#7889: Hati Berbolak-Balik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah hati sifatnya berbolak-balik dan bagaimana cara untuk menetapkannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sebuah hadith daripada Ummu Salamah – Asma’ binti Yazid bin Sakan – Rasulullah SAW sering mengucapkan doa: ‘اللَّهُمَّ مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ’ (Ya Allah, Yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu). Aku (Ummu Salamah) pun bertanya: “Hai Rasulullah, apakah hati itu berbolak-balik?” Baginda SAW menjawab:

نَعَمْ ، مَا مِنْ خَلْقِ اللهِ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ بَشَرٍ إِلاَّ أَنَّ قَلْبَهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ ، فَإِنْ شَاءَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَقَامَهُ ، وَإِنْ شَاءَ أَزَاغَهُ ، فَنَسْأَلُ اللَّهَ رَبَّنَا أَنْ لاَ يُزِيغَ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَانَا ، وَنَسْأَلُهُ أَنْ يَهَبَ لَنَا مِنْ لَدُنْهُ رَحْمَةً ، إِنَّهُ هُوَ الْوَهَّابُ.

Maksudnya: “Ya, tidak seorang pun manusia ciptaan Allah melainkan hatinya berada di dua jari dari jari-jari Allah. Jika Allah menghendaki, Dia boleh meluruskannya. Dan jika Dia menghendaki, Dia boleh menyesatkannya. Maka kita memohon kepada Allah, Tuhan kita agar tidak menyesatkan hati kita setelah Dia memberi petunjuk kepada kita, dan kita memohon kepada-Nya agar mengurniakan kepada kita rahmat dari sisi-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pemberi.”

Riwayat al-Tirmizi (3517) dan Ahmad (301). Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawa’id (10/179) menyebut bahawa isnadnya hasan.

Dalam menetapkan hati kita ini, perkara yang utama dan pertama adalah banyakkan berdoa dan munajat kepada Allah sebagaimana firman Allah SWT:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.” 

Surah Ali Imran (8)

Ibn Kathir berkata: Pengertian doa ini adalah: Ya Tuhan kami, janganlah engkau palingkan hati kami daripada petunjuk setelah Engkau berikan kami petunjuk dan Engkau tetapkan kami di atas jalan petunjuk. Dan janganlah jadikan kami seperti orang-orang yang hatinya sesat di mana mereka sengaja mengikuti ayat-ayat musyabih dalam al-Quran dengan tujuan mencipta fitnah dan membuat pentakwilan yang batil. Tetapkanlah kami pada jalan Engkau yang lurus dan agama-Mu yang kukuh. Kurniakanlah kepada kami dari sisi-Mu rahmat yang dapat meneguhkan hati kami, menyatukan diri-diri kami dan menambah keimanan dan keyakinan dalam jiwa kami. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/11)

Syeikh al-Maraghi berkata bahawa orang yang dalam ilmunya akan segera memohon kepada Allah SWT agar diri mereka dipelihara dari segala kesesatan setelah mendapat hidayah, diberi sikap teguh untuk mengetahui hakikat sesuatu dan bersikap lurus sewaktu menetapkan kebenaran. Mereka berdoa kerana sedar akan kelemahan manusia, yang mempunyai watak berubah-ubah, lupa dan lemah serta takut jatuh dalam kesalahan. Sedangkan kesalahan itu teman karib kebinasaan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/695)

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”