#7929: Saling Membantu dalam Rumahtangga ke Arah Kebaikan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah peranan suami dan isteri demi menuju ke arah kebaikan di akhirat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Perkahwinan itu adalah suatu ikatan yang utuh, termeterai dengan sumpah taat setia untuk menempuhi kehidupan bersama, teguh menghadapi segala rintangan, memberi bantuan dan dorongan kepada pasangan supaya dapat bersama-sama melakukan tanggungjawab masing-masing dengan kemampuan yang terbaik. 

Allah SWT menyifatkannya sebagai (مِّيثَـٰقًا غَلِيظًۭا) yang bermaksud ikatan yang kuat, ini sebagaimana firman-Nya:

وَأَخَذْنَا مِنْهُم مِّيثَـٰقًا غَلِيظًۭا

Maksudnya: “Mereka (para wanita itu) telah mengambil perjanjian yang kuat dari kamu.”

(Surah al-Nisa’: 154)

Melihat kepada persoalan yang diajukan, perjalanan untuk menggapai kebahagiaan di akhirat itu perlulah melalui liku-liku kehidupan yang penuh dengan ujian. Oleh itu, dalam melayari bahtera rumahtangga ini, kuncinya adalah untuk saling bantu membantu antara satu sama lain ke arah kebaikan. Apabila seseorang dari pasangan kita melakukan kebaikan yang dibenarkan oleh syara‘, kita digalakkan untuk memberi dorongan dan bantuan agar mereka dapat berterusan melakukan amal kebaikan. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Memahami firman Allah SWT ini, dapat disimpulkan bahawa jika salah seorang dari pasangan suami isteri itu melakukan perbuatan yang ditegah, sama ada tegahan yang membawa maksud makruh atau haram, maka pasangannya itu tidaklah dituntut untuk membantu mereka melakukan perbuatan tersebut. Terutamanya apabila perbuatan itu dengan jelas terdapatnya pengharaman di dalam nas-nas syara‘.

Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Tiada ketaatan pada perkara maksiat, sesungguhnya taat itu pada perkara yang ma‘ruf (baik).”

Riwayat al-Bukhari (7257) dan Muslim (1840)

Antara bantu-membantu yang dituntut oleh Islam juga adalah saling membantu dalam mengerjakan ibadah dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Adakalanya seseorang itu akan merasa lemah dan lalai dalam melakukan ibadah. Oleh yang demikian, pertolongan dan galakan yang baik daripada pasangan dapat mendatangkan keazaman dan semangat dalam dirinya. Bukankah lebih indah kehidupan rumahtangga itu apabila galakan itu datang dari pasangan kita sendiri?

Tauladan yang baik telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, sebagaimana dalam hadith Abu Hurairah R.A, sabda Baginda:

رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً قَامَ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّى وَأَيْقَظَ امْرَأَتَهُ فَصَلَّتْ فَإِنْ أَبَتْ رَشَّ فِي وَجْهِهَا الْمَاءَ رَحِمَ اللَّهُ امْرَأَةً قَامَتْ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّتْ وَأَيْقَظَتْ زَوْجَهَا فَصَلَّى فَإِنْ أَبَى رَشَّتْ فِي وَجْهِهِ الْمَاءَ 

Maksudnya: “Allah memberi rahmat kepada lelaki yang bangun pada malam hari, lalu dia menunaikan solat dan mengejutkan isterinya. Kemudian isterinya pula bangun menunaikan solat. Jika isterinya enggan bangun, dia merenjiskan air ke wajah isterinya. Allah juga memberi rahmat kepada wanita yang bangun pada malam hari, lalu dia menunaikan solat dan mengejutkan suami. Kemudian suaminya bangun menunaikan solat. Jika suaminya enggan bangun, dia merenjiskan air ke wajah suaminya.”

Riwayat Abu Dawud (1308), al-Nasa’ie (1610), Ibn Majah (1336) dan Ahmad (7404)

Rasulullah SAW mengajarkan bagaimana kita boleh membantu pasangan kita untuk bangun mendirikan solat malam dengan cara yang penuh kelembutan. Mereka bukan sahaja saling bantu-membantu untuk mengerjakan amalan ketaatan kepada Allah SWT semata, akan tetapi mereka turut sama mendapatkan rahmat Allah SWT atas perbuatan ehsan ini. 

Kita juga dapat lihat bagaimana Rasulullah SAW menuntut kita untuk saling bantu-membantu, tetapi disertai dengan kelembutan dan sifat kasih terhadap pasangan. Baginda SAW tidak menyuruh kita untuk menggerak-gerakkan tubuh pasangan atau menjirusnya dengan air agar mereka bangun mendirikan solat malam. Bahkan cukup dengan renjisan air yang pastinya tidak menyebabkan seseorang merasa terkejut kerana kekerasan atau kedinginan air yang dirasai. Beginilah kerjasama yang sewajarnya dijalin antara pasangan dalam menuju ke arah kebaikan.

Suami dan isteri pastinya mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam rumahtangga, dan sebahagian darinya adalah melindungi ahli keluarga dari kerosakan moral dan sahsiah, atau kemusnahan yang boleh mengheret seseorang itu ke dalam neraka Allah SWT.  Antara bantuan yang dapat dimainkan oleh pasangan suami isteri adalah, dengan mengemudi keluarga mereka kepada ajaran Islam dan menjauhi larangan syara‘.

Allah SWT berfirman:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

(Surah al-Tahrim: 6)

Qatadah ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa, hendaklah kamu memerintahkan mereka untuk taat kepada Allah SWT dan melarang mereka daripada melakukan maksiat kepada-Nya. Kamu perlu jalankan tanggungjawab terhadap mereka berdasarkan perintah Allah SWT dan membantu mereka untuk menjalankan perintah tersebut. Jika kamu melihat mereka melakukan maksiat kepada Allah SWT, maka halang dan cegahlah mereka daripadanya. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/522)

Kerjasama pasangan suami isteri amatlah penting dalam menyuruh kepada perkara yang baik dan melarang perkara yang bersalahan dengan hukum syara‘. Bantu-membantu antara pasangan ini akhirnya akan menatijahkan pengakhiran kebaikan yang dijanjikan Allah SWT, dengan izin-Nya. 

Sebagai penutup, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT:

وَٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍۢ ۚ يَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ ٱللَّهُ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌۭ (٧١) وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ جَنَّـٰتٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةًۭ فِى جَنَّـٰتِ عَدْنٍۢ ۚ وَرِضْوَٰنٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ أَكْبَرُ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ (٧٢)

Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam Syurga ‘Adn serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.”

(Surah al-Taubah: 71-72)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أكْثِرْ أَمْوَالَنَا، وَأَوْلَادَنَا، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أعْطَيْتَنَا، وَأطِلْ حَيَاتَنَا عَلَى طَاعَتِكَ، وَأحْسِنْ أَعْمَالَنَا، وَاغْفِرْ لَنَا

Maksudnya: “Ya Allah, perbanyaklah harta dan anak kami serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan pada kami. Panjangkanlah umur kami dalam ketaatan pada-Mu dan baikkanlah amal kami serta ampunilah dosa-dosa kami.”

Wallahu a‘lam