Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah cara untuk saya rasa bersyukur dengan nikmat yang Allah beri?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi Syukur
Syukur ialah perkataan masdar (terbitan) yang memberi makna iktiraf dengan yang makruf, yang dikurniakan kepada kamu lantas dipuji atas pemberinya dan ia tidak berlaku kecuali saling berbalasan antara yang makruf dan nikmat. (Lihat Madarij al-Salikin, 2/244-246; al-Majmu‘, 1/74 dan Nihayah al-Muhtaj, 1/22)
Menurut Imam al-Qurtubi pula, syukur ialah menzahirkan nikmat melalui lisan, hati dan anggota dengan cara lidah atau lisan mengiyakan yang makruf dan memujinya. Hati pula mengiktiraf dengan nikmat sedangkan anggota melakukan perbuatan yang diredhai kepada yang disyukuri. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 133/1)
Firman Allah SWT:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”
(Surah Ibrahim: 7)
Ibn Kathir menyebutkan bahawa ayat di atas bermaksud sekiranya seseorang itu bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan kepadanya, maka Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat tersebut ke atas dirinya.
Namun, sekiranya dia mengingkari nikmat itu, maka sesungguhnya azab Allah sangatlah pedih. Perkara tersebut adalah dengan menarik kembali nikmat itu daripada diri mereka dan menyeksa mereka disebabkan oleh pengingkaran terhadap nikmat tersebut. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathiroleh al-Sabuni, 291/2)
Dikatakan juga bahawa “لأَزِيدَتُكُمْ di sini bermaksud Allah SWT akan tambahkan lagi kepada mereka ketaatan kepada-Nya. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 330)
Ibn Kathir juga mendatangkan sebuah hadith di dalam Tafsirnya (479/4) daripada Thauban RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الْعَبْدَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya seorang lelaki itu akan terhalang daripada rezekinya disebabkan oleh dosa yang menimpanya.”
Riwayat Ibn Majah (4022) dan Ahmad (22438). Dinyatakan sebagai dha’if dalam Dha’if al-Targhib.
Al-Syarwani menyatakan, dalam hadith diterangkan, “Sesungguhnya seorang lelaki itu akan terhalang daripada rezekinya disebabkan oleh dosa yang menimpanya.”. Hadith ini menetapkan bahawa melakukan dosa menjadi sebab seseorang terhalang dari rezeki terutamanya pada pembohongan. (Lihat Hawasyi al-Syarwani, 238/1)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami katakan rasa syukur itu datang apabila kita redha dengan rezeki yang Allah beri, sama ada sedikit atau banyak. Sepertimana firman Allah SWT di atas, sekiranya dia syukur dengan nikmat, maka Allah SWT akan menggandakannya dan sekiranya anda kufur dengan nikmatNya, maka Allah SWT akan menarik semula nikmat itu dari dirinya, serta menyeksanya. Oleh itu, syukuri dan hargailah nikmat yang Allah telah berikan, sesungguhnya tidak ada yang terdaya kecuali kita mengharapkan rezeki dan redha dariNya.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”
Wallahu a‘lam