Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kongsikan, apa pandangan Islam terhadap kes buli?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Perkara penting yang perlu semua kita fahami, Islam adalah satu agama yang benar-benar menjaga dan memelihara karamah insaniah (kemuliaan insan). Sebab itu kita dapati bahawa di dalam Islam terdapatnya hukuman qisas yang mana antara takrifannya adalah: Hukuman yang ditentukan kadarnya dari sudut syarak sebagai hak kepada anak Adam.
Dalam menjelaskan hal ini, Allah SWT berfirman:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya Kami telah muliakan anak Adam.”
Surah al-Isra (70)
Ketika menafsirkan ayat ini, al-Hafiz Ibn Kathir berkata: Allah SWT mengkhabarkan bahawa Dia memuliakan anak Adam dengan cara Dia menciptakan mereka dengan sebaik-baik kejadian. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 5/97)
Manakala larangan dan balasan buat mereka yang memukul orang lain adalah tersangat banyak seperti yang disebutkan di dalam al-Quran dan hadis-hadis. Firman Allah SWT:
وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
Maksudnya: “Dan diletakkan kitab (buku amalan), maka kau dapat melihat golongan yang melakukan dosa-dosa berasa takut terhadap apa yang terdapat di dalamnya. Dan mereka berkata: “Alangkah celakanya kami ini, kitab apakah ini yang tidak terlepas dosa kecil dan dosa besar melainkan kesemuanya tercatat !”, mereka mendapati apa yang telah mereka kerjakan sebelum ini dan Tuhan kamu tidak pernah menzalimi seseorang pun.”
Surah al-Kahfi (49)
Di dalam sebuah hadis sahih daripada Abu Hurairah R.anhu beliau meriwayatkan dari Nabi SAW baginda bersabda:
إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang muflis dari kalangan umatku adalah sesiapa yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa, dan zakat. Dia juga datang dalam keadaan pernah mencela orang ini, menuduh orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, memukul orang ini. Maka diberikan kepada orang-orang tersebut kebaikan-kebaikan dirinya. Sekiranya kebaikannya sudah habis dalam keadaan perhitungan ke atasnya belum lagi habis, maka diambil kejahatan-kejahatan mereka itu tadi lalu dicampakkan kepadanya dan kemudiannya dia dicampak ke dalam neraka.”
Riwayat Muslim (2581)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyebutkan: Sangat benarlah Nabi SAW. Kerana sesungguhnya inilah sebenar-benar muflis. Adapun seorang yang muflis di dunia, maka sesungguhnya dunia itu datang dan pergi. Boleh jadi seseorang itu asalnya fakir, lalu dia berubah menjadi kaya ataupun sebaliknya. Akan tetapi, sebenar-benar muflis itu adalah ketika seorang itu muflis atas segala kebaikan yang dia telah berpenat lelah dalam mengerjakannya. Di hadapannya hari kiamat yang amalan kebaikannya akan menjadi saksi. Kemudian kebaikan tersebut diambil oleh si fulan dan si fulan. Pada hadis ini menunjukkan ancaman terhadap perbuatan melakukan kejahatan ke atas makhluk. (Lihat Riyadh al-Salihin, 1/251).
Rasulullah SAW mengajar kita untuk menghormati dan mengasihi, dan tidak menyakiti sesama manusia bahkan makhluk. Daripada Abu Syuraih R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
وَاللهِ لَا يُؤْمِنُ ، وَاللهِ لَا يُؤْمِنُ ، وَاللهِ لَا يُؤْمِنُ . قِيْلَ: وَمَنْ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ : الَّذِيْ لَا يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ
Maksudnya: “Demi Allah, tidak beriman. Demi Allah, tidak beriman. Demi Allah, tidak beriman.” Baginda ditanya: “Siapakah dia (yang tidak beriman itu), ya Rasulullah?” Rasulullah SAW lalu bersabda: “Orang yang jiran atau tetangganya tidak berasa aman daripada gangguannya.”
Riwayat al-Bukhari (6016)
Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: “Lafaz bawa’iq adalah jama’ daripada perkataan ba’iqah yang bermaksud sesuatu yang dahsyat, perkara yang membinasakan dan urusan besar yang terkadang menyebabkan kematian mendadak.” Ibn Battal berkata: “Pada hadith ini terdapat penegasan tentang hak tetangga, kerana Nabi SAW bersumpah atas perkara tersebut, ditambah lagi dengan pengulangan sumpah hingga tiga kali. Di dalamnya, disebut juga penafian iman daripada yang mengganggu tetangganya sama ada dalam bentuk perkataan mahupun perbuatan, dalam erti penafian iman yang sempurna. Dalam hal ini, tidak diragukan lagi bahawa pelaku maksiat tidak sempurna imannya. (Lihat Fath al-Bari, 29/145)
Abu Hurairah R.A pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لاَ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ
Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang membuatkan tetangganya berasa tidak aman daripada gangguannya.”
