#7963: Kesudahan dan Akibat Mubahalah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kesudahan dan akibat bagi kes-kes mubahalah yang pernah berlaku?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِن بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنفُسَنَا وَأَنفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَل لَّعْنَتَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ

Maksudnya:Jika sesiapa mengingkarimu wahai Muhammad tentang kisah Nabi Isa setelah engkau mendapat pengetahuan yang sebenar tentangnya maka katakanlah kepada mereka, “Marilah bersama-sama menyeru anak-anak kami, anak-anak kamu, isteri-isteri kami, isteri-isteri kamu dan diri kami termasuk diri kamu, kemudian kita sama-sama berkumpul dan bermubahalah dengan berdoa kepada Allah supaya Allah melaknat orang-orang yang berdusta.’

(Surah Ali ‘Imran: 61)

Ketahuilah, bahawa orang yang bermubahalah akan meminta kepada Allah SWT supaya melaknat dan menimpakannya dengan azab yang pedih sekiranya dia tidak benar pada dakwaannya dan pada apa yang lawannya berselisih mengenainya. Demikianlah, aturan Allah SWT mengkehendaki agar meninggikan agama-Nya, menampakkan kebenaran dan melenyapkan kebatilan serta menjadikan kalimah-Nya itu, berada di kedudukan yang tertinggi.

Oleh yang demikian, para ulama telah menyebutkan bahawa akibat atau kesudahan mubahalah tersebut akan menimpa pihak yang batil secara pasti (tanpa ragu-ragu). Dalam hal ini, Ibn Hajar al-Asqalani ada menyebutkan:

وَمِمَّا عُرِفَ بِالتَّجْرِبَةِ أَنَّ مَنْ بَاهَلَ وَكَانَ مُبْطِلًا لَا تَمْضِي عَلَيْهِ سَنَةٌ مِنْ يَوْمِ الْمُبَاهَلَةِ وَوَقَعَ لِي ذَلِكَ مَعَ شَخْصٍ كَانَ يَتَعَصَّبُ لِبَعْضِ الْمَلَاحِدَةِ فَلَمْ يَقُمْ بَعْدَهَا غَيْرَ شَهْرَيْنِ

Maksudnya: “Berdasarkan pengalaman, sesiapa yang melakukan mubahalah dan dia di kalangan pembela kebatilan, tidak akan bertahan lebih dari setahun sejak hari mubahalah tersebut. Kerana sesungguhnya saya pernah alami sendiri bersama seorang yang cenderung kepada pemikiran yang menyimpang, dan dia tidak selamat (hidup) selepasnya (mubahalah itu) lebih dari dua bulan.” (Lihat Fath al-Bari, 8/95)

Kisah Mubahalah Para Ulama

Antaranya, ialah peristiwa mubahalah antara Syeikh Thanaullah al-Amritsari dengan Ghulam Ahmad al-Qadiani.

Syeikh Thanaullah al-Amritsari adalah merupakan salah seorang pendebat dan pembela umat Islam di benua India. Sesungguhnya telah berlaku antara beliau dan Ghulam Ahmad al-Qadiani beberapa sesi perdebatan dan perbincangan sama ada secara bertulis mahupun lisan. Akan tetapi, kemenangan selalu berada di pihak Syeikh Thanaullah. Hasilnya, perkara tersebut telah menimbulkan kemarahan (tidak puas hati) al-Qadiani dan dia telah meminta supaya antara mereka berdua saling bermubahalah. (Lihat al-Qadianiyyah Dirasat wa Tahlil oleh Ihsan Ilahi Zahir, hlm. 154)

Oleh itu, dia telah menulis pada 5 April 1907M dengan dimulai ucapan alu-aluan (pembuka bicara) dan memohon doa kepada Allah agar mencabut nyawa pendusta antara mereka berdua semasa hayat salah seorangnya dan membinasakan ke atasnya dengan penyakit seperti Taun yang mana ia menyebabkan kepada kematiannya. (Lihat al-Mujiz fi al-Adyan wa al-Mazahib al-Mu‘asirah, hlm. 148) Manakala, Ihsan Ilahi Zahir pula telah menukilkan bahawa doa laknat itu telah ditulis oleh al-Qadiani pada 15 April 1907M beserta kandungan penuh doa laknat tersebut. (Lihat al-Qadianiyyah Dirasat wa Tahlil, hlm. 154-157)

