#7868: Pembahagian Amthal atau Perumpamaan dalam al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan dengan lebih jelas jenis amthal atau perumpamaan yang terdapat dalam al-Quran?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Al-Amthal (الْأَمْثَالُ) merupakan kata jama‘ kepada al-Misl (الْمِثْلُ) membawa maksud ‘seperti’ atau ‘umpama’. Menurut al-Qattan, mathal di dalam al-Quran ialah ungkapan suatu makna dalam bentuk yang indah, ringkas, dan memberi kesan di dalam jiwa; sama ada kalimah itu dalam bentuk tasybih (perumpamaan) atau ungkapan bebas. (Lihat Mabahith fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 292) 

Perumpamaan di dalam al-Quran boleh dibahagikan kepada 3 jenis, iaitu:

Pertama: Amthal Musarrahah

Amthal Musarrahah merupakan perumpamaan yang menggunakan perkataan mathal (perumpamaan atau perbandingan) atau apa-apa perkataan yang merujuk kepada perumpamaan atau perbandingan. 

Contohnya dalam ayat 17 dari Surah al-Baqarah:

مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ ٱلَّذِى ٱسْتَوْقَدَ نَارًۭا فَلَمَّآ أَضَآءَتْ مَا حَوْلَهُۥ ذَهَبَ ٱللَّهُ بِنُورِهِمْ وَتَرَكَهُمْ فِى ظُلُمَـٰتٍۢ لَّا يُبْصِرُونَ

Maksudnya: “Perumpamaan golongan munafik ini seperti seseorang yang menyalakan api dan sejurus api itu menerangi dirinya, tiba-tiba Allah melenyapkan cahaya tersebut lantas membiarkan mereka dalam kegelapan tanpa dapat melihat sesuatu apa pun.”

(Surah al-Baqarah: 17) 

Kedua: Amthal Kaminah 

Amthal Kaminah merujuk kepada ayat yang tidak menggunakan perkataan mathal atau yang seumpama dengannya tetapi ia memberi makna yang indah dalam bentuk yang padat dan mempunyai impak yang tersendiri apabila dipindahkan kepada ayat yang serupa dengannya. 

Sebagai contoh, perumpamaan mutiara kata “sebaik-sebaik perkara adalah kesederhanaan” atau ‘pertengahan di antara dua sifat’. Kata-kata ini diungkapkan menerusi beberapa ayat al-Quran dalam bentuk yang berbeza. 

Antara ayat tersebut ialah pada ayat 68 dari Surah al-Baqarah:

قَالُوا۟ ٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنَا مَا هِىَ ۚ قَالَ إِنَّهُۥ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌۭ لَّا فَارِضٌۭ وَلَا بِكْرٌ عَوَانٌۢ بَيْنَ ذَٰلِكَ ۖ فَٱفْعَلُوا۟ مَا تُؤْمَرُونَ

Maksudnya: “Mereka berkata: ‘Mintalah kepada Tuhanmu agar Dia menjelaskan kepada kami bagaimana sifat-sifat lembu itu?’ Nabi Musa menjawab: ‘Allah berfirman bahawa lembu betina itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak pula terlalu muda tetapi pertengahan di antara keduanya, maka laksanakanlah apa yang telah diperintahkan kepada kamu’.” 

(Surah al-Baqarah: 68) 

Ketiga: Amthal al-Mursalah 

Amthal al-Mursalah ialah ayat yang diletakkan tanpa menggunakan lafaz tasybih secara jelas tetapi ayat-ayat tersebut berfungsi sebagai ayat mathal. 

Antara ayat-ayat yang termasuk di bawah kategori ini, sepertimana dalam firman Allah SWT:

وَتَرَكْنَا بَعْضَهُمْ يَوْمَئِذٍۢ يَمُوجُ فِى بَعْضٍۢ ۖ وَنُفِخَ فِى ٱلصُّورِ فَجَمَعْنَـٰهُمْ جَمْعًۭا

Maksudnya: “Pada hari kiamat itu, kami biarkan manusia bercampur-campur antara satu sama lain. Pada waktu ditiupkan sangkakala kedua, Kami himpunkan mereka semua di Padang Mahsyar.”

