Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum jika seseorang secara terang-terangan menghina Rasulullah SAW?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat
Firman Allah SWT:
وَمِنْهُمُ الَّذِينَ يُؤْذُونَ النَّبِيَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ ۚ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya: “Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: ‘Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya).’ Katakanlah: ‘Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu.’ Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
(Surah al-Taubah: 61)
Al-Tabari menyebutkan, bagi orang-orang munafik yang memalukan Rasulullah SAW yang dengan perkataan mereka: “Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya),” dan perumpamaan-perumpamaan mereka untuk mendustai Baginda, dan mereka yang berkata dengan mulut yang celupar dan batil, bagi mereka ini azab yang memedihkan daripada Allah di dalam neraka Jahanam. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 11/534).
Tidak syak lagi bahawa orang yang menghina Nabi SAW wajib dibunuh, seperti yang telah difatwakan oleh para ulama sejak sekian lama. Di antaranya:
- Ibn Munzir telah menukilkan kesepakatan ulama bahawa hukuman bagi sesiapa yang mencela Nabi Muhammad SAW adalah hukuman bunuh. (Lihat al-Sarim al-Maslul ‘ala Syatim al-Rasul, 1/3).
- Ada pendapat yang mengatakan wajib dibunuh tanpa perlu diberi peluang untuk bertaubat. Inilah pendapat Ibn al-Qasim.
- Al-Auza‘i dan Imam Malik berpendapat bahawa pesalah itu dianggap murtad dan perlu diberikan peluang untuk bertaubat. (Lihat Tabsirah al-Hukkam oleh Ibn Farhun, 2/212).
- Begitu juga haram dan dihukum kufur sesiapa yang menghina mana-mana Nabi atau menjatuhkan darjat dan martabat seperti menuduh keburukan pada tubuh badannya sebagai pincang, lumpuh atau kurang ilmunya serta jahil. (Lihat al-Fiqh ‘ala Mazahib al-Arba‘ah, 5/372).
- Abu Bakar al-Farisi yang merupakan salah seorang ulama bermazhab al-Syafi‘i berkata: “Sesiapa yang menghina Nabi SAW seperti menuduh Baginda SAW secara nyata maka dia dihukum kafir dengan sepakat ulama, sekalipun dia bertaubat tetap tidak akan gugur hukuman bunuh yang telah ditetapkan ke atasnya.” (Lihat Fath al-Barioleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, 12/348).
- Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat, sesiapa yang mencerca Nabi SAW atau menjatuhkan maruah Baginda, sama ada orang Islam atau bukan Islam, maka mereka hendaklah dibunuh. Aku berpendapat bahawa dia perlu dibunuh tanpa perlu disuruh untuk bertaubat. (Lihat al-Sarim al-Maslul ‘ala Syatim al-Rasul, 1/300).
- Al-Qadhi Abu Ya‘la pula berkata: “Sesiapa yang mencerca Allah (SWT) dan Rasulullah SAW dia sesungguhnya telah kufur sama ada dia menghalalkan (perbuatan itu) atau dia tidak menghalalkan.” (Lihat al-Sarim al-Maslul ‘ala Syatim al-Rasul, 1/513).
- Al-Khattabi berkata: “Aku tidak tahu mana-mana ulama Islam yang khilaf mengenai wajibnya membunuh orang yang mencerca Nabi SAW.” (Lihat al-Sarim al-Maslul ‘ala Syatim al-Rasul, 1/4).
Berdasarkan kenyataan di atas, jelas menunjukkan betapa beratnya hukuman dan balasan kepada mereka yang menghina, mencaci dan menjatuhkan maruah Rasulullah SAW termasuk nabi-nabi yang lain. Oleh itu, amat perlu kita berhati-hati daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan dan pendapat yang menunjukkan betapa hinanya Rasulullah SAW kerana itu boleh membawa kepada kekufuran dan kemurkaan Allah SWT.
