#7972: Solat Tanpa Doa Iftitah dan Surah 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sah atau tidak solat tanpa doa iftitah dan surah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Malik bin al-Huwairith, Rasulullah SAW bersabda:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: “Solatlah kamu semua sepertimana kamu semua melihat aku mendirikan solat.”

Riwayat al-Bukhari (631)

Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith ini mengisyaratkan tuntutan agar mengerjakan ibadah mengikut cara bagaimana Rasulullah SAW ajarkan dan juga praktikkan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/521).

Seterusnya, berbalik kepada soalan di atas, kami bahagikan jawapan kami kepada dua bahagian, iaitu kami akan jelaskan terlebih dahulu bekenaan doa istiftah dan kemudian barulah berkenaan bacaan surah dalam solat.

Pertamanya, berkenaan doa istiftah atau iftitah ini, ia termasuk dalam perkara sunat ketika mendirikan solat.

Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff dalam kitabnya, dan kemudiannya beliau menyebutkan, doa iftitah disunatkan dengan lima syarat:

  • Sempat mengikut imam dalam keadaan berdiri. Justeru, tidak disunatkan jika dia hanya sempat mengikut imam dalam keadaan rukuk atau sujud atau iktidal atau tasyahud.
  • Belum memulai membaca ta‘awwuz.
  • Tidak bimbang terlepas untuk membaca sebahagian surah al-Fatihah jika membacanya.
  • Bukan dalam solat jenazah; kerana solat jenazah dibina untuk keringanan.
  • Tidak bimbang habisnya waktu solat, kerana pada saat itu dia mesti fokuskan diri dengan perkara wajib sahaja. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 239).

Di antara doa iftitah yang boleh dibaca adalah seperti:

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ، اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنْ خَطَايَايَ كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الْأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، اللَّهُمَّ اغْسِلْنِي مِنْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ.

Maksudnya: “Ya Allah, jauhilah di antaraku dan kesalahanku seperti Engkau jauhkan di antara timur dan barat. Ya Allah, sucikanlah aku dari kesalahanku seperti dibersihkan kain yang putih dari kekotoran. Ya Allah, bersihkanlah aku dari kesalahanku dengan air salji, air dan air sejuk.”

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، وَتَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ.

Maksudnya: “Maha Suci engkau Ya Allah dengan memuji-Mu, berkat nama-Mu, tinggi kemuliaan-Mu dan tiada Tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah selain-Mu.

Keduanya, berkenaan bacaan surah dalam solat. Bacaan surah dalam solat pula terbahagi kepada dua, iaitu wajib dan sunat.

Membaca surah al-Fatihah dalam solat adalah wajib. Ini kerana ia merupakan salah satu rukun dalam setiap rakaat solat, sama ada solat fardhu atau sunat, dalam solat yang dibaca dengan kuat atau perlahan. Ia adalah fardhu bagi imam, makmum, orang yang solat sendirian, lelaki, wanita, kanak-kanak, musafir, orang yang muqim, orang yang berdiri, orang yang duduk, dan orang yang berbaring. Solat tidak sah kecuali dengannya, dan tidak ada yang dapat menggantikan tempatnya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/248).

‘Ubadah bin al-Samit RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا صَلاةَ لِمَن لَمْ يَقْرَأْ بفاتِحَةِ الكِتابِ

Maksudnya: “Tiada solat bagi sesiapa yang tidak membaca Surah al-Fatihah (di dalam solatnya).

Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (394)

Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, hujah pendapat yang mewajibkan bacaan Surah al-Fatihah di dalam solat (iaitu mazhab al-Syafi‘i dan sekalian ashab beliau), termasuklah bagi makmum di belakang imam, adalah hadith di atas. Begitu juga hadith ini menafikan kesahihan solat bagi orang yang tidak membacanya. Hadith ini mesti difahami secara asal zahirnya, melainkan apabila ada sebarang dalalah lain yang mengkhususkannya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 2/370)

Manakala bacaan surah pilihan atau mana-mana ayat daripada al-Quran selepas surah al-Fatihah adalah termasuk dalam perkara sunat. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff bahawa termasuk dalam perkara sunat ketika mendirikan solat adalah membaca sesuatu daripada al-Quran selepas al-Fatihah bagi imam dan orang yang solat sendirian, dan disunatkan juga bagi makmum jika dia tidak mendengar bacaan imamnya. Afdhal atau sebaik-baiknya, dia membaca tiga ayat atau lebih, dan jika dia membaca satu surah yang lengkap adalah lebih baik daripada hanya membaca sebahagian daripada surah yang panjang walaupun sebahagian ayat yang dibaca itu adalah lebih panjang daripada surah (yang pendek) sebagai mengikuti Nabi SAW. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 240).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa solat yang didirikan tanpa membaca doa iftitah dan surah atau ayat-ayat pilihan selepas surah al-Fatihah adalah sah dan tidak perlu diulangi semula. Ini kerana doa iftitah dan surah pilihan selepas al-Fatihah adalah termasuk dalam perkara yang disunatkan dalam solat dan bukannya perkara yang wajib. Oleh itu, meninggalkannya tidaklah sampai menyebabkan solat seseorang itu terbatal atau tidak sah.

Namun, jika meninggalkan bacaan surah dalam persoalan di atas adalah merujuk kepada surah al-Fatihah, maka kami katakan bahawa solat tersebut adalah tidak sah kerana surah al-Fatihah termasuk dalam salah satu rukun dalam solat. Ia wajib dibaca dalam setiap rakaat bagi mereka yang mendirikan solat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ، كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ المَشْرِقِ وَالمَغْرِبِ، اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنَ الخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالبَرَدِ

Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah aku dengan kesalahanku, sebagaimana Engkau telah jauhkan antara Timur dan Barat. Ya Allah, sucikanlah aku daripada kesalahan, sebagaimana Engkau mensucikan salju putih daripada kotoran. Ya Allah, bersihkanlah kesalahanku dengan air, salju dan embun.”