#794: Zikir Tetapi Hati Lalai

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum jika seseorang itu berzikir, tetapi hatinya lalai seperti dia ingat kepada perkara lain? Dan apa hukumnya jika kita berzikir, tetapi tidak tahu maknanya? Mohon penjelasan.

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Zikir adalah satu istilah yang suci dari Ilahi. Seperti yang didefinisikan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di, zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya. (Lihat al-Riyadh al-Nadhirah, hlm. 245)

Secara khususnya pula, zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, menyebut nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT. (Lihat al-Zikr wa Atharuh fi Dunya al-Muslim wa Akhiratih, hlm. 17-20)

Ibn ‘Allan pula menyimpulkannya sebagai apa yang kita ibadahkan berdasarkan lafaz-lafaz yang ditentukan oleh pembuat syariat (Allah SWT) bertujuan bagi mengagungkan Allah SWT dan memuji-muji-Nya. (Lihat al-Zikr wa Atharuh fi Dunya al-Muslim wa Akhiratih, hlm. 17-20)

Ini bermakna, zikir pada asasnya adalah sesuatu yang amat dituntut di dalam agama. Bahkan ayat-ayat al-Qur’an banyak menyentuh tentang perintah supaya kita berzikir kepada Allah SWT. Ada antara perintah tersebut berbentuk wajib seperti berzikir mengingati Allah SWT melalui solat lima waktu sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.”

(Surah Taha: 14)

Manakala ayat-ayat yang menyebut tentang perintah berzikir tanpa menyebut bentuk ibadah tertentu adalah tersangat banyak. Cukup dinyatakan di sini ayat 41 dalam surah al-Ahzab yang memerintahkan kita supaya memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT secara umum. Allah SWT berfirman dalam ayat tersebut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا، وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”

(Surah al-Ahzab: 41-42)

Dengan itu, tidak diragukan lagi kepentingan berzikir kepada Allah SWT. Sesiapa yang menolak kepentingan berzikir, golongan tersebut boleh dikategorikan sebagai fasiq. Ini kerana zikir adalah termasuk dalam salah satu kaedah penting dalam mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah SWT. Dalam disiplin keilmuan Islam, ilmu berkenaan hal ehwal mendekatkan diri kepada Allah SWT disebut sebagai tasawuf. Kerana itu Imam Malik pernah mengatakan bahawa, barang siapa yang berfekah tanpa bertasawuf maka dia telah menjadi fasiq. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 1/478)

Di samping itu, berzikir merupakan suatu ibadah mengingati Allah SWT yang boleh dilakukan sama ada melalui lisan ataupun melalui jantung hati. Zikir menerusi lidah meliputi istighfar, berdoa, berselawat ke atas Rasulullah SAW, tasbih, tahmid, takbir, tahlil, pembacaan al-Quran dan seumpamanya.

Membaca al-Quran turut termasuk dalam kategori perbuatan zikrullah. Kerana itu kita dapat melihat sebahagian mufassirin menafsirkan perkataan zikir yang terdapat di dalam al-Quran sebagai pembacaan al-Quran. Antaranya seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ

Maksudnya: Dan sesiapa yang berpaling dari mengingati-Ku maka buat dirinya kehidupan yang sempit dan Kami akan bangkitkan dia pada hari kiamat kelak dalam keadaan buta.”

(Surah Taha: 124)

Imam al-Qurtubi dalam tafsiran beliau ke atas kalimah ‘وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي’ berkata: “Iaitu (berpaling dari) agamaku, membaca kitab-Ku (al-Quran), dan (berpaling) daripada beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 11/258)

Selain itu, Syeikh Abu Hasan al-Syazili turut menjelaskan hakikat zikir, di mana katanya: “Hakikat zikir ialah memutuskan ingatan kepada yang lain selain-Nya.” (Lihat Iqaz al-Himam, 1/62)

Ayat al-Quran dan Hadith Nabawi Berkenaan Tuntutan Berzikir

Antara ayat al-Quran berkaitan tuntutan berzikir adalah firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! berzikirlah kamu kepada Allah dengan zikir yang banyak.”

