#7912: Abu Ubaidah al-Jarrah dan Keistimewaannya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Salah seorang sahabat nabi, Abu ubaidah. Adakah di sana terdapat hadith, bahawa beliau digelar amin kepada umat ini.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Benar sama sekali. Perkataan amin juga dimaknakan dengan pemegang amanah atau setiausaha atau orang yang dipercayai. Inilah yang diberi gelaran kepada Abu Ubaidah al-Jarrah R.A yang juga salah seorang daripada 10 sahabat Nabi SAW yang dijamin masuk syurga.

Daripada Huzaifah R.A bahawa Nabi SAW bersabda kepada penduduk Najran: 

لَأَبْعَثَنَّ إِلَيْكُمْ رَجُلًا أَمِينًا حَقَّ أَمِينٍ. فَاسْتَشْرَفَ لَهَا أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَبَعَثَ أَبَا عُبَيْدَةَ.

Maksudnya: “Sesungguhnya aku akan utuskan kepada kamu seorang lelaki yang sangat dipercayai.” Maka para sahabat Nabi SAW sangat berharap untuk mendapat kemuliaan tersebut, lalu Baginda mengutuskan Abu ‘Ubaidah.

Riwayat al-Bukhari (7254) 

Daripada Anas R.A, Nabi SAW bersabda: 

لِكُلِّ أُمَّةٍ أَمِينٌ، وَأَمِينُ هَذِهِ الأُمَّةِ أَبُو عُبَيْدَةَ.

Maksudnya: “Setiap umat mempunyai orang yang sangat dipercayai, dan orang yang sangat dipercayai pada umat ini ialah Abu ‘Ubaidah.”

Riwayat al-Bukhari (7255) 

Nama penuh beliau ialah Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah ialah ‘Amir bin Abdullah bin al-Jarrah bin Hilal bin Uhaib bin Dhabbah bin al-Harith bin Fihr bin Malik bin al-Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma‘ad bin ‘Adnan al-Qurasyi al-Fihri al-Makki. Beliau termasuk salah seorang al-Sabiqun al-Awwalun (orang-orang yang terdahulu — yang mula-mula berhijrah dan memberi bantuan), dan merupakan orang yang diinginkan oleh al-Siddiq untuk mengambil alih pemerintahan khalifah dan Abu Bakar al-Siddiq telah menunjuk kepada beliau pada hari peristiwa al-Saqifah disebabkan kelayakkannya yang cukup menurut Abu Bakar. Selain itu, beliau juga termasuk dalam kalangan orang yang dijanjikan syurga oleh Nabi SAW, dan nasab beliau bertemu dengan nasab Baginda SAW pada Fihr. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/5-6). 

Al-Waqidi berkata: Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah meninggal dunia disebabkan oleh Taun ‘Amwas di Syam pada tahun 18 Hijrah. Uthman bin ‘Ata’ daripada bapanya menyatakan bahawa dikuburkan Abu ‘Ubaidah di Bisan. Begitu juga Sa‘id bin ‘Abd al-‘Aziz berkata: Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah meninggal dunia di Urdun (satu wilayah di Syam) dan beliau disolatkan oleh Muaz bin Jabal.

Sebelum wafat, beliau sempat berpesan kepada tenteranya: “Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat yang menjadi kewajipan, berpuasalah di bulan Ramadhan, bersedekahlah dengan harta kamu, tunaikanlah ibadah haji dan umrah serta janganlah lupa untuk saling menasihati sesama kamu. Berikanlah nasihat yang baik kepada pemimpin kamu dan jangan pernah berbohong serta jangan pernah tertipu dengan kekayaan dunia. Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ajal bagi setiap manusia, oleh sebab itu seluruh manusia pasti akan mati. Orang yang beruntung adalah mereka yang paling taat kepada Allah SWT dan mempunyai banyak bekalan untuk dibawa ke akhirat.”

Selepas beliau mengakhiri pesannya itu, Muaz bin Jabal R.A berucap di hadapan orang ramai: “Wahai seluruh kaum Muslimin! Kamu sudah dikejutkan dengan berita kewafatan seorang pahlawan yang demi Allah SWT aku tidak menemukan ada orang yang lebih baik hatinya, memiliki pandangan yang jauh, lebih mencintai hari akhirat dan suka memberikan nasihat kepada orang ramai. Oleh kerana itu, kasihanilah beliau dan semoga kamu juga akan dikasihi Allah SWT.” (Lihat juga al-Isabah, 2/252; al-Isti‘ab, 3/2; Hilyah al-Auliya’, 1/100 dan Sifah al-Safwah, 1/142; Siyar al-Salaf al-Salihin, 1/262).

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)