Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah doa yang boleh saya amalkan kerana saya terlalu banyak hutang?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Berikut adalah antara doa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW ketika dalam kesusahan dan melangsaikan hutang:
Doa Pertama:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada kegelisahan dan kedukaan. Aku berlindung kepada Engkau daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada Engkau daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Riwayat al-Bukhari (834) dan Muslim (7044)
Doa Kedua:
اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah cukupkanlah bagiku dengan apa yang halal, milik-Mu dari apa yang haram. Ya Allah kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu dari selain-Mu.”
Riwayat Ahmad (1318) al-Tirmizi (3563) dan al- Hakim (538/1). Al-Hakim mensahihkan sanadnya dan disepakati oleh al-Zahabi
Hadith ini berkenaan dengan permohonan Saidina Ali kepada Baginda SAW untuk melangsaikan hutang lantas Baginda SAW mengajar doa ini.
Imam al-Munawi berkata: Sesiapa yang menyebutnya dengan niat yang benar, akan mendapat kesan pengabulan dengan segera. (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/809)
Doa Ketiga:
Daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW berdoa ketika dalam kesukaran dan kesempitan:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَرَبُّ الْأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ
Maksudnya: “Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar kecuali Allah yang Maha Agung lagi Maha Pengasih. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar kecuali Allah Tuhan yang memiliki Arasy yang Agung. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar kecuali Allah Tuhan yang memiliki segala langit, Tuhan yang memiliki bumi dan Tuhan yang memiliki Arasy yang Mulia.”
Riwayat al-Bukhari (6346) dan Muslim (2730)
Akhir kalam, semoga Allah melimpahkan rezeki dan melangsaikan semua hutang anda, serta mempermudahkan segala urusan anda.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”
Wallahu a’lam