(Surah al-Ahzab: 41)

lbn Abbas R.A berkata: “Sesungguhnya, Allah SWT tidak pernah mewajibkan suatu hal kepada hamba-hamba-Nya melainkan Dia akan meletakkan batas yang jelas untuk hal itu serta memberi uzur kepada mereka ketika berhalangan mengerjakannya. Hanya zikir yang tidak seperti itu. Sesungguhnya, Allah SWT tidak menjadikan untuk zikir itu batasan maksimum dalam melakukannya, juga tidak memberi uzur kepada sesiapa pun yang lalai mengerjakannya. Akan tetapi, yang melalaikannya itu akan rugi. Allah berfirman: ‘فَاذْكُرُوا اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِكُمْ’ (Ingatlah Allah ketika kamu berdiri, pada waktu duduk, dan ketika berbaring) (Surah al-Nisa’: 103) lngatlah Dia di malam dan siang hari, di daratan dan lautan, ketika dalam perjalanan dan menetap, pada saat kaya atau miskin, dalam keadaan sakit atau sihat, secara diam-diam atau terang-terangan, dan dalam semua situasi dan keadaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/433)

Firman Allah SWT:

وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar solat) pada waktu pagi dan petang.”

(Surah al-Insan: 25)

Di sana juga terdapat banyak hadith berkaitan galakan berzikir ini seperti hadith daripada Abu Musa R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.”

 Riwayat al-Bukhari (6407)

Daripada Abu al-Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ، قَالَ مَكِّيٌّ: وَأَزْكَاهَا، عِنْدَ مَلِيكِكُمْ، وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِعْطَاءِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ، فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ ” قَالُوا: وَذَلِكَ مَا هُوَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: ذِكْرُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Tidakkah kamu ingin aku tunjukkan kepada kamu akan sebaik-baik amalan? Kata Makki: Ia adalah sebaik-baik penyucian di sisi Tuhan kamu dan yang mengangkat darjat kamu dengan begitu tinggi. Dan ia lebih baik daripada kamu memberikan emas dan duit. Ia juga jauh lebih baik daripada kamu apabila berhadapan dengan musuh kamu dengan kamu memancung leher-leher mereka dan mereka memancung lehermu. Para sahabat berkata: Apakah perkara itu (kami ingin mengetahuinya) wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Zikir kepada Allah Azza Wa Jalla.”

Riwayat Ahmad (27102). Syeikh Syu’aib al-Arna’uth menilai sanad hadith ini adalah sahih.

Daripada Abu Darda’ R.A, Rasulullah SAW bersabda:

أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ، وَأَزْكَاهَا عِنْدَ مَلِيكِكُمْ، وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِعْطَاءِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ، فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ ؟ قَالُوا: بَلَى. قَالَ: ذِكْرُ اللَّهِ تَعَالَى

Maksudnya:  Mahukah kamu aku khabarkan amalan terbaik yang dapat dilakukan, yang paling suci di sisi Tuhan kamu, yang paling dapat menaikkan darjat kamu ke tahap tertinggi, yang lebih berharga bagimu daripada emas dan dirham, yang lebih baik dibandingkan kamu memerangi musuhmu sama ada kamu membunuh atau terbunuh? Para sahabat menjawab: “Ya.” Baginda bersabda: Zikrullah (berzikir mengingati Allah).”

Riwayat al-Tirmizi (3377), Ibn Majah (3790), Imam Malik dalam al-Muwatta’ (524), Ahmad (21702), al-Hakim dalam al-Mustadrak (1825) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1872). Syeikh Syu’aib al-Arnauth menyatakan hadis ini sanadnya sahih.

Al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Syeikh al-Islam ‘Izzuddin bin ‘Abd al-Salam berkata: Hadis ini menunjukkan bahawa pahala tidak hanya mengikut kadar kesungguhan dalam ibadat, tetapi Allah mengurniakan sedikit amalan dengan pahala yang banyak berbanding dengan seseorang itu melakukan amalan yang banyak. Justeru, pahala bergantung kepada keadaan martabat kemuliaan seseorang dari segi hatinya. ( Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/318)

Syeikh Salim menyebut: Zikir yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah zikir yang sempurna dengan lisan, tafakkur dengan hati, dan menghadirkan keagungan Allah SWT.

