#7926: Jika Tiada Jemaah, Bagaimana Caranya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika tiada jemaah Muslim yang benar-benar mematuhi perintah Allah khususnya di akhir zaman, bagaimana cara kita menyelamatkan agama kita?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, cukuplah sebuah hadith Nabi SAW, iaitu hadith Huzaifah al-Yaman yang berkata:

كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الخَيْرِ، وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنِ الشَّرِّ، مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِي. فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ فَجَاءَنَا اللهُ بـِهَذَا الخَيْرِ، فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الخَيْرِ مِنْ شَرٍّ؟ قَالَ: «نَعَمْ». قُلْتُ: وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ؟ قَالَ: «نَعَمْ، وَفِيهِ دَخَنٌ». قُلْتُ: وَمَا دَخَنُهُ؟ قَالَ: «قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي، تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ». قُلْتُ: فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الخَيْرِ مِنْ شَرٍّ؟ قَالَ: «نَعَمْ، دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ، مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا». قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ صِفْهُمْ لَنَا، قَالَ: «هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا، وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا». قُلْتُ: فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ؟ قَالَ: «تَلْزَمُ جَمَاعَةَ المُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ». قُلْتُ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلاَ إِمَامٌ؟ قَالَ: «فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الفِرَقَ كُلَّهَا، وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ، حَتَّى يُدْرِكَكَ المَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ».

Maksudnya: Dahulu orang ramai (para sahabat) bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kebaikan, sedangkan aku bertanya kepada Baginda tentang keburukan kerana khuatir keburukan itu akan terkena padaku. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, sungguh kami berada di masa jahiliyah dan keburukan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami, apakah sesudah kebaikan ini ada keburukan?” Baginda menjawab: “Ya!” Aku berkata: “Apakah sesudah keburukan itu ada kebaikan?” Baginda bersabda: “Benar, akan tetapi terdapat asap padanya (iaitu keadaannya sudah tidak bersih).” Aku berkata: “Apakah asap tersebut?” Baginda bersabda: “Kaum yang berpetunjuk dengan selain petunjukku. Engkau mengenali mereka akan tetapi mengingkari amalan mereka.” Aku berkata: “Apakah sesudah kebaikan itu ada lagi keburukan?” Baginda bersabda: “Benar, para penyeru kepada pintu-pintu jahanam. Barangsiapa menyambut (mengikut seruan) mereka maka mereka akan mencampakkan ke dalam jahannam.” Aku berkata: “Wahai Rasulullah, sebutkan sifat-sifat mereka kepada kami.” Baginda bersabda: “Mereka berkulit sama dengan kita dan berbicara dengan bahasa kita.” Aku berkata: “Apakah yang engkau perintahkan kepadaku jika aku mendapati keadaan seperti itu?” Baginda bersabda: “Hendaklah engkau melazimi jemaah kaum muslimin dan imam mereka.” Aku berkata: “Bagaimana jika tidak ada jemaah dan tidak pula ada imam (pemimpin) kaum muslimin?” Baginda bersabda: “Hindari kelompok-kelompok itu semuanya meskipun engkau tinggal dengan menggigit akar kayu sampai kematian datang menjemputmu dalam keadaan engkau seperti itu.”

Riwayat al-Bukhari (7084)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”