-orang yang mempunyai hasad dengki apabila dia berhasad.”

(Surah al-Falaq: 1-5)

Firman Allah SWT:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ ١ مَلِكِ ٱلنَّاسِ ٢ إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ ٣ مِن شَرِّ ٱلْوَسْوَاسِ ٱلْخَنَّاسِ ٤ ٱلَّذِى يُوَسْوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ ٥ مِنَ ٱلْجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ

Maksudnya: “Katakanlah wahai Muhammad, “Aku berlindung dengan Tuhan manusia.” “Pemilik dan Raja manusia.” “Tuhan yang disembah manusia.” “Daripada kejahatan was-was bisikan syaitan.”“Syaitan yang mencampakkan bisikan was-wasnya dalam dada-dada manusia.” “Syaitan dalam  kalangan jin dan manusia.”

(Surah al-Nas: 1-6)

Surah al-Falaq merupakan salah satu surah yang dinamakan sebagai ‘al-Mu’awwizatain’ (الْمُعَوِّذَتَيْنِ), iaitu dua surah al-Quran yang mengandungi permohonan perlindungan daripada Allah SWT, iaitu Surah al-Falaq dan Surah al-Nas. Penamaannya bersama dengan Surah al-Nas sebagai Surah al-Mu’awwizatain terdapat dalam beberapa riwayat daripada Rasulullah SAW. Antaranya sebuah riwayat daripada Ibn ‘Abis al-Juhani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada beliau:

يَا ابْنَ عَابِسٍ، أَلَا أُخْبِرُكُ بِأَفْضَلِ مَا تَعَوَّذَ بِهِ الْمُتَعَوِّذُونَ؟ قَالَ: بَلَى يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ: قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلْفَلَقِ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ، هُمَا الْمُعَوِّذَتَان. 

Maksudnya: Wahai Ibn ‘Abis, mahukah kamu aku beritahu tentang sebaik-baik doa perlindungan yang dibaca oleh orang yang memohon perlindungan? Ibn ‘Abis menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: ( قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلْفَلَقِ) dan (قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ). Kedua-duanya adalah al-Mu’awwizatain.

Riwayat Ahmad (17389). Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan hadith ini sahih

Berikutan dengan ini, al-Tirmizi ketika menukilkan riwayat-riwayat hadith berkaitan tafsir kedua-dua surah ini, meletakkannya dalam satu bab yang dinamakan dengan “Bab Wa Min Surat al-Mu’awwizatain”. (Lihat Sunan al-Tirmizi, 5/310)

Manakala sesetengah mufasir seperti Ibn Atiyyah dan al-Tha’alibi menggunakan nama ‘al-Mu’awwizah. (Lihat Asma’ Suwar al-Qu’an wa Fadha’iluha, hlm. 640)

Pertama’ (المعوذة الأولى) bagi surah al-Falaq dan ‘al-Mu’awwizah. Kedua’ (المعوذة الثانية) bagi Surah al-Nas. Selain itu, kedua-dua surah ini secara bersama turut dikenali dengan nama ‘al-Mushaqshiqatain’ (الْمُشَقْشِقَتَيْنِ), iaitu dua surah yang petah berbicara; juga dengan nama ‘al-Muqashqishatain’ (الْمُقَشْقِشَتَيْنِ), iaitu dua surah yang membersihkan pembacanya dari sifat munafik. (Lihat al-Tahrir Wa al-Tanwir, 30/623-624)

Surah al-Falaq dan Surah al-Nas Merupakan Makkiyah atau Madaniyah?

Terdapat perbezaan pandangan yang ketara dalam kalangan ulama salaf mengenai status surah ini, sama ada termasuk dalam kategori Makkiyyah atau Madaniyyah. Walau bagaimanapun, menurut Ibn ‘Asyur pandangan yang lebih sahih ialah bahawa ia termasuk dalam kategori Makkiyyah. Menurutnya lagi, walaupun al-Suyuti memilih pandangan bahawa surah ini adalah Madaniyyah berdasarkan sebuah riwayat yang dikaitkan dengan sabab nuzulnya, iaitu kisah seorang lelaki Yahudi bernama Labid Bin al-A’sam yang menyihir Rasulullah SAW, namun tidak ada bukti dari riwayat sahih bahawa peristiwa ini merupakan sabab nuzul kepada Surah al-Falaq. (Lihat al-Tahrir Wa al-Tanwir, 30/624-628).

Pandangan Ibn ‘Asyur ini disokong oleh Samy Ahraiz melalui sebuah artikel ilmiahnya dalam jurnal ‘Dirasat’ terbitan Universiti Jordan, yang mengupas isu ini secara menyeluruh dan tuntas. Dari  penelitian dan pentahkikannya, beliau merumuskan bahawa walaupun peristiwa Rasulullah SAW disihir oleh Labib adalah sahih sebagaimana dinukilkan oleh banyak kitab hadith, seperti Sahih al-Bukhari, namun kesahihan riwayat mengenai sesuatu peristiwa dalam sirah Rasulullah SAW dan kesahan peristiwa terbabit sebagai sabab nuzul sesuatu ayat adalah dua perkara yang berbeza. Dalam konteks ini, tidak ada bukti kukuh dari riwayat-riwayat sahih mengenai peristiwa ini yang menunjukkan bahawa Surah al-Mu’awwizatain, iaitu Surah al-Falaq dan al-Nas turun disebabkan oleh peristiwa ini.  (Lihat Mawqif al-Mufassirin Min Sabab Nuzul Suratai al-Mu’awwizatain, Jurnal ‘Dirasat’, 41/1059-1060)

Bahkan para ulama berpandangan bahawa Surah al-Falaq dan Surah al-Nas turun secara berturutan pada jarak waktu yang sama. ( Lihat al-Tahrir Wa al-Tanwir, 30/631)

Antara hadith Rasulullah SAW yang membuktikan kebenaran fakta ini adalah sebuah riwayat dalam Sahih Muslim daripada Uqbah Bin ‘Amir R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:

«أَلَمْ تَرَ آيَاتٍ أُنْزِلَتِ اللَّيْلَةَ لَمْ يُرَ مِثْلُهُنَّ قَطُّ، قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلْفَلَقِ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ» 

Maksudnya: “Tidakkah kamu mengetahui ayat-ayat yang telah diturunkan pada malam ini, ia merupakan ayat yang tiada tandingannya dan seumpama dengannya?; iaitu ( قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلْفَلَقِ) dan (قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ)

Riwayat Muslim (814)

Justeru, memandangkan riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma yang mengatakan bahawa kedua-dua surah ini turun pada zaman Makkiyyah adalah sahih, maka secara automatiknya pendapat yang mengkategorikan surah ini sebagai Makkiyyah adalah lebih tepat. Selain itu, kandungan kedua-dua surah ini tidaklah terfokus kepada perlindungan dari sihir semata-mata seperti dalam peristiwa sihir Labid, akan tetapi kedua-duanya membimbing manusia untuk memohon perlindungan dari segala keburukan dan kejahatan. Ini ditambah pula dengan ciri-ciri Makkiyyah yang jelas terpapar pada kedua-dua surah ini seperti saiznya yang ringkas dan padat, serta susunan lafaznya yang sekata berbentuk sajak seperti kelaziman pada surah-surah Makkiyyah. 

Sehubungan itu, perbezaan ketara dalam penentuan status surah ini dari sudut Makkiyyah atau Madaniyyahnya, turut melibatkan Surah al-Nas. Sebagai rumusan, mengikut pandangan yang rajih, kedua-dua surah ini adalah berada dalam kategori Makkiyyah. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/742-743)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”