Dalam sebuah hadis daripada Mu’az bin Anas al-Juhani R.A, katanya:

أَنَّ رَجُلًا سَأَلَهُ فَقَالَ : أَيُّ الْمُجَاهِدِينَ أَعْظَمُ أَجْرًا يَا رَسُولَ اللَّه ؟ قَالَ : أَكْثَرُهُمْ لِلَّهِ تَعَالَى ذِكْرًا ، قَالَ فَأَيُّ الصَّائِمِينَ أَعْظَمُ أَجْرًا ؟ قَالَ : أَكْثَرُهُمْ لِلَّهِ ذِكْرًا ، ثُمَّ ذَكَرَ لَهُ الصَّلَاةَ وَالزَّكَاةَ وَالْحَجَّ وَالصَّدَقَةَ كُلُّ ذَلِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : أَكْثَرُهُمْ لِلَّهِ ذِكْرًا ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لِعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : ذَهَبَ الذَّاكِرُونَ بِكُلِّ خَيْرٍ ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَجَلْ

Maksudnya: Seseorang bertanya kepada Baginda SAW: “Orang berjihad mana yang paling besar pahalanya wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Yang paling banyak zikirnya.” Dia bertanya lagi: “Orang berpuasa mana yang paling banyak pahalanya?” Baginda SAW menjawab: “Yang paling banyak zikirnya.” Kemudian orang tersebut menyebut tentang solat, zakat, haji dan sedekah kepada Baginda dan Baginda SAW menjawab semuanya dengan sabdanya: “Yang paling banyak zikirnya. Maka Abu Bakar R.A berkata kepada Umar R.A : “Orang-orang yang selalu mengingati Allah membawa semua kebaikan.” Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Ya.”

Riwayat Ahmad (3/438) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (407)

Ibn al-Qayyim berkata: Sesungguhnya pelaku amalan apa sahaja, yang paling utama adalah yang paling banyak zikir (mengingat) kepada Allah SWT. Orang berpuasa yang paling utama adalah yang paling banyak mengingati Allah SWT dalam puasa mereka. Orang bersedekah yang paling utama adalah yang paling banyak mengingati Allah SWT. Orang melakukan haji yang paling utama adalah yang paling banyak mengingati Allah SWT dan demikianlah seluruh amalan soleh. (Lihat al-Wabil al-Soyyib, hlm 152)

Salman al-Farisi R.A pernah ditanya: “Amalan apa yang paling utama?” Beliau menjawab: “Tidakkah kamu membaca al-Quran. (Firman Allah SWT) ‘وَلَذِكْرُ اللَّـهِ أَكْبَرُ’ (Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) [Surah al-Ankabut: 45] (Lihat Jami’ al-Bayan, 20/183)

Ibn ‘Abbas R.A pernah ditanya: “Amalan apa yang paling utama?” Beliau menjawab: ‘وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ’ (Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya). (Lihat al-Wabil al-Soyyib, hlm 152)

Daripada Yusairah seorang wanita Muhajirah, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda kepada kami:

عَلَيْكُنَّ بِالتَّسْبِيحِ وَالتَّهْلِيلِ وَالتَّقْدِيسِ ، وَاعْقِدْنَ بِالْأَنَامِلِ ، فَإِنَّهُنَّ مَسْئُولَاتٌ مُسْتَنْطَقَاتٌ ، وَلَا تَغْفُلْنَ فَتَنْسَيْنَ الرَّحْمَة

Maksudnya: “Hendaklah kamu bertasbih (mengucapkan subhanallah), bertahlil (mengucapkan laa ilaha illallah), dan bertaqdis (menyucikan Allah), dan hitungkanlah dengan hujung jari jemari kamu kerana itu semua akan ditanya dan diminta untuk bicara. Janganlah kamu lalai yang membuatkan kamu lupa dengan rahmat Allah.”

 Riwayat al-Tirmizi (3583) dan Abu Dawud (1501). Al-Hafiz Abu Tahir menyatakan sanad hadis ini hasan.

Abu ‘Ubaidah bin Abdullah bin Mas’ud berkata: “Ketika hati seseorang terus berzikir kepada Allah maka ia seperti berada dalam solat. Jika dia berada di pasar lalu dia menggerakkan kedua bibirnya untuk berzikir, maka itu lebih baik.”

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman:

أَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي ، فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ في نَفْسِي ، وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلأٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلأٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Aku bersama hamba-Ku jika dia mengingati-Ku. Barangsiapa mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku ingat dia dalam diri-Ku. Barang siapa mengingat-Ku dalam kumpulan orang, Aku mengingatnya dalam kumpulan yang lebih baik darinya.”

