#7968: Budaya Melepak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kita tidak sewajarnya mengamalkan budaya melepak dan sembang kosong?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, lepak ialah budaya atau tabiat yang merupakan amalan negatif dalam kalangan masyarakat seperti remaja-remaja yang menghabiskan masa dengan duduk-duduk tanpa melakukan kegiatan yang berfaedah.

Daripada Abu Sa`id al-Khudri RA berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

إيَّاكُمْ وَالْجُلُوسَ عَلَى الطُّرُقَاتِ قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، مَا لَنَا بُدٌّ مِنْ مَجَالِسِنَا ، نَتَحَدَّثُ فِيهَا ، قَالَ : فَأَمَّا إذَا أَبَيْتُمْ فَأَعْطُوا الطَّرِيقَ حَقَّهُ قَالُوا : وَمَا حَقُّهُ ؟ قَالَ : غَضُّ الْبَصَرِ ، وَكَفُّ الأَذَى ، وَرَدُّ السَّلاَمِ ، وَالأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ ، وَالنَّهْيُ عَنْ الْمُنْكَرِ

Maksudnya: Awasilah kamu daripada duduk ditepi jalan. Para sahabat bertanya: Hai Rasulullah: Kami terpaksa berada di tempat duduk kami dan berbual disitu. Sabda Rasulullah: Jika kamu enggan, hendaklah kamu berilah hak jalan. Para sahabat bertanya: Apa haknya. Sabda Rasulullah: Tundukkan pandanganmu, mencegah daripada perkara yang menyakitkan, menjawab salam dan melaksanakan amar ma’ruf serta nahi mungkar.

Riwayat al-Bukhari (5875) dan Muslim (114)

Al-Hasan al-Basri berkata: “Wahai anak Adam, sesungguhnya kamu adalah (mewakili) masa dan hari-hari . Apabila satu hari berlalu,maka sebahagian (usia) kamu juga pergi.” (Lihat kitab al-Zuhd oleh Imam Ahmad, hlm. 278 dan al-Hilyah oleh Abi Nu’aim, 2/148)

Kerap kali, seseorang itu terbabas dalam menguruskan masa bahkan menghabiskannya dengan perkara yang sia-sia sedangkan sepatut keatasnya, dia berada di tempat untuk melakukan dan mengerjakan sesuatu yang telah dipertanggungjawabkan.

Cuba renungkan, daripada pukul 8.00 pagi sehingga pukul 5.00 petang, apakah yang kita lakukan? Paling banyak HENDAK yang menjadi perantara atau mukaddimah tetapi tidak dilakukan juga.

Sebagai contoh, Ahmad masuk ke pejabat jam 8.00 pagi. Dia bertemu Ali lantas mengajak Ali sarapan pagi di kantin. Kebiasaannya, dia akan mengambil masa sejam. Itupun kalau ada tiga atau empat orang, dan masa mungkin akan menjadi lebih. Justeru, dia akan masuk semula ke pejabat jam 9.00 pagi. Ketika itu, barulah hendak buat kerja. Sekiranya dia bersarapan dengan pantas, mungkin dia hanya mengambil masa sekitar 15 minit sahaja. Tanpa sedar, dia telah rugi 45 minit.

Semasa melakukan kerja kadang-kadang belum ada perancangan apa yang hendak dibuat seperti memikirkan apa priority (keutamaan) yang perlu ditumpukan. Pada jam 10.00 pagi, apabila ingin memulakan perbincangan, ada pula halangan lain yang akan muncul seperti kawan yang datang menyapa dan mengajaknya pergi ke tempat lain. Maka, kerja yang hakiki tidak dapat disiapkan (tertangguh). Sampai bilakah waktu itu akan tertangguh? Wallahua’lam.

Kalau tidak keluar sekalipun, jam 12.00 tengahari sudah ada kawan yang ajak makan tengahari. Silap-silap jam 11.45 pagi kita sudah keluar untuk pergi makan. Mencari tempat yang strategik untuk makan, minum dan sembang pelbagai topik yang tidak berkaitan dengan kerja. Akhirnya jam 2.00 petang baru masuk ke pejabat. Mulalah ke musolla untuk solat. Bertemu kawan, menyapa sepatah cakap. Jawabnya 2.45 petang baru sampai di kerusi pejabat semula.

Selepas duduk, tengok semula kerja tadi, datang pula kerja yang lain atau dipanggil oleh bos. Berhenti dan pergi bertemu bos atau bertanya kepada kawan mengenai kerja baru maka sampai semula di tempat duduk jam 4.15 petang. Ketika itu, ramai pula pelanggan datang. Sahabat-sahabat lain sudah bersiap untuk pulang. Maka habis lagi masanya untuk siapkan tugasannya.

Akhirnya kerjanya tertangguh juga melalui masa kerja yang masih lagi berbaki, diisinya dengan melayan telefon, Whatsapp, IG, Twitter dan Messenger. Sedar tak sedar dah sudah masanya punch out. Itulah hasil 8 jam di tempat kerja dan apa yang disumbangkan. Cuba bandingkan dengan orang yang sejawatan dengannya yang bersungguh-sungguh bekerja. Maka hasilnya hanya selesai 5% sahaja dalam 8 jam bekerja berbanding orang yang rajin. Itulah sebabnya, berlengah merupakan pembunuhan masa tanpa disedari. Natijahnya:

  • Produktiviti amat kurang.
  • Hasil tiada.
  • Kerja banyak tertangguh.
  • Kerja hakiki tidak lagi menjadi fokus utama.
  • Pengaruh dengan budaya malas, menyibuk, kurang fokus, bersembang dan membuang masa.

Bayangkan jika satu jabatan bersikap seperti ini. Sudah tentu ia akan merugikan masa orang lain atau pelanggan yang cuba menyelesaikan sesuatu urusan dengan cepat dan pantas.

Apa yang terjadi keesokan harinya sama sahaja, berlaku pengulangan hari demi hari, minggu demi minggu malah sampai tahun ke tahun. 25 tahun dia berkhidmat dengan kenaikan gaji dan usaha yang dilakukan natijahnya hanyalah kerugian. Sebab itulah Allah sebut: Demi masa! Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian.”

Justeru, antara perkara yang penting dalam kehidupan kita, tetapkan matlamat dan target untuk dicapai dalam tempoh dan waktu yang jelas. Cuba cepatkan daripada anggaran biasa agar berlaku tekanan yang mempercepatkan pelaksanaannya. Contohnya, sebuah proposal yang patut disiapkan dalam masa seminggu sebagai contoh perlu menyerahkan proposal tersebut pada hari Selasa hadapan jam 4.00 petang.

Apa yang perlu dilakukan adalah jangan ada padanya istilah ‘masa masih banyak’, ‘kita tangguh dulu’, ‘nanti kita akan bincang’, ‘yang penting kita siap tak kira bila-bila.’ Semuanya akan ini menyebabkan tiada persediaan dan semangat untuk menyiapkannya. Seafdhalnya (yang paling baik) selesaikanlah sepantas mungkin. Mungkin sehari atau dua hari atau tiga hari. Sebaliknya apabila dibiarkan, maka boleh jadi tempoh yang telah ditetapkan akan sama-sama terhanyut dan ini merugikan diri sendiri serta syarikat dimana seseorang itu bekerja. (Lihat Masa: Peliharalah, hlm. 110-114)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”