#7864: Maksud al-Fath (ٱلْفَتْحُ) dalam Surah al-Nasr

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan kalimah al-Fath dalam surah al-Nasr?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِذَا جَآءَ نَصْرُ ٱللَّهِ وَٱلْفَتْحُ 

Maksudnya: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan.”

(Surah al-Nasr: 1)

Ayat ini menjelaskan satu kefahaman khusus tentang hakikat peristiwa yang berlaku di alam ini dan tentang peranan Rasulullah SAW dan peranan orang yang beriman dalam urusan dakwah Islam dan batas keupayaan mereka dalam urusan ini. Pertolongan dan kemenangan itu adalah datang daripada Allah SWT pada masa yang ditentukannya dan dalam bentuk yang dikehendaki-Nya, sedangkan Nabi SAW dan para sahabatnya pada hakikatnya tidak mempunyai apa-apa peranan dalam kemenangan itu.

Ia merupakan urusan Allah SWT semata-mata yang dilaksanakannya dengan mereka atau tanpa mereka. Cukuplah Allah melaksanakan kemenangan urusan agama-Nya melalui mereka dan melantik mereka selaku pengawal dan pemegang amanah agama-Nya. Inilah keseluruhan peranan mereka dalam mencapai kemenangan dan dalam sambutan orang ramai menerima agama Allah SWT. Kerana itu dalam menghadapi penghormatan Allah yang merealisasikan kemenangan itu, mereka berkewajipan bertasbih, bertahmid dan beristighfar pada saat-saat kemenangan itu. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/701)

Maksud al-Fath dalam Surah al-Nasr

Ahli tafsir berkata, apabila telah “datang” kepada Nabi Muhammad SAW pertolongan Allah atas orang yang memusuhi, bermaksud terhadap kaum Quraisy, dan (ٱلْفَتْحُ) bermaksud kemenangan dalam penaklukan kota Makkah. Di sini, boleh juga mengatakan “pertolongan” bagi Rasulullah atas kaum Quraisy tanpa ketentuan khusus. Boleh juga merujuk kepada pertolongan bagi Nabi SAW dalam menghadapi orang yang memeranginya, iaitu kaum kafir. Kemenangan juga merujuk kepada pelbagai negeri dan kawasan. Ada juga yang mengatakan bahawa “pertolongan” di sini maksudnya adalah bahawa Allah SWT membuka ilmu pengetahuan kepada mereka dan pelajaran untuk mencapai kemenangan. “Kedatangan” dan “pertolongan” di sini digabungkan untuk menunjukkan bahawa keduanya ditujukan kepada Rasulullah.

Perbezaan antara pertolongan dan kemenangan adalah bahawa kemenangan bererti tercapainya sesuatu yang diinginkan yang sebelumnya tertutup kemungkinan untuk mencapainya, dan pertolongan adalah sebagai sebab untuk kemenangan. Oleh kerana itu, Allah SWT pertama sekali menyebutkan pertolongan, kemudian dirangkaikan kemenangan kepadanya. “Pertolongan” juga bermaksud sempurnanya agama, dan kemenangan adalah “penerimaan” dunia, iaitu kenikmatan yang sempurna. Sebahagian yang lain pula berpendapat pertolongan adalah keberuntungan dan kemenangan adalah syurga. Inilah sepertimana dijelaskan oleh al-Razi. Dikatakan bahawa perkara yang lebih mudah dan lebih jelas dari ini, bahawa pertolongan adalah dukungan yang dapat mengalahkan musuh dan menguasainya, dan kemenangan adalah penaklukan kawasan musuh dan memasuki  wilayah mereka. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/701-702)

Selain itu, kita yakin bahawa kemenangan daripada Allah dan pembukaannya sebagaimana boleh berlaku pada zaman Rasulullah SAW, ia juga berlaku pada zaman akhir kerana sifat Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Begitu juga dengan janji Allah yang pasti menolong hamba-hamba-Nya yang menolong-Nya. Keyakinan ini disandarkan kepada janji pembukaan Konstantinopel. Daripada Bisyr al-Ghanawi R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ ، فَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا ، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ»

Maksudnya: “Sesungguhnya Konstantinopel akan dibukakan. Sebaik-baik pemerintah ialah pemerintah yang membukanya dan sebaik-baik tentera ialah tentera pemerintah itu.”

Riwayat Ahmad (18957), al-Hakim dalam al-Mustadrak (8300) dan al-Tabarani (1216). Al-Haithami menyatakan para perawi hadith ini thiqah

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. 

Mengambil kesempatan dengan apa yang berlaku di Gaza, Palestin sekarang ini, November 2023, marilah sama-sama kita mengangkat tangan dan berdoa kepada saudara-saudara kita agar diberi kekuatan menghadapi tribulasi yang amat dahsyat ini, di samping kemenangan bagi pihak mereka.

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

 Riwayat al-Bukhari (6393)

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)