Riwayat al-Bukhari (7405), (7505), (7537) dan Muslim (2675)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman:

يَا ابْنَ آدَمَ، إِنْ ذَكَرْتَنِي فِي نَفْسِكَ ذَكَرْتُكَ فِي نَفْسِي، وَإِنْ ذَكَرْتَنِي فِي مَلَأٍ ، ذَكَرْتُكَ فِي مَلَأٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ وَإِنْ دَنَوْتَ مِنِّي شِبْرًا دَنَوْتُ مِنْكَ ذِرَاعًا، وَإِنْ دَنَوْتَ مِنِّي ذِرَاعًا دَنَوْتُ مِنْكَ بَاعًا، وَإِنْ أَتَيْتَنِي تَمْشِي أَتَيْتُكَ أُهَرْوِلُ

Maksudnya: “Wahai anak Adam, jika engkau mengingat-Ku dalam dirimu maka Aku mengingatmu dalam diri-Ku, jika engkau mengingatKu dalam kelompok maka Aku mengingatmu dalam kelompok yang lebih baik darinya. Jika engkau mendekati-Ku sejengkal, nescaya Aku akan mendekatimu sehasta. Apabila engkau mendekati-Ku sehasta, nescaya Aku akan mendekatimu sedepa. Apabila engkau datang kepadaKu dalam keadaan berjalan, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan berlari.” 

Riwayat Imam Ahmad (12405)

Imam Ahmad Ibn Hanbal  meriwayatkan hadis ini daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda:

أَكْثِرُوا ذِكْرَ اللَّهِ حَتَّى يَقُولُوا مَجْنُونٌ

Maksudnya: Banyakkan berzikir kepada Allah sehingga orang kata gila.

Riwayat Ahmad (11653), al-Hakim (1839), Ibn Hibban (817), al-Baihaqi (523) dalam Syu’ab al-Iman, Abu Ya’la dalam al-Musnad (2/521) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (521). Al-Hakim mensahihkan hadis  ini. Manakala Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan, sanadnya adalah dha’if.

Al-Munawi berkata: Ini kerana dengan sebab terlalu banyaknya zikrullah. Atau orang munafik menghina mereka dengan sebab zikrullah. Terdapat dalam hadis, di mana orang munafik berkata: Mereka ini yang berzikir sebagai menunjuk-nunjuk. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 3/54)

Zikir melahirkan kewalian, tanda ahli makrifat dan bukti seorang yang siddiq (yang benar). Allah SWT telah memerintahkan hal ini kepada hamba-hamba-Nya. Firman Allah SWT:

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ

Maksudnya: “Kerana itu, ingatlah kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) Ku.”

(Surah al-Baqarah: 152)

Al-Mawardi mentafsirkan maksud ayat ini dengan dua pendapat iaitu:

  • Ingatlah kamu kepada-Ku dengan bersyukur, nescaya Aku ingat keadaanmu dengan pemberian nikmat.
  • Ingatlah kamu kepada-Ku dengan menerima segala arahan-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu dengan pembalasan yang baik. (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 1/208)

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT akan mengingati hamba-Nya dengan syarat hamba ingat kepada-Nya.

Ibn Kathir berkata: Daripada Sa’id bin Jubair, katanya: (Maksud ayat itu adalah), Ingatlah kepada-Ku dengan mentaati-Ku, nescaya aku mengingati kamu dengan keampunan-Ku. Dalam riwayat yang lain: Dengan rahmat-Ku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/465)

Sesungguhnya zikir itu menghidupkan hati dan lalai itu mematikannya. Sahl bin Abdullah al-Tustari berkata: “Tidak ada maksiat yang lebih pernah aku ketahui melainkan lupa untuk berzikir kepada Allah SWT.” (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, 1/102)

Zikir Tetapi Hati Lalai dan Tidak Khusyuk

Berzikir dalam keadaan lalai lebih baik daripada tidak berzikir langsung. Syeikh Ibn Ataillah al-Iskandari Rahimahullah berkata:

لا تَتْرُكِ الذِّكْرَ لِعَدَمِ حُضورِكَ مَعَ اللهِ فيهِ، لِأَنَّ غَفْلَتَكَ عَنْ وُجودِ ذِكْرهِ أَشَدُّ مِنْ غَفْلتِكَ في وُجودِ ذِكْرِهِ. فَعَسَى أَنْ يَرْفَعَكَ مِنْ ذِكْرٍ مَعَ وُجودِ غَفْلةٍ إلى ذِكْرٍ مَعَ وُجودِ يَقَظَةٍ، وَمِنْ ذِكِرٍ مَعَ وُجودِ يَقَظَةٍ إلى ذِكِرٍ مَعَ وُجودِ حُضورٍ، وَمِنْ ذِكِرٍ مَعَ وُجودِ حُضورٍ إلى ذِكِرٍ مَعَ وُجودِ غَيْبَةٍ عَمّا سِوَى المَذْكورِ، {وَمَا ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ بِعَزِيزٍ}

