#7863: Tafsir Ayat Kedua Surah al-Nasr

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan tafsir ayat 2 Surah al-Nasr?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَرَأَيْتَ ٱلنَّاسَ يَدْخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفْوَاجًا 

Maksudnya: “Engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai.”

(Surah al-Nasr: 2)

Allah SWT berfirman: “Engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai.” Maksudnya secara berjamaah dan berkelompok, sepertimana ombak yang terus menggulung-gulung. Hal ini terjadi ketika Nabi SAW membebaskan kembali kota Makkah daripada kemusyrikan.Menurut al-Tabari, manusia daripada pelbagai lapisan bangsa Arab dan kabilah-kabilahnya termasuk penduduk Yaman serta kabilah-kabilah Nizar masuk ke dalam agama Allah secara rombongan demi rombongan.  Mereka masuk agama Allah beramai-ramai, setelah sebelumnya mereka masuk agama Allah secara sendirian. Dengan demikian, seluruh kabilah Arab telah memeluk agama Islam.  (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/702-703)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili memberikan komentarnya terhadap lafaz (أَفْوَاجًا) yang disebutkan di dalam ayat ini, seluruh kabilah Arab ketika peristiwa pembukaan kota Makkah itu memeluk Islam secara berbondong-bondong yakni beramai-ramai, walhal sebelum ini, mereka memeluk Islam secara individu. Rentetan daripada peristiwa itu, terbit satu isu iaitu hukum beriman secara ikut-ikutan, sepertimana yang berlaku ketika peristiwa ini. 

Jumhur fuqaha dan sebahagian ramai para mutakallimin berpendapat sesungguhnya iman seorang muqallid (yakni orang yang bertaklid) adalah sah. Allah SWT menghukum kesahihan iman orang ramai yang berbondong-bondong memeluk agama Islam tersebut. Allah juga menjadikan hal itu termasuk kenikmatan terbesar atas Nabi Muhammad SAW. Ini kerana, jika iman mereka tidak sah, pastilah Allah SAW tidak akan menyebutkannya dalam masalah ini. 

Sekalipun keislaman dan keimanan seseorang sah berdasarkan taqlid, ini tidak menolak kemungkinan bahawa iman yang terbina secara ikut-ikutan mempunyai bahayanya tersendiri. Rukhsah yang diberikan, jika tidak disambut dengan tarbiah rabbani berteraskan dalil-dalil syarak dan akal, mempunyai risiko bagi seseorang untuk terjerumus semula ke lembah kesesatan. Boleh jadi inilah punca berlakunya murtad besar-besaran selepas wafatnya Rasulullah SAW – bukan kerana Baginda SAW gagal dalam dakwahnya, sedangkan Baginda SAW telah menyampaikan keseluruhan ajaran Islam dan disaksikan oleh semua sahabat – tetapi berpunca daripada kegagalan seseorang mukallaf itu untuk mendalami ilmu-ilmu syarak dan merasai kemanisan iman yang bebas daripada unsur asabiyyah, sehingga mereka ditipu oleh dunia, dan para penyerunya, dan memilih untuk murtad. 

Tragedi murtad pada zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar al-Siddiq R.A merupakan fitnah dan musibah yang besar kepada umat Islam, apabila begitu banyak kabilah-kabilah Arab yang murtad, kecuali mereka yang tinggal di Makkah, Madinah, Ta’if dan perkampungan Jausy di Bahrain.  Dalam hadis yang diriwayatkan oleh  Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW membaca ayat:

إِذَا جَآءَ نَصْرُ ٱللَّهِ وَٱلْفَتْحُ (١) وَرَأَيْتَ ٱلنَّاسَ يَدْخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفْوَاجًۭا 

Kemudian Baginda SAW bersabda:

 لَيُخْرِجَنَّ مِنْهُ أَفْوَاجًا كَمَا دَخَلُوا فِيهِ أَفْوَاجًا 

Maksudnya: “Sesungguhnya pasti mereka akan keluar daripada agama Allah secara berkelompok-kelompok, sebagaimana mereka juga masuk dahulu secara beramai-ramai.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (8518)

Dalam Musnad Ahmad (no. 14696), diriwayatkan bahawa seseorang melihat Saidina Jabir bin Abdullah R.Anhuma bercerita tentang perpecahan dan peristiwa yang menimpa masyarakat Islam, lalu beliau menangis. Apabila ditanya mengapakah beliau menangis, beliau berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW pernah bersabda seperti hadith di atas. 

Kefahaman ini dinukilkan oleh ramai musafir dalam kitab-kitab mereka seperti Ibn Kathir, Ibn Atiyyah, al-Qurtubi, dan al-Razi, menandakan isu ini merupakan perkara yang mesti diambil berat oleh masyarakat Islam agar ia tidak berulang. Perkara yang paling penting yang perlu diterapkan adalah keimanan yang mantap dengan makrifah yang sebenarnya. Ia bukan berdasarkan ikut-ikutan atau diselubungi dengan kejahilan. Inilah yang akan membawa kelemahan, bukan kepada individu itu sendiri, tetapi juga kepada khalayak masyarakat dan negara. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/707-709)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.” 1