Seruan bermubahalah itu telah dipersetujui oleh Syeikh Thanaullah. Maka, berlakulah antara mereka berdua mubahalah bagi menentukan kebenaran (berada di pihak yang mana). Tepat selepas 13 bulan 10 hari (daripada peristiwa mubahalah), Ghulam Ahmad telah ditimpa hukuman Allah dalam keadaan yang mengerikan sebagaimana yang dia inginkan hal tersebut berlaku ke atas Syeikh Thanaullah. Dia telah ditimpakan dengan perkara sama seperti apa yang telah dia tuliskan, sama ada daripada segi keadaan dan penyakit yang menimpanya iaitu penyakit kolera. (Lihat al-Qadianiyyah Dirasat wa Tahlil, hlm. 157)

Kemudian, Ihsan Ilahi Zahir ada juga menukilkan daripada tulisan anaknya iaitu Basyir Ahmad bin Ghulam berkenaan satu kisah yang didengari daripada ibunya. Ibunya telah menceritakan bahawa:

“Aku ada bersama dengannya (Ghulam). Dia akan terus pergi ke tandas setiap kali selepas makan. Kemudian, dia tidur sekejap. Selepas itu, dia mahu pergi lagi ke tandas. Dan dia akan pergi ke tandas sekali atau dua kali tanpa memberitahuku. Kemudian, dia mengejutku dan aku melihatnya berada dalam keadaan yang sangat lemah (sangat uzur). Dia tidak mampu lagi untuk pergi ke katilnya. Oleh sebab itu, dia duduk di atas katilku. Maka, aku memicit-micit dan mengelapnya (membersihkannya). Selepas itu, dia merasa mahu buang air sekali lagi. Akan tetapi, pada masa itu dia tidak lagi mampu untuk pergi ke tandas. Oleh itu, dia telah menunaikan hajatnya (buang air) di tepi katil. Selepas selesai, dia berbaring sebentar. Akan tetapi, keuzurannya telah sampai kepada pengakhirannya (kemuncak), sekali lagi dia mahu membuang air. Dia melakukannya (di situ). Kemudian, dia telah muntah-muntah. Sesudah selesai muntah dia telah jatuh tersungkur dan kepalanya telah terhentak dengan kayu katil. Selepas itu, keadaannya terus berubah.” (Lihat al-Qadianiyyah Dirasat wa Tahlil, hlm. 157-158)

Akhbar-akhbar India pada masa itu, telah menyiarkan bahawa Ghulam Ahmad al-Qadiani ketika mana dia telah ditimpa penyakit kolera, najis telah keluar daripada mulutnya sebelum dia meninggal. Dan dia telah meninggal dunia ketika sedang duduk membuang air (menunaikan hajat) di dalam tandas.

Begitulah saat ajalnya, dia telah dimatikan dalam keadaan yang mengerikan. Dia telah mati pada jam 10.30 pagi, bertarikh 26 Mei 1908M. Manakala Syeikh Thanaullah telah hidup selepas kematian al-Qadiani lebih kurang 40 tahun lagi. Sepanjang tempoh tersebut beliau telah meruntuhkan binaan (pemikiran) Qadianiyyah dan menghancurkan akar umbinya.

Demikianlah, balasan Allah buat mereka yang mendustakan-Nya dan demikianlah juga (pembongkaran penipuan) itu berlaku selepas dia menerima pelbagai bentuk azab seksa.

(Lihat al-Qadianiyyah Dirasat wa Tahlil, hlm. 158-159, al-Mujiz fi al-Adyan wa al-Mazahib al-Mu‘asirah, hlm. 148 dan Rasail fi al-Adyan wa al-Firaq wa al-Mazahib oleh Muhammad bin Ibrahim al-Hamad, hlm. 378-379)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”