#7892: Ancaman daripada Membunuh

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Islam mengharamkan pembunuhan tanpa sebenar dan boleh terangkan kepada kami dalil-dalilnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Membunuh termasuk di dalam 7 dosa besar, jika dilakukan tanpa hak dan sebenarnya. Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا 

Maksudnya: Bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya.

(Surah al-Maidah: 32)

Ini kerana jenis manusia itu diumpamakan sebagai satu usrah (keluarga). Oleh itu, bertindak terhadap suatu jiwa dari jiwa-jiwa itu samalah seperti bertindak ke atas semua manusia dan menentangnya.

Lebih-lebih lagi berat kehormatannya apabila yang dibunuh itu adalah seorang yang beriman kepada Allah SWT, berdasarkan firman-Nya:

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا 

Maksudnya: Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka Jahannam, kekallah dia di dalamnya, dan Allah SWT murka kepada-Nya, dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.

(Surah al-Nisa’: 93)

 Daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللهِ مِنْ قَتْلِ مُسْلِمٍ

Maksudnya: “Betapa lenyap dunia keseluruhannya adalah lebih ringan menurut pandangan Allah SWT daripada membunuh seorang Muslim.”

Riwayat al-Tirmizi (1395), al-Nasa’ie (3987) 

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda lagi:

لاَيَزَالُ الْمُؤْمِنُ فِي فُسْحَةٍ مِنْ دِينِهِ مَالَمْ يُصِبْ دَمًا حَرَامًا

Maksudnya: “Seorang mukmin sentiasa berada dalam kelapangan dari agamanya selagi dia tidak menyentuh darah yang haram.”

Riwayat al-Bukhari(6862)

 Daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda lagi:

كُلُّ ذَنْبٍ عَسَى اللهُ أَنْ يَغْفِرَهُ، إِلاَّ الرَّجُلَ يَمُوتُ مُشْرِكًا، أَوِ الرَّجُلَ يَقْتُلُ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا

Maksudnya: “Setiap dosa, mudah-mudahan Allah SWT akan mengampuninya, kecuali lelaki yang mati dalam keadaan musyrik, iaitu menyekutukan Allah SWT atau lelaki yang membunuh seorang mukmin dengan senjata.”

 Riwayat Abu Daud (4270), Ibn Hibban (5980)

Dengan adanya dalil daripada ayat al-Quran al-Karim dan hadis Nabi SAW ini, maka Ibn Abbas R.Anhuma berpendapat bahawa taubat orang yang membunuh itu tidak akan diterima sama sekali. Beliau berpendapat bahawa di antara syarat taubat itu ialah tidak boleh menerima taubat seseorang melainkan dengan mengembalikan semua hak-hak itu kepada tuannya, atau dengan mendapat kerelaan dan persetujuannya. Oleh itu, bagaimana dapat mengembalikan hak-hak seseorang yang telah terbunuh kepada sahabatnya? Tetapi, pendapat yang lain pula mengatakan: Sesungguhnya taubat nasuha itu tetap akan diterima kerana dia dapat memadamkan sifat syirik pada seseorang, apatah lagi dosa yang lebih rendah daripada syirik itu. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 611-613)

Sesungguhnya ramai ulama’ yang mengkaryakan berkenaan dengan tarhib daripada membunuh. Antaranya al-Imam al-Zahabi di dalam al-Kaba’ir, al-Imam Ibn Hajar al-Haitami di dalam al-Zawajir, dan lain-lain lagi. Semoga Allah SWT pelihara kita daripada membunuh insan yang tidak berdosa dan tidak bersalah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”