#7924: Pengaruh Maksiat Terhadap Puasa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.Apakah hukum seseorang yang sedang berpuasa itu mengumpat, menipu, atau melihat wanita bukan mahram dengan syahwat? Apakah puasanya sah atau terbatal?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”

 Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya. (Lihat Fath al-Bari, 4/115)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan perbuatan-buatan sebegitu mengurangkan pahala puasa dan tidak membatalkan puasa, tetapi puasanya sia-sia disebabkan oleh perbuatan yang dilakukannya, bahkan dia akan diazab kerana perbuatannya. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلاَّ الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلاَّ السَّهَرُ

Maksudnya:Berapa banyak orang yang berpuasa, tiada apa dari puasanya melainkan menahan dari makan dan minum”.

Riwayat Ibn Majah (1680)

Ibnu Arabi mengatakan hadith ini menunjukkan bahawa puasanya tidak diberi pahala. Ini bererti, pahala puasa itu tidak diperoleh apabila puasa itu dikerjakan bersama-sama dengan perbuatan dosa dan maksiat yang lain.

Ibnu Hazm berpendapat, perkara-perkara ini mampu membatalkan puasa seperti mana makan dan minum. Pandangan seumpama ini turut dilaporkan oleh sebahagian daripada sahabat dan tabiin.

Walau bagaimanapun, pada pandangan al-Qaradhawi, meskipun beliau tidak bersetuju dengan pandangan Ibnu Hazm, namun beliau berpendapat bahawa maksiat-maksiat ini dapat menghilangkan faedah berpuasa dan menjejaskan tujuan pensyariatannya. Oleh sebab itu, para salafus soleh mengambil berat terhadap usaha menahan diri daripada melakukan perbuatan yang sia-sia dan haram, sebagaimana mereka mengambil berat terhadap usaha menahan diri daripada makan dan minum. (Lihat Fatwa Kontemporari, 1/197)

Saidina Umar r.a. mengatakan, puasa itu bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum sahaja, bahkan daripada berdusta, perbuatan batil dan sia-sia. Kenyataan seperti ini turut dilaporkan oleh Saidina Ali r.a.

Jabir r.a. pernah mengatakan, “Apabila kamu berpuasa, maka pastikan telinga, mata, dan lidah kamu juga berpuasa daripada dusta dan perbuatan dosa. Janganlah sakiti pembantu kamu dan jadilah orang yang sentiasa tenang pada hari kamu berpuasa. Jangan jadikan hari puasa kamu sama dengan hari kamu tidak berpuasa.”

Oleh sebab itu, apabila Toliq berpuasa, beliau hanya berada di rumah dan tidak keluar kecuali untuk pergi menunaikan solat.

Kesimpulannya, puasa itu mempunyai kesan dan ganjaran yang dijanjikan. Sementara perbuatan mengumpat, berdusta, melihat wanita/lelaki yang bukan mahram dengan syahwat dan seumpamanya menjanjikan balasan dan hukuman di sisi Allah s.w.t:

وَكُلُّ شَيْءٍ عِندَهُ بِمِقْدَارٍ

Maksudnya: “Dan setiap sesuatu di sisi-Nya, ada ukurannya.”

(Surah ar-Ra’d:8)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah: 201)