Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat hadith di mana Nabi menggambarkan bahawa sabar itu seperti menggenggam bara api? Apa maksudnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).
(Surah Ali Imran: 100)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: Wahai orang-orang mukmin, bersabarlah untuk berbuat baik dan menahan nafsu, dan kuatkanlah kesabaran kamu. Atasilah musuh dengan bersabar menghadapi derita peperangan, dan jadilah lebih sabar daripada mereka. Berdirilah di sempadan-sempadan negeri yang akan disusupi musuh dengan mengikat kuda-kuda kamu di sana sambil bersiap sedia untuk berjihad. Bertakwalah kepada Allah dalam keadaan tersembunyi mahupun terang-terangan agar kamu mendapat keredhaan dan syurga Allah. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 386)
Sabar ertinya tahan menempuh suatu yang sukar. Sabar yang terpuji adalah sabar atas mengerjakan taat kepada Allah SWT, menjauhi segala maksiat yang dilarang-Nya dan sabar atas segala takdir-Nya. Tetapi di antara sifat sabar itu, terdapat sifat sabar kerana mengerjakan taat dan meninggalkan maksiat adalah sabar yang lebih utama, lebih utama dari sabar atas segala takdir yang amat susah dan menggelisahkan perasaan.
Nilai sabar amat tinggi di sisi Allah SWT. Ini berdasarkan kepada banyak nas sama ada al-Quran atau hadis.
Firman Allah SWT:
وَلَـنَبۡلُوَنَّكُمۡ حَتّٰى نَعۡلَمَ الۡمُجٰهِدِيۡنَ مِنۡكُمۡ وَالصّٰبِرِيۡنَ ۙ وَنَبۡلُوَا۟ اَخۡبَارَكُمۡ
Maksudnya: “Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu; dan akan Kami uji perihal kamu.”
(Surah Muhammad: 31)
Menurut Ibn Kathir, firman Allah SWT “وَلَـنَبۡلُوَنَّكُمۡ” (dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu) yakni pasti akan menguji kamu melalui perintah dan larangan, “sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu; dan akan Kami uji perihal kamu.” Pengetahuan Allah SWT lebih awal atas apa yang terjadi itu tidaklah menjadi satu keraguan. Hal ini kerana yang dimaksudkan dengan hal itu adalah, yakni sehingga Allah mengetahui kejadiannya. Oleh itu, berkenaan hal ini, Ibn Abbas R.Anhuma mengatakan: Firman-Nya “لنعلم” (agar Kami (Allah) mengetahui), adalah dengan maksud “لنرى” (agar Kami dapat melihat.)” (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 7/322)
Nabi SAW menggambarkan orang yang sabar dengan berpegang dengan agamanya adalah seperti seorang yang menggenggam bara api. Ini sepertimana dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَأْتِيْ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيْهِم عَلَى دِيْنِهِ كَالقَابِضِ عَلَى الجَمْرِ
Maksudnya: “Akan datang kepada manusia satu zaman di mana orang yang sabar daripada kalangan manusia yang berpegang dengan agamanya seperti seorang yang menggenggam bara api.”
Riwayat al-Tirmizi (2260). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan bahawa isnadnya dha’if. Namun, menurut pentakhrij kitab Misykat al-Masabih (5296), hadith ini sahih dengan banyaknya syawahid (jalur lain) padanya.
Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan: “Tidak mungkin seseorang itu boleh memegang atau menggenggam bara api melainkan ia memerlukan kesabaran yang tinggi dan perlu menanggung kesusahannya. Untuk itu, tidak dapat digambarkan pada waktu itu apabila seseorang itu ingin menjaga agamanya dan juga cahaya keimanannya kecuali dengan kesabaran yang tinggi dan kelelahan badan.” (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 8/3365 dan Tuhfah al-Ahwazi, 6/444)
Betapa pentingnya sabar sehingga diperintahkan untuk mewasiatkan dan menasihati sesama kita dengan sabar. Benarlah firman Allah SWT:
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksudnya: “Demi masa. Sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Juga saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan saling nasihat-menasihati kepada kesabaran.”
(Surah al-Asr:1-3)
Maksud saling berpesan dengan kesabaran pula ialah: Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah” (Lihat Tafsir al Tabari, 24/590 dan Tafsir al-Qurtubi, 20/123)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”