#7964: Nas Berkenaan Mubahalah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat dalil-dalil atau nas berkaitan mubahalah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara dalil yang menunjukkan kepada konsep mubahalah (المُبَاهَلَة) adalah sebagaimana firman Allah SWT:

فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِن بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنفُسَنَا وَأَنفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَل لَّعْنَتَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ

Maksudnya:Jika sesiapa mengingkarimu wahai Muhammad tentang kisah Nabi Isa setelah engkau mendapat pengetahuan yang sebenar tentangnya maka katakanlah kepada mereka, “Marilah bersama-sama menyeru anak-anak kami, anak-anak kamu, isteri-isteri kami, isteri-isteri kamu dan diri kami termasuk diri kamu, kemudian kita sama-sama berkumpul dan bermubahalah dengan berdoa kepada Allah supaya Allah melaknat orang-orang yang berdusta.’

(Surah Ali ‘Imran: 61)

Dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan pula Nabi Muhammad SAW untuk melakukan mubahalahdengan sesiapa sahaja yang degil dan masih lagi tidak mahu menerima kebenaran mengenai kedudukan sebenar Nabi Isa A.S. Kisah mubahalah dengan delegasi Najran banyak disebut, antaranya sepertimana yang diriwayatkan daripada Huzaifah R.A katanya:

جَاءَ العَاقِبُ وَالسَّيِّدُ، صَاحِبَا نَجْرَانَ، إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُرِيدَانِ أَنْ يُلاَعِنَاهُ، قَالَ: فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ: لاَ تَفْعَلْ، فَوَاللهِ لَئِنْ كَانَ نَبِيًّا فَلاَعَنَّا لاَ نُفْلِحُ نَحْنُ، وَلاَ عَقِبُنَا مِنْ بَعْدِنَا، قَالاَ: إِنَّا نُعْطِيكَ مَا سَأَلْتَنَا، وَابْعَثْ مَعَنَا رَجُلًا أَمِينًا، وَلاَ تَبْعَثْ مَعَنَا إِلَّا أَمِينًا. فَقَالَ «لَأَبْعَثَنَّ مَعَكُمْ رَجُلًا أَمِينًا حَقَّ أَمِينٍ»، فَاسْتَشْرَفَ لَهُ أَصْحَابُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «قُمْ يَا أَبَا عُبَيْدَةَ بْنَ الجَرَّاحِ» فَلَمَّا قَامَ، قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هَذَا أَمِينُ هَذِهِ الأُمَّةِ»

Maksudnya: “AI-‘Aqib dan al-Sayyid merupakan dua orang pemimpin Najran datang kepada Rasulullah SAW dengan tujuan untuk melaknat Baginda.” Dia berkata: “Salah seorang daripada mereka berkata kepada sahabatnya: “Jangan lakukan, demi Allah, jika dia seorang Nabi dan kita melaknatnya, sungguh kita tidak akan beruntung bersama dengan keturunan selepas kita.” Keduanya berkata: “Kami akan memberikan kepadamu apa yang engkau minta kepada kami dan utuslah bersama kami seorang lelaki yang dapat dipercayai dan jangan kamu menghantar bersama kami melainkan orang yang dipercayai.” Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya aku akan mengutuskan bersama kamu seorang lelaki yang dipercayai dan benar-benar orang yang dapat dipercayai.” Maka para sahabat Rasulullah SAW menelitinya dan tertunggu-tunggu siapakah orang bertuah yang dimaksudkan oleh Baginda tersebut. Baginda bersabda: “Berdirilah wahai Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah.” Ketika dia berdiri Rasulullah SAW bersabda: “Beliau ialah orang yang paling dipercayai dalam kalangan umat ini.”

Riwayat al-Bukhari (4380)

Menurut Imam al-Tabari, ayat ini merujuk kepada perdebatan Rasulullah SAW dengan kaum Kristian tentang Nabi Isa Ibn Maryam A.S dan tentang kebenaran. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 6/473).

