#7979: Kisah Hatim al-Asam dan Gurunya Syaqiq al-Balkhi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada mendengar ceramah ustaz yang menceritakan berkenaan Hatim al-Asam dan gurunya Syaqiq al-Balkhi. Boleh ustaz berikan kisahnya di sini supaya saya dapat membacanya semula dan memahaminya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berkenaan persoalan di atas, kami kemukakan di sini kisah yang pernah kami ceritakan berkenaan kisah Hatim al-Asam[1] bersama gurunya, Syeikh Syaqiq al-Balkhi.

Suatu ketika, Syeikh Syaqiq al-Balkhi[2] bertanya kepada muridnya Hatim al-Asam: “Sudah berapa lama awak belajar denganku?” Hatim menjawab: “Tiga puluh tiga tahun, guru.” Syaqiq bertanya: “Berapa banyak ilmu yang kamu petik?” Jawab Hatim: “Hanya lapan masalah sahaja.”

Terkejutlah gurunya seraya berkata: “Tiga puluh tiga tahun hanya lapan masalah?” Jawab Hatim: “Benar guru. Saya tidak berdusta.” Gurunya, Syaqiq berkata: “Sila nyatakan lapan masalah tersebut.” Kata Hatim:

Pertama: Aku memperhati seluruh manusia. Kemudian aku dapati masing-masing daripada mereka mempunyai kekasih dan barang yang disayanginya. Dia bersama kekasihnya tersebut sehingga sampai ke perkuburan. Namun, ketika dia sudah masuk ke dalam kubur, maka kekasihnya justeru berpaling daripadanya dan barang kesayangannya turut terpisah daripadanya.

Maka aku jadikan kebajikan dan amal-amal kebaikan sebagai kekasih dan perkara yang aku sayangi. Sehingga, ketika aku masuk ke dalam kubur, maka amal kebajikan dan kebaikan tersebut akan kekal bersamaku.

Kedua: Aku memperhatikan firman Allah SWT:

وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ ﴿٤٠﴾ فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ

Maksudnya: “Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, – Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.” [3]

(Surah al-Nazi’at: 40-41)

Maka, aku yakin bahawa sesungguhnya firman Allah SWT adalah benar. Oleh itu, aku memaksa nafsuku untuk menolak kesenangannya sehingga nafsuku tenang untuk taat kepada Allah SWT.

Ketiga, sesungguhnya aku memperhatikan seluruh manusia. Aku melihat setiap orang yang memiliki sesuatu yang berharga dan bernilai, maka dia akan menjaganya agar tidak hilang. Kemudian aku membaca firman Allah SWT:

مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ ۖ وَمَا عِندَ اللَّـهِ بَاقٍ

Maksudnya“(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal.”[4]

(Surah al-Nahl: 96)

Dari situ, apabila aku memiliki sesuatu yang berharga, maka segera sahaja aku serahkan kepada Allah (dengan bersedekah), agar barang milikku tetap terjaga bersama-Nya tidak hilang.

Keempat: Sesungguhnya aku memerhatikan seluruh manusia. Aku melihat bahawa masing-masing dari mereka bermegah dengan harta kekayaan, keturunan mulia, pangkat dan nasabnya. Aku renungkannya, ternyata semua itu tidak ada ertinya. Kemudian aku membaca firman Allah SWT:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

MaksudnyaSesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).[5]

(Surah al-Hujurat: 13)

Maka aku bertakwa dan beramal, agar aku menjadi mulia di sisi Allah SWT.

Kelima: Aku memperhatikan seluruh manusia. Sebahagian dari mereka mencela sebahagian yang lain, dan sebahagian dari mereka melaknat sebahagian yang lain. Aku tahu penyebab utamanya adalah sifat dengki dan iri hati. Kemudian aku membaca firman Allah SWT:

نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

Maksudnya: “Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita).”[6]

(Surah al-Zukhruf: 32)

Maka aku kemudian meninggalkan sifat dengki dan iri hati serta menghindar dari manusia. Kerana aku tahu bahawa pembahagian rezeki itu benar-benar dari Allah SWT yang menjadikanku tidak patut memusuhi dan iri hati kepada orang lain.

