#7961: Dalil Pengharaman Perbuatan Menghina Nabi SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh nyatakan dalil-dalil berkenaan haramnya perbuatan menghina Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terdapat banyak dalil pengharaman perbuatan menghina dan mencerca Rasulullah SAW. Kami bahagikan dalilnya kepada dua, iaitu dalil al-Quran dan al-Sunnah.

Pertama: Dalil al-Quran

Firman Allah SWT:

وَمِنْهُمُ الَّذِينَ يُؤْذُونَ النَّبِيَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ ۚ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: “Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: ‘Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya).’ Katakanlah: ‘Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu.’ Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah al-Taubah: 61)

Al-Tabari menyebutkan, bagi orang-orang munafik yang memalukan Rasulullah SAW yang dengan perkataan mereka: “Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya),” dan perumpamaan-perumpamaan mereka untuk mendustai Baginda, dan mereka yang berkata dengan mulut yang celupar dan batil, bagi mereka ini azab yang memedihkan daripada Allah di dalam neraka Jahanam. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 11/534).

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredhai Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.”

(Surah al-Ahzab: 57)

Ibn Kathir menyatakan dalam tafsirnya, Allah menjauhkan mereka daripada Rahmat-Nya di dunia dan di akhirat dan menjanjikan mereka di akhirat nanti azab yang menghinakan dan kekal di dalam azab itu selama-lamanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/480).

Selain itu, al-Maraghi juga ada menyebutkan, terdapat sesetengah manusia menyakiti Rasul-Nya seperti orang yang mengatakan Rasulullah SAW itu seorang penyair, ahli nujum, orang gila, dan banyak lagi kata-kata yang menyakitkan Baginda. Sesiapa yang menyakiti Rasul bererti dia menyakiti Allah SWT; dan sesiapa yang mentaati Rasul bererti dia mentaati Allah SWT. Allah SWT menjauhkan mereka daripada rahmat dan nikmat-Nya ketika di dunia lagi. Maksudnya, Allah SWT menjadikan mereka terus berada dalam kesesatan dan menjadikan mereka gembira melakukan kesesatannya itu. Kesesatan ini bakal menyeret mereka ke dalam neraka, sebagai tempat yang amat buruk; kemudian mereka akan dilaknat ketika ketika di akhirat nanti dengan memasukkan mereka ke dalam neraka yang membakar tubuhnya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/35).

Selain itu, al-Maraghi juga ada menjelaskan bahawa menyakiti Rasulullah SAW selepas kewafatannya adalah sama seperti menyakiti Baginda semasa hayatnya. Keimanan kepada Baginda akan menghalang orang beriman daripada melakukan perbuatan yang akan menyakiti Baginda. Ia termasuk dosa dan kederhakaan yang paling besar. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/146).

Kedua: Dalil al-Hadith

Daripada Ibn Abbas RA, dia menceritakan:

أنَّ أَعْمَى كَانَتْ لَهُ أمُّ وَلَدٍ تَشْتُمُ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ وَتَقَعُ فِيهِ فَيَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَيَزْجُرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ قَالَ فَلَمَّا كَانَتْ ذَاتَ لَيْلَةٍ جَعَلَت تَقَعُ في النَّبيِّ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَشْتُمُهُ فَأَخَذَ المِغْولَ سَيْفٌ قَصِيرٌ فَوَضَعَهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكَأ عَلَيْهَا فَقَتَلَهَا فَوَقَعَ بَيْنَ رِجْلَيْهَا طِفْلٌ فَلَطَّخَتْ مَا هُنَاكَ بِالدَّمِ فَلَمَّا أَصْبَحَ ذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَمَعَ النَّاسَ فَقَالَ أَنْشُدُ اللّهَ رَجُلًا فَعَل مَا فَعَل لِي عَلَيْه حَقٌّ إِلَّا قَامَ فَقَامَ الأَعْمَى يَتَخَطَّى رقَابَ النَّاسِ وَهُوَ يَتَزَلْزلُ حَتَّى قَعَدَ بَيْنَ يَدَي النبيِّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُوْلَ اللّهِ أَنَا صَاحِبُهَا كَانَتْ تَشْتُمُكَ وَتَقَع فِيْكَ فَأَنْهَاهَا فَلَا تَنْتَهِي وَأَزجرُهَا فَلَا تَنْزَجِرُ وَلي مِنْهَا ابْنَان مثلُ الُّلؤْلُؤَتَينِ وَكَانَت بِي رَفِيْقَة فَلَمَّا كَانَتْ الْبَارِحَةُ جَعَلَت تَشْتُمُكَ وَتَقَعُ فِيْكَ فَأَخَذْتُ المِغْولَ فَوَضَعْتُهُ فِي بَطْنِهَا وَاتَّكأْتُ عَلَيْهَا حَتَّى قَتَلْتُهَا فَقَالَ النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ ألا اشهَدوا أنَّ دمَها هَدَرٌ

