Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Akhir-akhir ini, banyak kes atau isu yang berkaitan penghinaan terhadap Rasulullah SAW. Bagaimanakah sikap kita yang sepatutnya dalam isu seperti ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمِنْهُمُ الَّذِينَ يُؤْذُونَ النَّبِيَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ ۚ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya: “Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: ‘Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya).’ Katakanlah: ‘Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu.’ Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
(Surah al-Taubah: 61)
Al-Tabari menyebutkan, bagi orang-orang munafik yang memalukan Rasulullah SAW yang dengan perkataan mereka: “Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya),” dan perumpamaan-perumpamaan mereka untuk mendustai Baginda, dan mereka yang berkata dengan mulut yang celupar dan batil, bagi mereka ini azab yang memedihkan daripada Allah di dalam neraka Jahanam. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 11/534).
Sejarah penghinaan dengan pelbagai cara sentiasa berlanjutan terhadap Baginda SAW. Ini bermula sejak zaman Baginda SAW mula menyebarkan dakwah Islam lagi. Cukuplah ibrah dan sabab nuzul dalam Surah al-Lahab dan Surah al-Kauthar menjadi bukti secara jelas bahawa yang melindungi Rasulullah SAW ialah Allah SWT sendiri.
Mutakhir ini siri serangan kepada Rasulullah SAW mula berkembang melalui medium baru dan sudah pasti tidak menyenangkan hati umat Islam. Alangkah malangnya nasib umat Islam, suatu masa dahulu, tatkala diperkotak-katikkan dan diinjak-injak maruahnya, tidak semena-mena timbul perkara yang menyedihkan, yang berunsurkan penghinaan terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Ada pendapat ulama Mesir menegaskan bahawa penghinaan kepada batang tubuh Nabi SAW bermakna melanggar lampu merah dan tidak dibolehkan sama sekali. Bahkan ada antara ulama yang berpendapat jika penghinaan itu berkaitan batang tubuh Nabi SAW, seseorang itu boleh terus diambil tindakan tanpa perlu dibawa ke mahkamah.
Justeru, umat Islam sewajarnya bersatu, bangkit mempertahankan Rasulullah SAW dengan menghantar surat bantahan atau apa juga yang difikirkan sesuai oleh ulama dan pemerintah dengan senada.
Sebenarnya mencintai Rasulullah SAW adalah termasuk dalam keimanan dan termasuk dalam kemanisan iman. Benarlah sabda Nabi SAW dalam riwayat Anas bin Malik:
ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ
Maksudnya: “Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dia akan merasai kemanisan iman: seseorang yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya sebagai yang paling dicintainya, tidak mencintai seseorang melainkan keranaNya dan membenci untuk kembali kekufuran seperti mana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.”
Riwayat Bukhari (16) dan Muslim (43)
Maksud manisnya iman di sini bukan seperti manisnya gula atau madu. Akan tetapi, ia lebih besar daripada semua rasa manis. Rasa manis yang diperolehi oleh seseorang di dalam hatinya, kelazatan tersebut tidak setara dengan apa pun. Dia akan memperoleh kelapangan dalam dadanya, cinta kepada kebaikan dan cinta terhadap orang-orang yang melakukan kebaikan. (Lihat Syarah Riyadh al-Salihin, 3/258)
Kami menyatakan bahawa Rasulullah SAW adalah insan yang paling mulia dipilih Allah, tidak seperti manusia lain. Rasulullah SAW mempunyai pelbagai keistimewaan yang tidak ada pada orang lain. Allah SWT menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan dan panduan untuk semua umat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya: ”Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
(Surah al-Ahzab: 21)
Perlu diingat dan difahami bahawa Rasulullah SAW sentiasa dalam pemeliharaan Allah SWT. Benarlah firman Allah SWT:
وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ
Maksudnya: “Dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia.”
(Surah al-Ma’idah: 67)
Ibn Kathir menyatakan, ayat ini bermaksud sampaikanlah (wahai Muhammad) akan risalah-Ku (yakni Allah), sedangkan Aku-lah Penjagamu, Penolongmu, Pendokongmu menentang musuh-musuh kamu, yang akan mengangkatmu mengatasi musuh-musuh kamu, maka janganlah engkau takut dan jangan engkau bersedih, tidak akan selamanya sampai walau seorang pun daripada musuh-musuh kamu yang boleh mencederakan kamu. Al-Maraghi menyebutkan, yakni melindungimu daripada kejahatan manusia. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/150).
Justeru kita wajib pertahankan Rasulullah SAW, memuliakan Baginda SAW, dan haram sama sekali kita menghinanya. Berat dan buruk natijahnya kita dapat lihat dalam sejarah terhadap penghina Rasulullah SAW. Marilah bersama-sama kita tekuni ayat al-Quran al-Karim seperti mana firman Allah SWT:
إِنَّا كَفَيْنَاكَ الْمُسْتَهْزِئِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu.”
(Surah al-Hijr: 95)
Ibn Kathir menyebutkan, ayat ini bererti: “Lakukanlah (wahai Muhammad) apa yang diperintahkan kepada kamu dan jangan takut selain Allah, kerana sesungguhnya Allahlah yang menjaga kamu dan memelihara kamu daripada gangguan mereka sebagaimana Dia melindungi kamu daripada golongan yang mencerca dan menghina.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/551).
Begitu juga al-Maraghi turut menyebutkan ketika menafsirkan ayat tersebut, yakni sesungguhnya Kami akan memelihara kamu daripada sebarang kejahatan orang yang mempersendakan kamu dan al-Quran yang dilakukan oleh sekelompok orang musyrik yang mempunyai kekuatan, dan seringkali menyakiti serta berbuat jahat kepada Rasulullah SAW tatkala mereka melihat Baginda melewati mereka. Allah SWT telah memusnahkan dan membinasakan mereka serta melenyapkan segala tipu daya mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/83).
Semoga Allah SWT menambahkan lagi cinta dan kasih sayang kita kepada Rasulullah SAW. Mari bersama-sama kita pelajari sirah Baginda SAW, ikuti perintah dan suruhannya, meninggalkan larangan dan tegahannya, serta sentiasa berselawat kepada Baginda SAW.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”