#7980: Larangan Ke atas Isteri Menggambarkan Kecantikan Wanita Lain Kepada Suami

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah terdapat larangan seorang isteri menggambarkan kecantikan wanita lain kepada suaminya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-Nya) adalah Dia menciptakan buat kamu isteri-isteri yang berasal dari diri kamu sendiri, supaya kamu berasa tenang kepada mereka. Dan dia menjadikan di antara kamu perasaan mawadah (kasih sayang) dan juga rahmah (belas kasihan). Sesungguhnya pada yang demikian itu merupakan tanda-tanda (kebesaran) bagi kaum yang sentiasa berfikir.”

(Surah al-Rum: 21)

Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya: Yang dimaksudkan dengan kalimah al-mawaddah dan al-rahmah adalah, perasaan yang menghubungkan di antara satu sama lain (suami dan isteri). Ibn Abbas R.Anhuma menafsirkan al-mawaddah sebagai perasaan cinta seorang suami kepada isterinya. Manakala al-rahmah pula bererti perasaan belas ehsan seorang lelaki dari mendatangkan keburukan kepada isterinya. (Lihat Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/14)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa Islam mencegah seseorang daripada melakukan sebarang perbuatan yang boleh membawa kepada kemungkaran, sama ada terhadap diri sendiri atau orang lain. Oleh itu, dalam isu ini, tidak dibenarkan bagi seorang isteri untuk menggambarkan atau menyifatkan kecantikan wanita lain kepada suaminya. Ini bertujuan untuk menghindari suami atau mana-mana lelaki daripada terjerumus dalam fitnah atau kemungkaran, seperti membayangkan wanita cantik yang boleh membangkitkan nafsu mereka. Akibatnya, mereka mungkin akan cenderung kepada wanita cantik yang digambarkan itu dan tidak lagi berminat kepada isterinya.

Larangan tersebut adalah berdasarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تُبَاشِرُ المــَـرْأَةُ المــَـرْأَةَ، فَتَنْعَتَهَا لِزَوْجِهَا كَأَنَّهُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا

Maksudnya: “Janganlah seorang wanita bersentuhan badan dengan wanita lain, lalu dia menyebut ciri-cirinya kepada suaminya, sehingga seakan-akan suaminya melihat wanita itu.”

Riwayat al-Bukhari (5240)

Yang dimaksudkan dengan (المُبَاشرة) ialah : Menyentuh kulit antara dua orang, yang juga boleh diertikan sebagai hubungan intim dan sentuhan. Namun, dalam konteks ini, yang dimaksudkan adalah melihat; iaitu, seorang wanita tidak boleh melihat wanita lain dan kemudian menggambarkan kecantikannya kepada suaminya berdasarkan apa yang dilihatnya, sehingga suami tersebut boleh jatuh cinta pada wanita yang digambarkan itu. Ini adalah larangan bagi seorang wanita untuk menggambarkan kecantikan wanita lain kepada suaminya atau lelaki lain, agar lelaki tidak tertarik pada wanita asing hanya berdasarkan sifat yang mereka dengar. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 4/18)

Selain itu dinyatakan dalam al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir (11/79):  Seorang wanita tidak boleh melihat kulit dan semua kecantikan wanita lain dan kemudian menggambarkannya  kepada suaminya, memberitahunya tentang kecantikan wanita tersebut sehingga seolah-olah dia melihatnya. Ini kerana hal tersebut boleh membuatkan hati suaminya terpaut kepada wanita yang digambarkan itu, dan dia mungkin akan cenderung kepadanya serta tidak lagi berminat kepada isterinya yang menggambarkan kecantikan wanita lain.

Menurut al-Qabisi pula, beliau berkata: Ini adalah asas bagi Imam Malik dalam prinsip Sad al-Zara‘i (menutup pintu-pintu kemudaratan). Hikmah di sebalik larangan ini adalah kerana dikhuatiri suami akan terpikat dengan gambaran yang disebutkan, sehingga membawa kepada penceraian wanita yang memberikan gambaran tersebut atau tergoda dengan wanita yang digambarkan itu. (Lihat Fath al-Bari, 9/338)

Justeru, perbuatan menyifatkan kecantikan wanita lain kepada suami adalah dilarang oleh syarak kerana ia boleh membawa kepada pelbagai kesan negatif. Antaranya, perbuatan ini dikhuatiri menimbulkan fitnah dan godaan yang menyebabkan hati suami terpikat dengan wanita yang disifatkan, membangkitkan nafsu yang tidak sepatutnya, serta boleh menggugat keharmonian rumah tangga. Larangan ini bukan sahaja bertujuan menjaga daripada berlakunya fitnah, tetapi juga untuk memelihara institusi perkahwinan agar kekal harmoni dan bebas daripada unsur-unsur yang boleh merosakkan hubungan suami isteri. Oleh yang demikian terdapat sebuah kaedah yang menyebutkan:

كُلّ مَا أدّى إِلى حَرَامٍ فَهُوَ حَرَام

Maksudnya: “Setiap perkara yang membawa kepada perkara yang haram maka ia adalah haram (hukumnya).”

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahua‘lam