Maksudnya: “Seorang lelaki buta mempunyai Ummu Walad yang menghina Nabi SAW dan ia benar-benar telah melakukannya (penghinaan). Lelaki tersebut telah melarang dan mengancamnya namun ia tidak berhenti dan lelaki tersebut terus melarangnya namun wanita tersebut tidak mengendahkan larangan tersebut. Ibn Abbas meneruskan lagi: Pada suatu malam, wanita itu kembali mencela Nabi SAW, maka lelaki tersebut mengambil sebilah pisau yang tajam dan meletakkannya di perut wanita tersebut lantas menikamnya. Lelaki tersebut telah membunuhnya sementara antara dua kaki wanita tersebut lahir seorang bayi dalam keadaan wanita tersebut berlumuran darah. Apabila tiba waktu pagi, kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi SAW, lalu Baginda SAW mengumpul orang ramai dan bersabda: “Aku bersumpah kepada Allah SWT atas seorang lelaki, dia telah melakukan sesuatu perbuatan kerana aku dan dia adalah benar (perbuatannya).” Kemudian lelaki buta itu melangkah di antara manusia hingga dia duduk di hadapan Rasulullah SAW. Dia berkata: Wahai Rasulullah, aku adalah suaminya akan tetapi dia (wanita) telah mencela dan menghinamu. Aku telah melarangnya dan mengancamnya tetapi dia tetap tidak berhenti atau mengendahkannya. Daripadanya aku telah dikurniakan dua orang anak yang merupakan permata, isteriku sangat sayang kepadaku. Namun, semalam dia telah mencelamu dan menghinamu, lalu aku mengambil pisau dan aku letakkan di perutnya lantas aku menikamnya sehingga meninggal. Nabi SAW bersabda: “Ketahuilah bahawa darah wanita itu adalah sia-sia (halal).”

Riwayat Abu Daud (4361)

Al-San‘ani menyatakan, hadith ini menjadi dalil bahawa sesiapa yang mencerca dan mencaci Nabi SAW, dia boleh dibunuh dan darahnya adalah halal (untuk dibunuh). Jika dia seorang Muslim, celaannya terhadap Baginda SAW dianggap sebagai tindakan murtad, maka dia boleh dibunuh. Ibn Battal menyebutkan, dia boleh dibunuh tanpa perlu diminta bertaubat. Manakala Ibn al-Munzir menukilkan daripada al-Auza‘i dan al-Laith bahawa orang itu perlu diminta bertaubat (sebelum diputuskan hukuman bunuh). Jika dia termasuk dalam kalangan kafir mu‘ahad, dia tetap akan dibunuh kecuali dia memeluk agama Islam. (Lihat Subul al-Salam, 3/384).

Terdapat sebuah athar daripada Abd al-Hamid bin ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin al-Khattab, sesungguhnya beliau berada di Kufah mewakili Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Maka beliau telah menulis kepada Umar bin ‘Abd al-‘Aziz: “Aku mendapati seorang lelaki telah mencelamu di Kufah dan telah terbukti bahawa dia benar-benar telah mencelamu, maka aku ingin membunuhnya atau memotong kedua tangannya atau memotong lidahnya atau menyebatnya, akan tetapi aku terfikir untuk merujuk kepadamu terlebih dahulu berkenaan perkara ini.”