Riwayat Muslim (46), Ahmad (12583), al-Bazzar (7432) dan Abu Ya’la (4187)
Menurut Imam al-Nawawi, lafaz al-bawa’iq adalah jamak daripada ba’iqah iaitu malapetaka, musibah dan bencana. Berkenaan ungkapan ‘tidak akan masuk syurga,’ terdapat dua pengertian: Pertama, orang-orang yang menghalalkan perbuatan tersebut, sedangkan dia mengetahui bahawa hal tersebut adalah haram untuk dilakukan. Oleh kerana itu, orang tersebut adalah kafir dan tidak akan masuk syurga. Kedua, maknanya, balasannya adalah dia tidak akan masuk syurga ketikamana orang-orang yang beruntung memasukinya, iaitu ketika pintu-pintu syurga telah dibukakan untuk mereka. Akan tetapi, orang tersebut ditunda, lalu boleh jadi dia diberikan pembalasannya, dan boleh jadi dia diberikan keampunan hingga dia dapat memasukinya secara langsung. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/575)
Dalam hadis lain, yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ حَمَلَ عَلَيْنَا السِّلَاحَ فَلَيْسَ مِنَّا
Maksudnya: “Sesiapa yang membawa senjata untuk menakut-nakutkan kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”
Riwayat al-Bukhari (6874) dan Muslim (291)
Imam al-Nawawi berkata: Di sisi ahli ilmu memberi maksud perbuatan membawa senjata untuk menakutkan orang ramai bukanlah daripada petunjuk dan amalan kami. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/109)
Selain itu, nasihat Yahya bin Muaz ini juga harus dihayati, di mana beliau pernah menyebut:
ليَكُنْ حَظُّ الْمُؤمِنِ مِنْكَ ثَلَاثةٌ: إِنْ لَمْ تَنْفَعْهُ فَلَا تَضُرَّهُ، وَإِنْ لَمْ تُفْرِحْهُ فَلَا تَغُمَّهُ، وَإِنْ لَمْ تَمْدَحْهُ فَلَا تَذُمَّهُ
Maksudnya: “Jadikanlah habuan seorang mukmin daripada dirimu itu tiga bahagian: Jika kamu tidak memberi manfaat kepadanya, jangan pula kamu memberi mudarat kepadanya. Jika kamu tidak mampu menggembirakannya, jangan pula kamu gundahkannya. Jika kamu tidak memujinya, jangan pula kamu mencelanya.” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/283)
Diceritakan bahawa pernah berlaku satu peristiwa pada zaman Saidina Umar ibn al-Khattab R.A, di mana anak gabenor Mesir telah memukul rakyat biasa tatkala dia kalah dalam berlumba kuda. Apabila dilaporkan peristiwa ini kepada Saidina Umar bin al-Khattab R.A, lantas dengan nada yang tegas beliau berkata:
مَتَى اسْتَعبَدْتمُ النَّاسَ وَقَدْ وَلَدَتْهم أُمَّهَاتُهم أَحْرَارًا
Maksudnya: “Sejak bila kamu memperhambakan manusia? Sedangkan mereka dilahirkan oleh ibu mereka sebagai manusia merdeka.”
(Lihat Futuh Misr oleh Ibn ‘Abd al-Hakam, hlm. 195 dan al-Wilayah ‘ala al-Buldan fi ‘Asr al-Khulafa’ al-Rasyidin oleh ‘Abd al-‘Aziz bin Ibrahim, hlm. 45).
Penutup dan Cadangan
Sebagai penutup, kami kemukakan juga di sini beberapa cadangan seperti berikut:
Pertama: Penubuhan sekolah khas kepada pembuli
Hal ini boleh dilakukan dengan berpandukan model sekolah Tunas Bakti dan Henry Gurney dengan pendedahan yang boleh mengubah pelajar menjadi baik, berakhlak dan cemerlang dalam pelajaran.
Kedua: Lawatan ke Penjara sepertimana dilakukan di barat bagi tujuan mendidik remaja agar menjadi bertambah baik.
Hal ini bagi tujuan memberi kesan psikologi kepada pelajar agar menjauhi jenayah termasuk gejala buli dan seumpamanya. Melalui lawatan ini, mereka boleh ditunjukkan simulasi kehidupan harian banduan, bahkan mengalami sendiri suasana dalam sel penjara yang sempit serta ditunjukkan hukuman yang dikenakan ke atas banduan termasuk sebatan.
Ketiga: Menguatkan lagi kerohanian dan kesedaran agama dengan cara yang sesuai dan berkesan sehingga boleh diterima oleh pelajar
Melalui pendidikan agama dan moral yang sesuai dan berkesan, ia mampu mengubah sahsiah dan akhlak seseorang pelajar. Hal ini kerana gejala buli adalah sangat berkait dengan kekurangan nilai akhlak dan adab pelajar. Justeru, ia sewajarnya tidak dipandang remeh, sebaliknya satu usaha bagi menambaik sistem pendidikan ini perlu dilakukan merangkumi aspek amalan dan praktikal supaya ia lebih berkesan.
Keempat: Penguatkuasaan kepada ketua atau pengurus
Jika sekiranya berlaku kes buli, tetapi pihak ketua, pengarah, pengurus, guru besar, pengetua, komandan yang mengetahui hakikat sebenar tetapi tidak melaporkannya atau tidak mengambil sebarang tindakan, maka ia dianggap sebagai kesalahan dan kecuaian dalam melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya. Maka hendaklah diberi peringatan kepada mereka dan boleh diambil tindakan tatatertib dan diminta untuk memberi surat tunjuk sebab atas kealpaan dan sikap yang diambil tersebut.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”