Keenam: Aku memerhatikan manusia. Sebahagian dari mereka menganiaya dan berbuat zalim pada sebahagian yang lain. Dan sebahagian dari mereka saling bermusuhan dan memerangi sebahagian yang lain. Kemudian aku kembali kepada firman SWT:

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا

Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya).” [7]

(Surah Fatir: 6)

Maka aku menghindari dari memusuhi orang lain dan sebaliknya aku berusaha fokus dan penuh waspada dalam menghadapi permusuhan syaitan. Hal ini kerana sesungguhnya Allah SWT telah bersaksi bahawa sesungguhnya syaitan adalah musuhku. Oleh itu, aku tidak memusuhi makhluk selain syaitan.

Ketujuh: Aku memperhatikan manusia dan aku dapati masing-masing menghinakan diri mereka sendiri kerana mencari rezeki. Bahkan ada di antara mereka yang sampai berani melanggar sesuatu yang tidak halal. Kemudian aku melihat firman Allah SWT:

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّـهِ رِزْقُهَا

Maksudnya: “Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya.” [8]

(Surah Hud: 6)

Maka aku yakin bahawa sesungguhnya aku merupakan salah satu daripada dawwab (makhluk hidup) ini yang ditanggung rezekinya oleh Allah. Maka aku sibukkan diriku dengan apa yang menjadi hak Allah SWT atas diriku, dan aku menyerahkan apa yang menjadi hakku di sisi-Nya.

Kelapan: Aku melihat manusia menyerahkan diri dan bertawakal kepada makhluk. Sebahagian tawakal pada kebunnya, sebahagian lagi tawakal pada barang dagangannya, sebahagian lain tawakal pada pekerjaannya, dan sebahagian lain lagi bergantung pada kesihatan badannya. Semua makhluk bertawakal pada makhluk yang lain yang sama lemahnya dengannya. Kemudian aku kembali pada firman Allah SWT:

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Maksudnya: “Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” [9]

(Surah al-Talaq: 3)

Maka aku berserah diri kepada Allah SWT. Aku yakin Allahlah Tuhan yang akan mencukupkan segala keperluanku.

Setelah mendengar penjelasan Hatim, Syaqiq berkata “Semoga Allah memberimu taufik. Aku telah telah melihat Taurat, Injil, Zabur dan Furqan (al-Quran) ternyata semua kitab itu membahas kelapan-lapan persoalan ini. Oleh kerana itu, barangsiapa mengamalkannya, maka dia telah mengamalkan keempat kitab tersebut.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

 Nota Hujung:

[1] Nama penuhnya ialah Abu Abdirrahman Hatim ibn Alwan. Beliau merupakan tokoh guru besar (Syeikh) Khurasan, murid Syaqiq al-Balkhi, dan merupakan guru kepada Ahmad ibn Khardawaih. Hatim wafat pada tahun 237 Hijrah. Hatim mendapat gelaran al-asham (yang tuli) bukan kerana dia tidak boleh mendengar tetapi pernah suatu hari dia berpura-pura pekak kerana untuk menjaga kehormatan seorang wanita sehingga dia mendapat gelaran al-asham, yang bermaksud ‘yang pekak’.

[2] Abu Ali Syaqiq bin Ibrahim al Balkhi adalah salah seorang di antara tokoh tokoh besar Khurasan. beliau adalah guru kepada Hatim al Asham. Beliau meninggal pada 194 Hijrah.

