#7872: Sebab Nuzul Surah al-Kauthar 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan sebab nuzul Surah al-Kauthar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّآ أَعْطَيْنَـٰكَ ٱلْكَوْثَرَ ١ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ ٢ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلْأَبْتَرُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu kebaikan yang banyak, antaranya sungai al-Kauthar di syurga. Maka solatlah engkau dan sembelihlah korban. Sesungguhnya orang yang mengejimu itulah yang terputus daripada kebaikan dan tidak akan diingati melainkan dengan kejahatan.”

(Surah al-Kauthar: 1-3)

Dalam menjawab persoalan ini, antara sebab turunnya surah ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

لَمَّا قَدِمَ كَعْبُ بْنُ الْأَشْرَفِ مَكَّةَ، قَالَتْ لَهُ قُرَيْشٌ: أَنْتَ خَيْرُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ وَسَيِّدُهُمْ، قَالَ: نَعَمْ، قَالُوا: أَلَا تَرَى إِلَى هَذَا الْمُنْبَتِرُ مِنْ قَوْمِهِ، يَزْعُمُ أَنَّهُ خَيْرٌ مِنَّا، وَنَحْنُ – يَعْنِي: أَهْلُ الْحَجِيجِ، وَأَهْلُ السِّدَانَةِ – قَالَ: أَنْتُمْ خَيْرٌ مِنْهُ، فَنَزَلَتْ (إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلْأَبْتَرُ) [الكوثر: 3]، وَنَزَلَتْ (أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ أُوتُوا نَصِيبًا مِّنَ الْكِتَابِ يُؤْمِنُونَ بِالْجِبْتِ وَالطَّاغُوتِ) [النساء: 51] إِلَى قَوْلِهِ: (فَلَن تَجِدَ لَهُ نَصِيرًا) [النساء: 52].  

Maksudnya:Apabila Ka‘b bin al-Asyraf tiba di Makkah, golongan Quraisy berkata kepadanya: “Kamu adalah sebaik-baik penduduk Madinah dan pemimpin mereka.” Dia berkata: “Ya.” Mereka berkata: “Tidakkah kamu lihat orang yang cacat dan pelik daripada kaumnya, mendakwa dia lebih baik daripada kami. Padahal kami adalah kaum yang memberi khidmat kepada orang yang datang melakukan haji serta menguruskan Kaabah. Ka‘b bin al-Asyraf berkata: “Kamu lebih baik daripada dia.” Maka Allah SWT menurunkan ayat:إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلْأَبْتَرُ dan أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ أُوتُوا نَصِيبًا مِّنَ الْكِتَابِ يُؤْمِنُونَ بِالْجِبْتِ وَالطَّاغُوتِ sehingga ayat: فَلَن تَجِدَ لَهُ نَصِيرًا [Surah al-Nisa’: 51-52]

Riwayat al-Nasaie dalam Sunan al-Kubra (11643). Ibn Kathir menyatakan dalam tafsirnya bahawa sanad hadith ini sahih.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”