#7877: Menghina dan Mencaci atau Mengingkari al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimanakah kedudukan seseorang yang merendahkan al-Quran atau mashaf, atau mencela dan mengingkarinya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ 

Maksudnya: Dan jika kamu bertanya kepada mereka tentang ejekan-ejekan itu, tentulah mereka akan menjawab, ‘Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bergurau.’ Katakanlah, ‘Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta rasul-Nya kamu persendakan?’

(Surah al-Taubah: 65)

Syeikh al-Tantawi berkata ketika menafsirkan ayat ini: “Apabila kamu wahai Nabi yang mulia atau orang beriman yang berakal bertemu dengan orang yang bermain-main dengan ayat-ayat Kami dengan cara mendustakannya, mentohmahnya atau menghinanya maka hendaklah kamu melarikan diri daripada mereka atau meninggalkan majlis mereka supaya mereka melihat perbuatan kamu itu (iaitu meninggalkan mereka) seperti tidak senang dengan tingkah laku mereka dan janganlah kamu kembali semula kepada mereka sehinggalah mereka berbicara tentang perkara yang lain. Ini kerana, ayat-ayat Kami itu dinisbahkan kepada Kami (Allah SWT) dan menjadi tanggungjawab kita terhadap ayat-ayat al-Quran adalah dengan membesarkan serta memuliakannya dan bukannya menjadi tempat untuk diejek atau dihina.” (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 5/98)

Kami takrifkan al-Quran terlebih dahulu:

Menurut al-Qamus al-Muhit (1/49), al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التَّنْزيل) iaitu yang diturunkan. Menurut al-Mu’jam al-Wasit, al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة), iaitu bacaan sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧)‏ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.

(Surah al-Qiyamah: 17-18)

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qira’atuh (bacaannya/cara membacanya). (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, 2/722)

Firman Allah SWT:

وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya:Dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

( Surah al-Isra’: 78)

Dikatakan juga bahawa al-Quran adalah majaz (kiasan) bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar). (Lihat Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, 2/197-198)

Dari sudut Istilah, al-Quran adalah kalam tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya. (Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2)

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas. (Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8)

Makna al-Quran yang disepakati oleh Ulama’ Usul, fuqaha’ dan Ulama’ Bahasa – Al-Quran adalah Kalam yang mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mazhaf yang dipindahkan secara mutawattir dan membacanya adalah Ibadah. (Lihat Mabahith fi Ulum al-Quran, hlm 21)

Definisi al-Quran dari sudut Istilah yang masyhur ialah: Kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan, ketahuilah bahawa sesiapa yang (dengan sengaja) merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, atau mencacinya, atau mengingkarinya tidak kira satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya atau mendustai sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum atau berita yang jelas dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya, atau menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira jatuh kafir di sisi ulama secara ijma‘. (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/646).

Begitu juga al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, di antara perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur ialah dia dengan sengaja menghina agama secara terang-terangan atau mengingkarinya seperti mencampakkan kotoran kepada mashaf (al-Quran) kerana perbuatan itu jelas menghina kalamullah, dan menghina atau merendah-rendahkan suatu ucapan (kalam) bermaksud dia telah menghina atau merendah-rendahkan Pengucapnya — yakni Allah SWT. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/431).

Di sana terdapat hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْمِراءُ في القُرآنِ كُفرٌ

Maksudnya: Syak pada al-Quran adalah suatu kekufuran.

Riwayat Abu Daud (4603); Ahmad (7835); al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (8093; Ibn Hibban (1464); al-Hakim dalam al-Mustadrak (2/223); Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (10/529); Al-hakim menyebutkan, hadith ini adalah sahih menurut syarat Imam Muslim tetapi beliau tidak meriwayatkannya. Hal ini juga dipersetujui oleh al-Zahabi. 

Menurut Ibn al-‘Attar, perkataan al-Mira’ (المِراءُ) bermaksud syak dan boleh juga dengan makna perdebatan yang batil.

Begitu juga riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَنْ جَحَدَ آيَةً مِنَ الْقُرْآنِ فَقَدْ حَلَّ ضَرْبُ عُنُقِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengingkari satu ayat daripada al-Quran (dalam kalangan kaum Muslimin), maka halallah untuk dipancung lehernya.

Riwayat Ibn Majah (2539)

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa wajib ke atas kita untuk beriman dengan al-Quran keseluruhannya dan tidak boleh ragu-ragu dan syak, sementelahan lagi menghina dan mendustakannya

Perkara yang sama turut dinyatakan oleh Ibn al-‘Attar dalam kitabnya, al-I‘tiqad al-Khalis min al-Syak wa al-Intiqad (hlm. 167-168).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”