#7890: Syarat Nyanyian Mengikut al-Qaradhawi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami pandangan Dr Yusuf al-Qaradhawi berkenaan dengan nyanyian yang dibolehkan dan syaratnya.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ ‎

Maksudnya: Dan ada di antara manusia, orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan, yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah SWT dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah SWT itu sebagai ejek-ejekan, merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.

(Surah Luqman: 6)

Ibn Hazm berkata: Sesungguhnya ayat ini menyebut tentang suatu sifat. Barangsiapa yang melakukannya menjadilah dia kafir tanpa khilaf lagi iaitu apabila dia menganggap jalan kepada Allah SWT itu sebagai permainan atau hiburan. Begitu juga jika dia membeli al-Quran al-Karim untuk menyesatkan orang daripada jalan Allah SWT dan menjadikannya sebagai permainan nescaya dia menjadi kafir. Inilah yang dicela oleh Allah SWT. Jika dia menyertai Lahwul-hadith iaitu hiburan yang sia-sia untuk menggembirakan dirinya, melapangkan fikirannya dan tidak bermaksud untuk menyesatkan orang dari jalan Allah SWT, maka ianya tidak termasuk dalam celaan-Nya. Ibn Hazm juga telah menolak dakwaan orang yang mengatakan nyanyian itu bukanlah dikira hal yang hak iaitu benar. 

Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram antara lain menyebut:

Tegasnya, sesiapa yang berniat mendengar nyanyian itu untuk membantunya membuat dosa dan maksiat, maka jelaslah dia fasik (berdosa). Ini termasuk apa saja selain nyanyian. Sesiapa yang berniat menenangkan dirinya supaya dapat mengembalikan kekuatan tenaganya untuk beribadah kepada Allah SWT, membuat amal kebajikan maka perbuatannya dikira daripada yang hak atau benar. Begitu juga sesiapa yang tidak berniat untuk melakukan ketaatan mahupun maksiat, ianya dikira laghwun, hiburan semata-mata termasuk yang dimaafkan umpama seorang yang bersiar dalam taman, atau suka menyendiri dan sebagainya. 

Terdapat beberapa syarat dalam nyanyian, antaranya:

  • Hendaklah topik nyanyian itu patuh kepada perundangan yang tidak bertentangan dengan adab dan tatasusila Islam dan pengajarannya. Jika nyanyian mengagungkan masalah khamar (arak) dengan mengajak orang ramai mencuba dan meminumnya, maka nyanyian seperti ini adalah haram. Orang yang mendengar nyanyian seperti itu hukumnya haram.
  • Nyanyian yang tidak bertentangan dengan pengajaran dan petunjuk Islam tetapi penyanyi tersebut yang tidak mengawal dan menjaga tatasusila dan norma-norma ketimuran dengan membangkitkan perasaan berahi yang tidak mampu dikawal maka hukumnya haram.
  • Jika berhibur dengan nyanyian tanpa mempedulikan perkara yang wajib iaitu solat lima waktu maka hiburan ini dianggap melalaikan dan membazirkan waktu kerana berlebih-lebihan yang melampau dengan mengabaikan keutamaan ibadah yang wajib.
  • Pendengar itu sendiri harus tahu mengawal diri dan memastikan hiburan atau nyanyian yang boleh merosakkan jiwa dan mendatangkan fitnah yang melampau kepada agama, maka tindakan yang matang harus dilakukan untuk menyelamatkan diri atau masyarakat sekeliling.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa  Mu’asirah pula antara lain menyebut: Oleh itu, adalah lebih baik bagi seorang Muslim agar menjaga agamanya dengan mengambil “azimah” dan “takutkan” perkara-perkara syubhah. Dia juga perlu menjauhkan dirinya dari ruang yang akan menyukarkannya untuk keluar dari perkara yang haram.

Siapa yang mengambil rukhsah, mestilah berhati-hati dan bersungguh-sungguh menjaga dirinya. Dia hendaklah memilih sesuatu yang selamat daripada terjerumus ke lembah dosa setakat yang termampu. Apabila hal ini terpakai kepada pendengar, maka tentulah bagi orang-orang yang mencari rezeki dengan menyanyi, hal ini lebih ketat dan menakutkan. Ini kerana bergelumang dengan “dunia seni” seperti yang mereka katakan, adalah satu bahaya besar kepada agama seseorang. Jarang sekali mereka ini dapat keluar dari dunia seni dalam keadaan selamat dan sejahtera. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”