Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Islam menganjurkan umatnya agar saling mempermudahkan urusan satu sama lain, bukan menyusahkan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat Birokrasi ialah sistem pemerintahan dan cara pentadbiran yang melibatkan berbagai-bagai peringkat atau proses pengurusan dan banyak peraturan.
Ia juga bermaksud sistem pemerintahan atau pentadbiran yang dikendalikan atau dijalankan oleh pegawai-pegawai kerajaan (yang tidak dipilih kerajaan). Cara pemerintahan atau pentadbiran dengan pegawai-pegawai kerajaan yang mempunyai kuasa yang besar.
Secara umumnya, birokrasi merupakan satu sistem pentadbiran. Akan tetapi, jika dimasukkan unsur-unsur yang tidak sepatutnya seperti tidak jujur, pilih kasih, berlengah-lengah dalam urusan yang sepatutnya boleh diselesaikan secara mudah. Maka, pentadbiran tersebut menjadi satu pentadbiran yang tidak baik dan secara tidak langsung menindas pihak lain.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.
(Surah Al-Anfal: 27)
Al-Maraghi menyebut di dalam tafsirnya: Diriwayatkan sesungguhnya Abu Sufyan keluar dari Makkah: tidak dia keluar kecuali dalam memusuhi Rasulullah SAW dan orang-orang mukmin. Maka, Allah memberitahu Rasul-Nya tentang lokasinya. sehingga seorang lelaki dari orang-orang munafik menulis kepada Abu Sufyan: “Muhammad menghendaki kamu, jadi perhatikanlah, maka Allah menurunkan ayat: (Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad)).” (Lihat Tafsir Al-Maraghi, 9/192)
Baginda SAW menyeru agar umatnya sentiasa membantu dan memudahkan urusan orang lain agar dipermudahkan urusan di hari akhirat kelak. Ini seperti hadis daripada Abi Hurairah R.A sabda Nabi SAW:
مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat.
Riwayat Muslim (2699)
Ibn Daqiq al-’Id mensyarahkan hadis ini di dalam kitabnya menyatakan “Pelbagai jenis ilmu dan kaedah yang terdapat di dalam hadis ini tentang kelebihan menunaikan hajat seseorang. Ia juga termasuk di dalam mempermudahkan urusan dalam menuntut ilmu, harta, nasihat dan lain-lain”. (Lihat Syarh al-Arba‘in al-Nawawi, 1/119)
Rasulullah SAW sering kali membangkitkan isu untuk memudahkan dan bukan menyusahkan. Inilah yang selalu disarankan kepada ummahnya. Sabda Rasulullah SAW:
Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya kamu diutuskan untuk memberi kemudahan, dan kamu bukan diutuskan untuk menyusahkan.”
Riwayat al-Bukhari (6128)
Menurut Ibn Battal, ini adalah sebagaimana perintah Nabi SAW untuk memudahkan sebagaimana hadith lain yang telah disebutkan sebelum ini. Kemudian, beliau menukilkan daripada al-Tabari yang menyebutkan maksud “يَسِّرُوا وَلَا تُعَسَّرُوا” ialah pada perkara-perkara sunat dan bukannya perkara yang telah difardhukan oleh Allah. Begitu juga pada apa yang telah Allah SWT berikan kelonggaran dan keringanan daripada amalan fardhu dalam keadaan adanya keuzuran seperti solat fardhu dalam keadaan duduk kerana tidak mampu untuk berdiri, berbuka puasa di bulan Ramadhan semasa bermusafir dan sakit, dan lain-lain lagi yang termasuk dalam rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT kepada para hamba-Nya. Adapun diperintahkan untuk memudahkan dalam perkara-perkara sunat dan melaksanakannya dalam bentuk yang tidak menyusahkan mahupun melampaui batas bagi mengelakkan berasa bosan untuk melakukannya. Hal ini kerana sebaik-baik amalan di sisi Allah SWT adalah yang berterusan dilakukan sekalipun sedikit. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 9/301-302)
Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يسِّرُوا ولا تُعَسِّرُوا
Maksudnya: “Permudahkanlah dan jangan menyulitkan.”
Riwayat al-Bukhari (3038); Muslim (1733)
Sebagai kesimpulan, dalam apa jua sistem pemerintahan/ pentadbiran, mentadbir secara benar yakni jujur, amanah amatlah dituntut dalam islam. Ini kerana jawatan dan pangkat yang diberikan itu merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang seharusnya digalas dengan sebaik mungkin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً
Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”