#7882: Makna Ababil (أَبَابِيلَ) dalam Surah al-Fil

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan makna Ababil dalam Surah al-Fil?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ

Maksudnya: “Dia telah menghantar kepada mereka burung-burung yang datang beramai-ramai.”

(Surah al-Fil: 3)

Allah SWT mengajak supaya manusia berfikir tentang peristiwa yang berlaku terhadap tentera bergajah Abrahah dengan menghancurkan mereka serta Dialah yang memelihara Baitullah. Manusia sepatutnya melihatnya dengan penuh keyakinan terhadap kekuasaan Allah dan beriman kepada-Nya. 

Penduduk Makkah telah melihat peristiwa tersebut apabila datang tentera bergajah yang dipimpin oleh Raja Abrahah yang beragama Nasrani ke Hijaz untuk meruntuhkan Kaabah. Raja Abrahah berasal daripada Hasbyah yang memerintah Yaman. Apabila mereka ingin memasuki Makkah, Allah SWT telah menghantar sekumpulan burung yang membawa batu yang dibakar untuk dilemparkan kepada mereka sehingga mereka hancur dan binasa.

Allah mengajak supaya berfikir tentang kegagalan perancangan dan usaha mereka untuk meruntuhkan Kaabah, bahkan Allah yang menghancurkan mereka. Jika kaum musyrikin Makkah mengetahui tentang perkara ini, maka sepatutnya mereka takut kepada Allah yang akan menurunkan hukuman yang sama kepada mereka sekiranya mereka terus berada dalam keadaan mengkufuri Allah dan rasul-Nya SAW. 

Menjawab persoalan di atas: Para ulama berbeza pandangan tentang maksud Ababil. Antaranya:

  • Burung yang sebahagian mengikut sebahagian yang lain.
  • Burung yang banyak
  • Burung yang berbeza-beza, berturutan dan terkumpul.
  • Burung yang berbeza-beza, datang dari setiap tempat.
  • Burung berwarna hijau dari lautan dan berkepala seperti binatang buas.

Ibn Jarir al-Tabari memilih makna Ababil merangkumi semua sifat ini, beliau berkata: “Tuhanmu menghantar kepada mereka burung yang berselerak, sebahagianya mengikut sebagian yang lain, dari arah yang berbeza-beza.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 24/527)

Allah SWT telah menghantar kepada mereka burung yang datang secara berkumpulan. Burung-burung tersebut datang daripada arah laut. Setiap burung membawa 3 batu iaitu dua batu di kaki dan satu batu di paruh. Batu tersebut jika terkena pada sesuatu, ia akan menghancurkannya. Ia adalah batu yang kecil daripada tanah liat yang dibakar. Apabila batu itu kena pada tentera bergajah, mereka akan menjadi seperti daun-daun yang dimakan oleh binatang. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/655)

Burung Ababil yang dihantar oleh Allah membawa batu (sijjil) yang melontar ke arah Abrahah dan tentera bergajahnya. Batu yang sangat keras dan panas itu menghancurkan apa sahaja yang mengenainya. Tiada satu pun yang terlepas dari sasaran burung Ababil ini.

Gajah-gajah yang besar itu menggelupur mati dan ramai dari kalangan tentera Abrahah juga mati menjadi sasaran batu panas lontaran Ababil. Keadaan pada waktu itu Allah gambarkan seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat. Berlubang-lubang menjadi rosak dan akhirnya rosak seluruh daun tersebut. Abrahah turut menjadi sasaran batu panas dari burung Ababil. Saat Abrahah dibawa keluar dari kota Makkah, jari-jarinya gugur satu persatu ibarat dimakan api dari dalam. Abrahah akhirnya mati ketika dalam perjalanan pulang ke negaranya. Kematiannya penuh dengan kemurkaan daripada Allah SWT.

Kaabah milik Allah yang cuba dimusnahkan oleh Abrahah akhirnya dijaga dan dipelihara sendiri oleh Allah SWT dan tentera Allah SWT. (Lihat Zad al-Ma’ad oleh Ibn al-Qayyim, 1/75)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”