Maka Umar bin ‘Abd al-‘Aziz menulis kembali kepada beliau: “Salam sejahtera ke atasmu, demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya, jika engkau membunuhnya maka aku akan membunuhmu disebabkan olehnya, jika engkau memotongnya maka aku akan memotongmu disebabkan olehnya, jika engkau menyebatnya maka aku akan menariknya daripada engkau. Apabila engkau menerima perutusanku ini maka keluarlah engkau dengannya ke tempat pembuangan sampah, maka engkau celalah dia sebagaimana dia mencelaku atau engkau memaafkannya kerana itu lebih aku suka. Ini kerana, tidak halal membunuh seorang Muslim yang mencela salah seorang daripada manusia melainkan seseorang  itu mencela Rasulullah SAW.” (Lihat al-Muhalla, 14/434).

Oleh yang demikian, tidak syak lagi bahawa orang yang menghina Nabi SAW wajib dibunuh, seperti yang difatwakan oleh para ulama sejak sekian lama. Di antaranya:

  • Imam Malik dan al-Auza‘i berpendapat bahawa pesalah itu dianggap murtad dan perlu diberikan peluang untuk bertaubat. (Lihat Tabsirah al-Hukkam, 2/212).
  • Begitu juga hukumnya adalah haram dan kufur bagi sesiapa yang menghina mana-mana Nabi atau menjatuhkan darjat dan martabat Baginda seperti menuduh keburukan pada tubuh badannya sebagai pincang, lumpuh atau kurang ilmunya serta jahil. (Lihat al-Fiqh ‘ala Mazahib al-Arba‘ah, 5/372).
  • Selain itu, Ibn Munzir telah menukilkan dalam kitabnya mengenai kesepakatan ulama (yakni ijma‘) bahawa sesiapa yang mencela Nabi SAW, maka wajib dibunuh. (Lihat al-Ijma‘, hlm. 128).
  • Abu Bakar al-Farisi yang merupakan salah seorang ulama bermazhab al-Syafi‘i menyebutkan, sesiapa yang menghina Nabi SAW seperti menuduh Baginda secara nyata maka dia dihukum kafir dengan sepakat ulama, sekalipun dia bertaubat tetap tidak akan gugur hukuman bunuh yang telah ditetapkan ke atasnya. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar al- ‘Asqalani, 12/348).
  • Imam Ahmad bin Hanbal juga pernah berkata: “Aku mendengar Abu ‘Abdillah berkata: ‘Sesiapa yang mencerca Nabi SAW atau menjatuhkan maruah Baginda, sama ada orang Islam atau bukan Islam, maka mereka hendaklah dibunuh. Aku berpendapat bahawa dia perlu dibunuh tanpa perlu disuruh untuk bertaubat.’” (Lihat al-Sarim al-Maslul ‘ala Syatim al-Rasul, 1/9).

Berdasarkan kenyataan di atas, jelas menunjukkan betapa beratnya hukuman dan balasan kepada mereka yang menghina, mencaci dan menjatuhkan maruah Rasulullah SAW termasuk nabi-nabi yang lain. Oleh itu, amat perlu kita berhati-hati daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan dan pendapat yang menunjukkan betapa hinanya Rasulullah SAW kerana itu boleh membawa kepada kekufuran dan kemurkaan Allah SWT.

Dalam konteks Malaysia di mana kita memiliki sistem undang-undang untuk mengekang perlakuan menghina agama Islam, hendaklah kita melaporkan kepada pihak berkuasa apa-apa ucapan, perlakuan dan tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina Rasulullah SAW, supaya diambil tindakan mengikut laras undang-undang. Tidak boleh sama sekali mana-mana pihak mengambil tindakan sendiri untuk menghukum, apatahlagi dengan kekerasan kerana hak untuk menghukum ada pada pemerintah sahaja.

Ini selari dengan kesepakatan fuqaha’ yang menegaskan bahawa hak untuk melaksanakan hukuman adalah hak pemerintah ataupun wakilnya. (Lihat Ibn ‘Abidin, 3/158; al-Fatawa al-Hindiyyah, 2/143; al-Bada’i, 7/75; al-Iklil ‘ala Mahawib al-Jalil, 6/ 296; Bidayat al-Mujtahid, 2/444-445; Raudhah al-Talibin, 10/299; Kasysyaf al-Qina’, 6/78)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”