Maksudnya: “Jangan kamu meninggalkan zikir, (menyebut atau mengingat Allah) disebabkan tidak hadir hatimu terhadap Allah dalam zikir itu, ini kerana kelalaianmu terhadap Allah ketika tidak berzikir lebih berat atau berbahaya daripada kelalaianmu terhadap Allah ketika kamu berzikir. Mudah-mudahan Allah SWT akan mengangkat darjatmu daripada zikir yang ada kelalaian, kepada zikir hati sentiasa sedar. Dan seterusnya kepada zikir  yang berserta kehadiran Allah dalam hati, dan akhirnya kepada zikir yang lenyap segala yang selain Allah. Dan itu semuanya tidaklah sukar bagi Allah.” (Lihat Ahasin al-Kalim Syarh al-Hikam, hikmah ke-47, 1/25-36)

Mafhum daripada hikmah di atas adalah, dalam apa jua keadaan sekalipun, zikir hendaklah dilazimi. Ini kerana arahan zahir menyuruh zikir dan dengan izin Allah asbab zikir boleh membawa kepada ingatan dan akhlak yang mulia terlahir daripada seseorang. Allah menyuruh kita agar zikir kepada-Nya dengan sebanyak-banyaknya.

Contohnya, seseorang yang berzikir kalimah tayyibah ‘لا إله إلا الله’  sebanyak 100 kali. Jika hatinya mula dengan lalai, mungkin sahaja pada kali ke-89, Allah campakkan kesedaran dan hadir hati. Ini lebih baik daripada tidak berzikir langsung. Asalnya, seseorang yang berzikir itu tetap beroleh pahala walaupun tidak mengetahui maknanya, tetapi adalah lebih baik dan meninggalkan kesan pada hati, jika kita dapat mengkaji makna dan menghayatinya.

Daripada Jabir bin Abdillah  R.A, sabda Rasulullah SAW:

أَفْضَلُ الذِّكْرِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik zikir ialah ‘لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ’ (Tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah).”

Riwayat al-Tirmizi (3383), Ibn Majah (3800) dan al-Nasa’ie (10667)

Daripada Abdullah bin Busr R.A berkata: “Seorang lelaki bertanya Rasulullah SAW: Sesungguhnya syariat Islam terlalu banyak untuk aku amalkan. Justeru tolong beritahu aku untuk aku menjadikan amalan seharianku.” Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَزَالُ لِسَانُكَ رَطْبًا مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya:  “Hendaklah lidah kamu selalu basah dengan berzikir kepada Allah (yakni terus meneruslah berzikir kepada Allah).”

Riwayat al-Tirmizi (3375), Ahmad (3375), Ibn Majah (3793), Ibn Hibban (2317), al-Hakim (1/495). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan bahawa sanad hadis ini sahih. Al-Hafiz Abu Tahir menyatakan sanad hadis ini hasan.

Guru kami, Syeikh ‘Atiyyah Salim berkata: Jangan kamu jadikan lidahmu kosong daripada zikrullah. Ini tidak menegah kamu sekalipun kamu sedang melakukan sesuatu pekerjaan, tetapi lidahmu sentiasa zikrullah. Jika sekiranya kamu tidak mampu melakukan dengan lidahmu, maka zikirlah dengan hatimu, iaitu merasakan muraqabatullah. (Lihat Syarh Bulugh al-Maram, 1/456)

Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – يَذْكُرُ اللهَ عَلَى كُلِّ أَحْيَانِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW selalu berzikir (mengingati) Allah pada setiap waktunya.”

Riwayat Muslim (373)

Hadis ini adalah bagi menunjukkan prinsip asas iaitu zikir kepada Allah dalam segala keadaan. Meskipun dalam keadaan berhadas atau berjunub. Zikir boleh dilakukan dengan bertasbih (mengucapkan subhanallah), bertahlil (mengucapkan lailaha illallah), bertakbir (mengucapkan Allahu Akbar), bertahmid (mengucapkan alhamdulillah) dan zikir lainnya yang dibolehkan dalam segala keadaan menurut kesepakatan umat Islam. Yang diharamkan daripada zikir adalah membaca al-Quran iaitu membaca satu ayat dan selebihnya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 1/250)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H