Ibn Kathir menyatakan: Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya SAW untuk melakukan mubahalahkepada sesiapa yang menentang kebenaran dalam urusan Nabi Isa A.S setelah diberikan penjelasan yang jelas. “Jika mereka tetap berdebat, maka katakanlah: ‘Mari kita ajak anak-anak kita, dan anak-anak kamu, isteri-isteri kita, dan isteri-isteri kamu, diri kita sendiri dan diri kamu sendiri,'” iaitu, kita akan hadir dalam keadaan mubahalah (kemudian kita akan mubahalah dan kita letakkan laknat Allah ke atas orang-orang yang berdusta), iaitu kita akan melaknat mereka (maka kita letakkan laknat Allah ke atas orang-orang yang berdusta), iaitu sama ada dari pihak kita atau dari pihak kamu. Sebab turunnya mubahalah ini dan apa yang terdahulu dari awal surah sehingga di sini, adalah berkaitan dengan kunjungan delegasi dari Najran. Ketika orang-orang Nasrani datang, mereka mulai membantah tentang Isa dan mengatakan hal-hal seperti keturunan dan ilahiyah (Ketuhanan). Maka Allah menurunkan surah ini sebagai jawapan kepada mereka, sebagaimana dijelaskan oleh Imam Muhammad bin Ishaq bin Yassar dan yang lainnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/42)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: Iaitu, sesiapa yang berdebat denganmu dan menentangmu tentang Nabi Isa A.S, dan beriktikad bahawa Nabi Isa berada di atas kedudukan melebihi seorang hamba, bahkan meninggikan atas kedudukannya setelah pengetahuan yang telah datang kepadamu. Baginda sesungguhnya adalah hamba Allah dan Rasul-Nya, dan kamu telah menjelaskan kepada orang yang berdebat denganmu bukti-bukti yang menunjukkan bahawa Isa A.S adalah hamba yang diberi nikmat oleh Allah. Ini menunjukkan keras kepala orang yang tidak mengikutimu dengan ilmu yang pasti. Oleh itu, tidak ada manfaat dalam berdebat dengannya dan tidak pula baginya.

Kebenaran telah jelas, dan berdebat dengannya dalam hal ini adalah berdebat dengan sikap membangkang terhadap Allah dan Rasul-Nya dengan tujuan untuk mengikuti hawa nafsunya, bukan mengikuti apa yang Allah turunkan. Oleh kerana itu, tidak ada jalan keluar baginya. Allah SWT memerintahkan Nabi-Nya untuk beralih ke mubahalah dan melaknatnya. Mereka akan berdoa dan memohon kepada Allah agar laknat dan hukuman-Nya ditimpakan kepada orang yang berdusta daripada kedua belah pihak, dia dan orang yang paling dicintai olehnya daripada keluarganya. Nabi SAW mengajak mereka ke arah itu, namun mereka menolak, memalingkan diri, dan menolak tawaran itu.

Mereka menyedari bahawa jika mereka melaknatnya, mereka akan kembali kepada keluarga dan anak-anak mereka tanpa dokongan dan harta, dan azab akan datang lebih cepat. Mereka terus mempertahankan kepercayaan mereka meskipun telah jelas akan kebatilannya. Ini adalah tujuan kerosakan dan keingkaran yang paling ekstrem. Oleh kerena itu, Allah berfirman, “Jika mereka berpaling, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui terhadap orang-orang yang membuat kerosakan.” Allah SWT akan menghukum mereka dengan hukuman yang lebih keras. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 133)

Manakala menurut Imam al-Mawardi dalam tafsirnya, mereka yang diseru oleh Nabi SAW untuk bermubahalah ialah kaum Kristian Najran. Pada perkataan “نَبْتَهِلْ” mempunyai dua takwilan; pertamanya, bererti kita saling melaknat. Kedua, kita mendoakan kecelakaan ke atas orang yang menipu. Menurut beliau lagi, apabila ayat ini turun, Nabi SAW mengambil tangan Ali, Fatimah, al-Hasan dan al-Husain A.S, kemudian mengajak orang Kristian Najran untuk bermubahalah. Akan tetapi mereka enggan sehingga sebahagian daripada kalangan mereka bercakap sesama mereka, “Jika kamu sambut untuk bermubahalah, lembah kamu akan terbakar dengan api.” (Lihat Tafsir al-Mawardi, 1/398-399)

Al-Baghawi pula menukilkan dalam tafsirnya beberapa tafsiran salaf berkenaan perkataan “نَبْتَهِلْ”. Antaranya:

  • Ibn Abbas R.Anhuma: “Kita merendahkan diri — kepada Allah SWT — dalam doa.”
  • Al-Kalbi: “Kita bersungguh-sungguh dan berlebih-lebih dalam doa.”
  • Al-Kisa’i dan Abu ‘Ubaidah: “Kita saling melaknat.”

