#7958: Ancaman Terhadap Kata-Kata Bohong atau Dusta

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat ancaman yang keras terhadap orang yang suka berbohong atau berdusta?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mendefinisikan berbohong sebagai: Memberitahu akan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja ataupun tersilap. (Lihat Fath al-Bari, 1/201).

Manakala Imam al-Nawawi mengatakan bahawa berbohong adalah: Mengkhabarkan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja atau tidak, dan sama ada perkhabaran itu akan perkara yang telah berlalu atau akan datang. (Lihat Syarah Sahih Muslim, 1/69)

Perbuatan berbohong termasuk di antara himpunan dosa-dosa besar. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

‎فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ

Maksudnya: “Maka jauhilah kalian akan kotoran berhala dan jauhilah kalian ucapan yang dusta.”

(Surah Al-Hajj: 30)

Imam al-Nawawi apabila menjelaskan berkenaan hukum berbohong beliau berkata: Sesungguhnya telah jelas nas-nas dari Al-Kitab dan juga Al-Sunnah ke atas pengharaman berbohong. Ia adalah di antara perbuatan dosa yang buruk serta suatu keaiban yang keji. Ijma’ para ulama telah berlaku ke atas pengharamannya bersama-sama dengan nas-nas yang jelas. (Lihat al-Azkar Al-Nawawiyyah, hlm. 377)

Dalam sebuah riwayat daripada Abdullah bin Mas`ud RA bahawasanya Nabi SAW bersabda:

إنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إلى البِرِّ، وإن البِرَّ يهدي إلى الجنَّةِ، وما يَزَالُ الرَّجُلُ يَصْدُقُ ويَتَحَرَّى الصدقَ حتى يُكْتَبَ عند الله صِدِّيْقًا. وإنَّ الكَذِبَ يهدي إلى الفُجُوْرِ، وإنَّ الفُجُورَ يهدي إلى النَّارِ، وما يزال الرَّجُلُ يَكْذِبُ، ويَتَحَرَّى الكَذِبَ حتى يُكْتَب عند الله كَذَّابًا.

Maksudnya: Sesungguhnya kebenaran itu akan membawa kepada kebaikan, dan kebaikan akan membawa kepada syurga, dan seseorang itu akan sentiasa berkata benar dan terus-menerus mencari jalan kebenaran, sehingga ia akan ditulis di sisi Allah sebagai orang yang benar. Dan sesungguhnya dusta itu akan membawa kepada dosa, sedang dosa itu akan membawa kepada neraka, dan seseorang itu akan sentiasa berkata dusta, dan terus-menerus mencari jalan dusta, sehingga ia akan ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.

 Riwayat al-Bukhari (6094) dan Muslim (2607)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa dalam hadith ini, terkandung dorongan untuk bersikap benar dan bersungguh-sungguh memperhatikannya. Begitu juga peringatan agar berwaspada daripada sikap dusta serta bermudah-mudahan dengannya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/160) Sesungguhnya kejujuran akan membawa kepada perbuatan soleh yang bersih dari sebarang sifat mazmumah. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 9/2270)

Perkara pertama yang akan dipengaruhi oleh perbuatan dusta dalam jiwa adalah lisan, dan menjadikannya rosak. Kemudian ia mempengaruhi pula anggota badan dan seterusnya merosakkan amalan-amalannya, sepertimana dusta itu merosakkan lisan dan perbicaraan. Sehinggalah dia akan berdusta dalam perkataan, perbuatan, dan hal keadaannya. Akibatnya, ia menjadi rosak, penyakitnya terus berterusan sehingga membawa kebinasaan. Jika Allah SWT tidak memperbaikinya dengan ubat kejujuran, maka Dia akan mencabut kejujuran tersebut daripada hatinya. (Lihat Fawa’id al-Fawa’id, hlm. 299)

Sikap suka melakukan perbuatan berbohong juga termasuk daripada tanda-tanda orang munafiq, sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

آيَةُ اَلْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا ائْتُمِنَ خَانَ

Maksudnya: “Tanda-tanda bagi seorang munafiq itu ada tiga; jika sekiranya dia berbicara maka dia berdusta, jika sekiranya dia berjanji maka dia mungkir dan jika sekiranya dia diberi amanah maka dia mengkhianatinya.”

Riwayat al-Bukhari (33)

Al-Munawi berkata: Perkataan khianat di sini bermaksud khianat dalam amanahnya iaitu melakukannya dengan menyalahi Syarak dan culas dalam amanahnya serta tidak menunaikannya sepertimana sepatutnya. (Lihat Faidh al-Qadir, 1/63)

Justeru, berdasarkan dalil-dalil di atas, dapat difahami bahawa perbuatan berbohong merupakan satu tingkah-laku yang amat buruk dan ia boleh menimbulkan pelbagai jenis masalah seperti salah faham, putus silaturahim, menimbulkan kebencian, fitnah dan sebagainya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”