Fatwa Ulama Semasa dan Badan Autoriti Berkenaan Penghinaan kepada Rasulullah SAW
Kami kemukakan di sini beberapa fatwa ulama semasa berhubung isu penghinaan terhadap Rasulullah ini, antaranya:
Pertama: Syeikh al-Azhar al-Imam al-Akbar al-Fadhil Prof. Dr. Ahmad al-Tayyib
Beliau menyebut: “Al-Azhar memberi amaran keras kepada sesiapa yang cuba menggunakan sebarang media massa untuk menghina dan menjatuhkan martabat kenabian yang mulia. Ini bagi memelihara maqam kenabian yang mulia itu daripada dihina sekalipun tanpa niat yang tidak baik. Sebaliknya orang Islam sejati sentiasa memenuhi hati mereka dengan kecintaan kepada Nabi SAW.” (Lihat Akhbar al-Ahram)
Kedua: Mufti Lubnan, Syeikh Abd al-Latif Derian
Menurut beliau, menghina Nabi adalah merupakan satu pencerobohan terhadap umat Islam dunia. Kebebasan berpendapat, bersuara dan berekspresi dalam semua cara tidak bermaksud boleh melanggar kepercayaan dan keyakinan orang lain dan sesungguhnya ini memerlukan pertimbangan semula, konsep kebebasan mutlak yang tidak mempunyai batasan seperti ini.[1]
Ketiga: Prof. Dr. Ali Erbas, Mufti Negara Turki dan Presiden Direktorat Hal Ehwal Agama Turki[2]
Ketika berlaku peristiwa menggantung kartun yang mensasarkan Nabi Muhammad SAW di bangunan awam Perancis, beliau menegaskan bahawa itu adalah satu bentuk Islamofobia yang disokong oleh para pegawai. Justeru, beliau meminta masyarakat antarabangsa untuk memerangi tindakan yang amat menyinggung umat Islam ini.
Keempat: Majlis Fatwa Jordan
Mereka menyatakan bahawa orang yang menghina Nabi tersebut belum mengenali siapa Nabi dalam agama Islam dengan benar. Ia hanyalah disebabkan mereka tidak tahu tentang Sirah Nabi SAW yang sentiasa menyeru kepada persaudaraan, toleransi dan persahabatan.
Kelima: Pendapat Mantan Mufti Besar Arab Saudi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Abdullah bin Baz
Sesiapa yang mencaci Allah SWT dengan sebarang bentuk celaan, atau mencaci Nabi Muhammad SAW, atau para rasul yang lain dengan sebarang jenis celaan, atau mencaci Islam, atau merendahkan atau mempermainkan-mainkan dengan Allah atau Rasul-Nya, maka dia dianggap kafir murtad daripada Islam jika dia mengaku sebagai seorang Muslim berdasarkan ijma‘ umat Islam.[3]
Keenam: Pendapat Mufti Wilayah Persekutuan
Petikan daripada Bayan Linnas Mufti Wilayah Persekutuan menyebutkan: “Walaupun hukumannya amat tegas, tetapi kami telah menjawab isu berkenaan haruskah seseorang mengambil tindakan dengan membunuh seseorang yang menghina Nabi SAW pada masa kini? Antara kesimpulan yang kami nyatakan seperti berikut: Dalam konteks Malaysia di mana kita memiliki sistem undang-undang untuk mengekang perlakuan menghina agama Islam, hendaklah kita melaporkan kepada pihak berkuasa apa-apa ucapan, perlakuan dan tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina Rasulullah SAW, supaya mereka diambil tindakan mengikut laras undang-undang. Tidak boleh kita mengambil tindakan sendiri untuk menghukum jika tidak mengikut tindakan undang-undang, apatah lagi dengan kekerasan, kerana boleh mendatangkan bahaya kepada imej Islam, umat Islam dan keharmonian negara, seperti yang disebut “boleh membawa sebab pembunuhan kepada fitnah atau menjadikan orang ramai takut untuk memeluk Islam.”[4]
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
[1] Lihat https://ikram.org.my/perancis-dan-islamofobia-sebarkan-rahmah-ke-seluruh-alam/
[2] Di Turki, Direktorat Hal Ehwal Agama atau dikenali sebagai Diyanet adalah institusi rasmi yang ditubuhkan pada 1924 di bawah Artikel 136 Perlembagaan Turki. Penubuhannya oleh Himpunan Besar Kebangsaan Turki adalah sebagai kesinambungan kepada Shaykh al-Islam selepas tamatnya Khilafah Uthmaniyyah.
[3] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/2010/حكم–من–سب–الله–او–سب–رسوله–او–انتقصهما. Diakses pada 25 Disember 2023.
[4] Lihat https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3242-bayan-linnas-siri-ke-174-karikatur-dan-penghinaan-terhadap-rasulullah-saw. Diakses pada 25 Disember 2023.