#7874: Maksud Yang Mendustakan Agama dalam Surah al-Ma’un

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud yang mendustakan agama dalam surah al-Ma’un?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَرَءَيْتَ ٱلَّذِى يُكَذِّبُ بِٱلدِّينِ

Maksudnya: “Tidakkah engkau melihat kepada orang yang mendustakan agama dan hari kiamat.”

(Surah al-Ma’un: 1)

Dusta dengan agama dikaitkan dengan dua pendapat. Pendapat pertama, kaitannya dengan individu tertentu seperti Abu Sufian yang setiap minggu menyembelih dua ekor binatang ternakan lalu datang seorang anak yatim yang meminta kepadanya daging, tetapi Abu Sufian marah kepadanya dan mengherdiknya dengan mengangkat tongkat. Muqatil pula berkata ia diturunkan kepada al-‘As bin Wa’il al-Sahami yang mempunyai sifat mendustakan hari akhirat dan selalu melakukan perkara yang keji. Pendapat kedua menyatakan ia umum kepada sesiapa yang mendustakan hari akhirat kerana jika seseorang itu ingkar kewujudan hari kiamat, mereka akan lakukan semua perkara menurut hawa nafsu. Dengan maksud orang yang ingkar dengan hari akhirat adalah asal kepada kekufuran dan maksiat. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 30/112)

Maksud berdusta dengan agama, ada beberapa pendapat antaranya ialah: 

  • Pertama: Mendusta agama Islam sama ada tidak percaya kepada Allah, tidak percaya kepada kenabian Nabi Muhamad SAW, tidak percaya kepada hari kebangkitan atau syariat. Al-Din secara mutlaknya adalah Islam. Firman Allah SWT: 

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَـٰمُ ۗ

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Din di sisi Allah ialah Islam.” 

(Surah Ali Imran: 19) 

  • Kedua: Pendapat kebanyakan ahli tafsir ialah dengan maksud, tidakkah kamu lihat kepada yang mendustakan hari perhitungan dan pembalasan. Hujah kepada pendapat ini ialah kerana boleh jadi sesiapa yang ingkar kepada agama Islam itu berbuat perkara yang baik dan berjaga-jaga dengan perkara buruk serta percaya dengan hari kiamat dan kebangkitan. Tetapi jika mereka terus-menerus melakukan kejahatan, sudah pasti mereka ingkar kepada hari kebangkitan dan hari kiamat.

Allah SWT menjelaskan dua sifat pendusta agama; pertama, menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim; dan kedua, tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin. Sedangkan kita semua tahu bahawa pendusta agama tidak hanya lakukan dua perkara itu sahaja. Justeru, ia adalah contoh sahaja. Dinyatakan dua contoh tersebut adalah kerana dua perbuatan tersebut amat mungkar dari sudut syarak dan amat keji dari sudut kamanusian.  (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/672-673)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”