#7966: Rasuah dan Ancaman Terhadapnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan maksud rasuah dan ancaman-ancaman terhadap pelakunya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّـهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): ‘Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.’”

(Surah al-Taubah: 105)

Ibn Kathir menukilkan bahawa Mujahid berkata: “Ayat ini membawa peringatan dari Allah kepada mereka yang menentang perintah-Nya. Perbuatan mereka akan ditampilkan kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman. Hal ini merupakan sesuatu yang pasti berlaku pada Hari Kiamat.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/577)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Setiap manusia akan mendapat balasan atas perbuatannya. Jika perbuatan itu baik, balasannya juga baik. Jika perbuatan itu buruk, balasannya juga buruk. Amalan perbuatan itu dilihat dan disaksikan Allah, rasul-Nya dan orang-orang beriman.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/53)

Menurut Kamus Dewan, rasualah ialah pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok atau menyuap). Perkataan rasuah berasal daripada bahasa Arab al-risywah (الرِّشْوَةُ). Al-Fayyumi berkata: al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau orang lain, agar hakim itu memenangkannya, atau agar hakim itu memutuskan hukum sesuai dengan apa yang diinginkannya. (Lihat al-Misbah al-Munir fi Gharib al-Syarh al-Kabir, 3/411)

Menurut undang -undang Malaysia yang terkandung dalam Seksyen 3(a), (b) dan 4(a)(b), Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) menafsirkan rasuah sebagai: “menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakkan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya.” Manakala suapan pula, menurut Seksyen 2, Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah; “Wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran beharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya.”

Ibn al-Athir pula menyebut: al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang menghubungkan kepada keperluan/hajat dengan cara pujukan. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athr, 2/226)

Dr Yusuf al-Qaradhawi pulamenyebut: “Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya.” (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 627)

Di negara ini, dari segi undang-undang semua perkataan “memberi dan menerima suapan” adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah.

Kebiasaannya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Kebiasaannya orang yang melakukan budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka. Sebagai umat Islam, keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT harus dititikberatkan dalam apa jua urusan. Islam sangat melarang umatnya daripada mengamalkan budaya ini. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

                                                                        (Surah al-Baqarah: 188)

Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya, ‘Ali bin Abi Thalhah meriwayatkan, dari Ibnu Abbas, bahawa hal ini berkenaan dengan seseorang yang mempunyai tanggungan harta kekayaan tetapi tidak ada saksi terhadapnya dalam hal ini, lalu ia mengingkari hart aitu dan mempersengketakannya kepada penguasa, sementara itu ia sendiri mengetahui bahawa hart itu bukan menjadi haknya dan mengetahui bahawa ia berdosa, memakan barang haram. Demikian diriwayatkan dari Mujahid, Sa’id bin Jubair, Ikrimah, Hasan al-Basri, Qatadah, as-Suddi, Muqatil bin  Hayyan dan Abdur Rahman bin Zaid bin Aslam, mereka semua mengatakan, “Janganlah engkau bersengketa sedang engkau mengetahui bahawa engkau zalim.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/521)

Diriwayatkan daripada Abdullah  ‘Amru R.Anhuma, katanya:

 لَعَنَ رَسُولُ اَللَّهِ ‏- صلى الله عليه وسلم ‏-اَلرَّاشِي وَالْمُرْتَشِيَ

Maksudnya: “Rasullullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Riwayat Abu Dawud (3580), Tirmizi (1337), Ahmad (6532), dan Ibn Majah (2313). Kata al-Tirmizi: Hasan Sahih

Daripada Thauban R.A:

وَزَادَ: «وَالرَائِشَ» يَعْنِي الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَا

Dan menambah: “(الرَّائِشَ) Yang menjadi penghubung antara pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Riwayat Ahmad (22399), Ibn Abi Syaibah (22529) dan al-Bazzar (4160)

Dato’ Sri Haji Zakaria Bin Haji Jaffar, Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) pernah menyebut: “Rasuah telah menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat sama ada kita sedar atau tidak. Kehadirannya dikaburi kerana pemberi dan penerima saling setuju dan menyetujui serta berkompromi akan perbuatan mungkar ini. Bahaya rasuah teramat dahsyat.” (Lihat buku beliau bertajuk Man Ana Perjuangan Menentang Rasuah, hlm. 42)

Justeru, dalam usaha memangkin sikap integriti, semua pihak sewajarnya berganding bahu membanteras gejala rasuah ini kemajuan ekononmi menjadi bertambah pesat serta melahirkan masyarakat yang bebas rasuah seterusnya mengecapi kehidupan yang aman dan sejahtera.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”