[3]  Imam Ibn Kathir berkata: Iaitu takut ketika berdiri di hadapann Allah SWT dan takut akan hukum-Nya yang diberlakukan padanya, juga menahan diri untuk tidak mengikuti hawa nafsunya serta mengarahkannya untuk selalu mentaati Tuhan-nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/115)

[4] Syeikh al-Maraghi berkata: Kesenangan dunia yang kamu nikmati, bahkan dunia dengan segala isinya itu akan habis dan musnah, meskipun umurnya panjang dan jumlahnya banyak. Sedangkan apa yang disimpan dalam perbendaharaan Allah SWT adalah kekal, tidak pernah habis. Oleh itu, bekerjalah untuk memperoleh apa yang ada di sisi-Nya dan tamaklah kepada apa yang kekal dan tidak musnah. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3835)

[5] Sayyid Qutb berkata: Demikianlah gugurnya segala titik-titik perbezaan dan gugurnya segala nilai-nilai dan ukuran-ukuran. Hanya nilai taqwa sahaja satu-satunya neraca yang tegak. Inilah satu-satunya neraca dan satu-satunya nilai untuk menjadi asas rujukan kepada umat manusia yang berbagai-bagai warna dan jenis itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 15/112)

[6] Abu Hayyan berkata: Ayat ini memerintahkan kita berzuhud dalam mengejar dan mencari dunia sebaliknya bergantung dan bertawakal kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Bahr al-Muhit, 8/13)

[7] Al-Sabuni berkata: Sesungguhnya syaitan bagi kamu hai manusia musuh yang amat licik dan permusuhannya begitu lama dan sentiasa berlangsungan. Justeru janganlah patuh kepadanya dan hendaklah kamu sentiasa berwaspada daripadanya. Sebahagian ahli makrifah berkata: Pelik siapa yang menderhaka kepada Tuhan yang bersifat ihsan selepas mengetahui tentang ihsan-Nya, sedangkan Dia mentaati kepada syaitan yang dilaknat selepas mengetahuinya dengan permusuhannya. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/520)

[8] Syeikh al-Maraghi berkata: Tidak ada makhluk daripada jenis apa sekalipun yang melata di atas bumi kecuali rezekinya dikurniakan oleh Allah SWT. Tiada bezanya tentang hal tersebut sama ada ia melibatkan binatang-binatang kecil (mikrob) yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar atau yang bertubuh besar atau yang sederhana. Demikian juga, Allah SWT telah memberi kepada setiap penciptaan-Nya sesuatu yang sesuai dengan penghidupan masing-masing. Kemudian, setiap satu diberi petunjuk sehingga dapat memperoleh makanan, melalui naluri dan fitrah masing-masing. Allah SWT mempunyai keputusan mutlak terhadap penciptaan setiap jenis makhluk hidup tersebut, sekalipun kita tidak mengetahui, kenapa ular, kucing dan sebagainya dicipta. Padahal, dapat kita katakan seandainya ular dan kucing itu tidak ada, bumi ini tetap sempit kerana banyak makhluk yang hidup di atasnya atau mengeluarkan bau yang busuk kerana bangkai yang banyak di sana. Maksud Allah SWT mengurniakan rezeki kepada makhluk-makhluk hidup tersebut ialah Dia menyediakan rezeki itu, untuk mereka dan memberi mereka petunjuk supaya mencari dan memperolehnya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3145)

[9] Syeikh al-Maraghi berkata: Sesiapa yang menyerahkan urusannya kepada Allah SWT dan pasrah kepada-Nya dengan setulus-tulusnya, Dia akan membantu dalam perkara yang menyulitkannya di dunia dan akhirat. Maksudnya hamba itu melakukan sebab-sebab yang dijadikan Allah SWT termasuk sunnah-sunnah-Nya dalam kehidupan dan menunaikannya dengan cara yang sebaik-baiknya. Kemudian menyerahkan segala urusannya kepada Allah SWT, iaitu sebab-sebab yang tidak diketahuinya dan ia tidak dapat dicapai oleh pengetahuannya. Ia tidak bermaksud sama sekali melemparkan urusan ke tempat sampah, meninggalkan usaha dan kerja serta menyerahkannya kepada Allah SWT kerana ini bukan perintah agama. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/7070)