#7930: Memanggil Ketua Sebagai Sayyid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh atau tidak kita memanggil ketua di kalangan kita sebagai sayyid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Maksud sayyid di sini adalah penghulu atau ketua. Justeru, memanggil kalimah seperti ini biasanya dinisbatkan kepada Nabi SAW sebagaimana hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَأَوَّلُ مَنْ يَنْشَقُّ عَنْهُ الْقَبْرُ، وَأَوَّلُ شَافِعٍ وَأَوَّلُ مُشَفَّعٍ

Maksudnya: “Aku adalah pemimpin anak Adam pada hari Kiamat. Aku adalah orang yang pertama akan dibangkitkan daripada kubur. Aku adalah orang pertama yang akan memberi syafaa’t dan dibenarkan  memberi syafaa’t.”

Riwayat Muslim (2278)

Imam al-Nawawi mengatakan hadith ini menunjukkan bahawa kelebihan atau kemuliaan Nabi SAW berbanding makhluk-makhluk yang lain. Ini kerana, mengikut mazhab ahli sunnah anak-anak Adam lebih mulia daripada malaikat dan Nabi SAW adalah yang paling mulia di antara anak-anak Adam yang lain dan juga selain daripada anak Adam. [Lihat: al-Minhaj: 38/15]

Begitu juga Rasulullah SAW digelar sebagai sayyidul anbiya’ wa al-mursalin atau penghulu para nabi dan rasul. Berkenaan dengan panggilan kepada ketua di kalangan kita dengan sayyid adalah dibolehkan. Hal ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abi Sa’id, katanya:

أَنَّ أَهْلَ قُرَيْظَةَ نَزَلُوا عَلَى حُكْمِ سَعْدٍ، فَأَرْسَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِ فَجَاءَ، فَقَالَ: «قُومُوا إِلَى سَيِّدِكُمْ أَوْ قَالَ: خَيْرِكُمْ». فَقَعَدَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «هَؤُلاَءِ نَزَلُوا عَلَى حُكْمِكَ» قَالَ: فَإِنِّي أَحْكُمُ أَنْ تُقْتَلَ مُقَاتِلَتُهُمْ، وَتُسْبَى ذَرَارِيُّهُمْ، فَقَالَ: «لَقَدْ حَكَمْتَ بِمَا حَكَمَ بِهِ المَلِكُ» قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ: أَفْهَمَنِي بَعْضُ أَصْحَابِي، عَنْ أَبِي الوَلِيدِ، مِنْ قَوْلِ أَبِي سَعِيدٍ: «إِلَى حُكْمِكَ».

Maksudnya: Bahawa Bani Quraizah sedia menerima keputusan daripada Sa’ad, lalu Nabi SAW mengirim utusan kepadanya. Oleh itu, dia pun datang, dan Baginda bersabda: “Berdirilah untuk menghormati pempimpin kamu.” — atau Baginda bersabda: “Orang terbaik daripada kamu.” — Lalu dia duduk di sisi Nabi SAW. Kemudian, Baginda bersabda: “Mereka sedia menerima keputusan penghakiman daripadamu.” Sa’ad berkata: “Sesungguhnya aku memutuskan bahawa semua lelaki yang berperang hendaklah dibunuh, manakala wanita dan kanak-kanak dalam kalangan mereka pula dijadikan tawanan.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya kamu telah menghukum dengan hukuman Raja (Allah SWT).” Abu ‘Abdillah Imam al-Bukhari berkata: “Sebahagian sahabatku telah memahamkan aku, daripada Abu al-Walid, daripada kata-kata Abu Sa’id: hingga sabda Baginda: إِلَى حُكْمِكَ.”

Riwayat al-Bukhari (6262)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”