(Surah al-Kahf: 99)

Tujuan Ayat Perumpamaan

Kewujudan ayat perumpamaan seperti di atas menunjukkan penggunaan ilmu bahasa Arab yang terdapat di dalam al-Quran adalah pada tahap tertinggi. Selain itu, ayat perumpamaan juga mempunyai tujuan yang lain. 

Antara tujuan atau fungsi ayat amthal adalah seperti berikut:

  • Ayat perumpamaan berfungsi untuk mendekatkan kefahaman al-Quran kepada pendengar atau pembacanya dengan menggunakan cara yang dikenali ataupun dirasai oleh mereka.

Ayat amthal mampu memberikan gambaran sesuatu berita ghaib dengan menggunakan realiti semasa. Ini dapat dilihat pada gambaran al-Quran mengenai golongan yang mengamalkan riba. Allah SWT berfirman:

ٱلَّذِينَ يَأْكُلُونَ ٱلرِّبَوٰا۟ لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ ٱلَّذِى يَتَخَبَّطُهُ ٱلشَّيْطَـٰنُ مِنَ ٱلْمَسِّ ۚ 

Maksudnya: “Orang yang memakan riba tidak akan bangkit daripada kubur mereka kecuali dalam keadaan terhuyung hayang seperti mereka yang dirasuk syaitan.”

(Surah al-Baqarah: 275) 

  • Ayat perumpamaan juga mampu membangkit perasaan suka atau benci terhadap sesuatu perkara. 

Sebagai contoh, didatangkan dalam Surah al-A’raf di mana Allah SWT menyamakan sifat ahli kitab dengan anjing. Firman Allah SWT:

وَٱتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ٱلَّذِىٓ ءَاتَيْنَـٰهُ ءَايَـٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ ٱلشَّيْطَـٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلْغَاوِينَ (١٧٥) وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَـٰهُ بِهَا وَلَـٰكِنَّهُۥٓ أَخْلَدَ إِلَى ٱلْأَرْضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ ۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلْكَلْبِ إِن تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَث ۚ ذَّٰلِكَ مَثَلُ ٱلْقَوْمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا ۚ فَٱقْصُصِ ٱلْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ (١٧٦)

Maksudnya: “Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.”

(Surah al-A‘raf: 175-176)

Allah SWT juga menyamakan golongan yahudi dengan keldai sepertimana firman-Nya dalam Surah al-Jumu‘ah:

مَثَلُ ٱلَّذِينَ حُمِّلُوا۟ ٱلتَّوْرَىٰةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ ٱلْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًۢا ۚ بِئْسَ مَثَلُ ٱلْقَوْمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ ۚ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Maksudnya: “(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.”

(Surah al-Jumu‘ah: 5)

Manakala Allah menyamakan golongan yang beriman ibarat pokok yang kukuh dan bermanfaat kepada manusia seperti dalam firman-Nya:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًۭا كَلِمَةًۭ طَيِّبَةًۭ كَشَجَرَةٍۢ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌۭ وَفَرْعُهَا فِى ٱلسَّمَآءِ

Maksudnya: “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.”

(Surah Ibrahim: 24) 

Dan juga al-Quran pula diibaratkan seperti cahaya seperti dalam firman-Nya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَكُم بُرْهَـٰنٌۭ مِّن رَّبِّكُمْ وَأَنزَلْنَآ إِلَيْكُمْ نُورًۭا مُّبِينًۭا

Maksudnya: “Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak).”

(Surah al-Nisa’: 174)

  • Ayat perumpamaan juga berpotensi untuk menjadi asas dan kaedah kepada ilmu tafsrian mimpi dan ini disebutkan oleh Ibn al-Qayyim di dalam I‘lam al-Muwaqqi‘in. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/689)

Beginilah serba sedikit mengenai ayat perumpamaan yang terkandung dalam al-Quran. Jawaban ini mungkin tidaklah dapat mencakupi keseluruhan perincian berkenaan ayat amthal atau perumpamaan di dalam al-Quran. Akan tetapi, ia memadai untuk menjadi gambaran umum dan penerangan ringkas mengenai perumpamaan dalam ketinggian bahasa al-Quran.

Semoga kita dapat memperoleh faedah dari perkongsian ini, sekaligus meningkatkan lagi kualiti kefahaman kita ketika membaca dan mentadabburi al-Quran. Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahu a‘lam