Perkataan “الِابْتِهَالُ” itu adalah saling melaknat. Apabila seorang itu menyebut,
“عَلَيْهِ بَهْلَةُ الله” bermaksud semoga Allah melaknatinya. Maka dalam konteks perdebatan dengan orang Kristian, Allah SWT memerintahkan agar menjadikan laknat-Nya ke atas mereka yang berdusta, sama ada daripada kalangan kami — yakni Baginda SAW dan kaum Muslimin — atau kalangan kamu — yakni rombongan Kristian Najran — berkenaan hal Isa A.S. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/450)

Selain itu, al-Jassas juga ada menyebutkan bahawa dalam ayat ini terdapat pembatalan syubhat-syubhat orang Kristian tentang Isa sebagai Tuhan atau anak Tuhan. Ayat ini juga menjadi dalil tentang kebenaran kenabian Nabi SAW. Kalau tidak kerana mereka mengetahui dengan yakin bahawa Baginda SAW adalah nabi, nescaya tidak ada apa yang menghalang mereka daripada bermubahalah. Justeru, apabila mereka menyerang dengan hujah tetapi kemudian enggan untuk bermubahalah, ertinya mereka mengakui kebenaran kenabian Nabi SAW, dengan dalil-dalil mukjizat dan apa yang mereka temui dalam kitab-kitab para nabi terdahulu.” (Lihat Ahkam al-Quran, 2/295-296)

Imam al-Qurtubi juga ada menyatakan bahawa pada ayat ini terdapat tiga isu, iaitu:

Pertamanya, firman Allah Ta‘ala: “فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ” bermaksud ‘dia berdebat denganmu dan dia saling bermusuh denganmu, wahai Muhammad’. Lafaz “فيه” (yakni mengenainya) iaitu berkenaan Isa, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar bahawa Isa itu ialah hamba Allah dan rasul-Nya. Lafaz “فَقُلْ تَعالَوْا” yakni ‘terimalah kamu,’ ditujukan kepada sesiapa yang memiliki kehebatan dan ketinggian. Kemudian boleh menggunakannya terhadap sesiapa yang menyeru untuk mubahalah. Lafaz “نَدْعُ” yakni seruan berada pada tempat jazam.

Manakala lafaz “أَبْناءَنا” pula ialah dalil bahawa “أَبْنَاءَ الْبَنَاتِ” iaitu anak-anak kepada anak-anak perempuan (yakni cucu cicit) dinamakan juga sebagai “أَبْنَاءً”. Hal tersebut kerana Nabi SAW datang dengan membawa al-Hasan, al-Husain dan Fatimah yang berjalan di belakang Baginda serta Ali yang berada di belakang Fatimah. Baginda berpesan kepada mereka: “Jika aku berdoa, maka kalian aminkan.” Daripada Ibn Abbas, lafaz “ثُمَّ نَبْتَهِلْ” bermakna kita bersungguh-sungguh dan merendah diri dalam berdoa. Manakala menurut Abu ‘Ubaidah dan al-Kisa’i pula maknanya ialah kita saling melaknat. Asal perkataan “الِابْتِهَالِ” ialah bersungguh-sungguh dalam berdoa dengan melaknat dan selainnya.

Keduanya, ayat ini adalah sebahagian daripada tanda-tanda kenabian Muhammad SAW kerana Baginda mengajak mereka untuk bermubahalah, lalu mereka enggan untuk melakukan dan mereka bersetuju untuk membayar jizyah, selepas diberitahu oleh pembesar mereka, al-‘Aqib, bahawa jika mereka menyambut seruan mubahalah itu nescaya akan terbakarlah lembah tempat mereka tinggal kerana Muhammad itu ialah Nabi yang diutuskan. Mereka juga mengerti bahawa Baginda telah datang dengan penyelesaian tentang isu Isa. Mereka meninggalkan mubahalah lalu pulang ke negeri mereka dengan perjanjian untuk membayar setiap tahun 1000 hullah[1] pada setiap bulan Safar dan 100 hullah pada setiap bulan Rejab, maka Rasulullah SAW menerima diplomasi mereka itu sebagai ganti mereka tidak memeluk agama Islam.

Ketiganya, ramai ulama mengatakan: Sesungguhnya sabda Baginda SAW merujuk kepada al-Hasan dan al-Husain apabila Baginda menyebut semasa mubahalah “نَدْعُ أَبْناءَنا وَأَبْناءَكُمْ”. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 4/104)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

 

[1] Nilai 1 Hullah bersamaan 40 dirham.