#7873: Maksud al-Ma’un (ٱلْمَاعُونَ)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan maksud al-Ma’un?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَيَمْنَعُونَ ٱلْمَاعُونَ

Maksudnya: “Serta enggan memberi bantuan kepada orang yang memerlukan sedangkan dia mampu dan tidak pula memudaratkannya jika dia berbuat sedemikian.”

(Surah al-Ma’un: 7)

Kalimah al-Ma’un ini pada asalnya bermaksud sesuatu yang bermanfaat. Ibn Kathir menyebutkan beberapa pandangan antaranya, al-Ma‘un bermaksud zakat, ‘Ikrimah berkata: “Asas al-Ma‘un ialah zakat harta. Ibn Kathir merumuskan bahawa al-Ma‘un ialah segala bantuan sama ada dengan harta atau sesuatu yang membawa manfaat.”  (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/634; Tafsir Ibn Kathir, 8/497)

Sifat al-Ma’un ini ialah menegah manusia daripada melakukan perkara yang bermanfaat dalam semua bentuk, walaupun perkara tersebut kecil sahaja mereka tetap menegah untuk melakukanya seperti meminjamkan jarum, parang, periuk, garam dan lain-lain. Mujahid Ibn Jabr berkata, al-ma‘un ialah memberi pinjam barang-barang yang selalu digunakan manusia seperti parang, timba, perkakasan dapur. Al-Tabari menyatakan, ia adalah menegah manusia dari mendapat perkara yang bermanfaat. Asal makna al-ma‘un ialah setiap sesuatu yang bermanfaat. Dalam ayat ini, ia memberi tegahan dan larangan bersikap bakhil atau kedekut daripada memberi bantuan kecil dan sedikit. Sesunguhnya sikap bakhil mencacatkan maruah seseorang.  (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/673-674)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”