Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang pengharaman riba dalam Islam? Apa dalil-dalilnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُّضَاعَفَةً ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba’ Dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.”
(Surah Ali ‘Imran: 130)
Imam al-Qurtubi menjelaskan perkataan (الْبَاطِل) batil juga boleh memberi maksud “Memakan atau mengambil sesuatu harta tanpa bayaran atau pampasan atau bukan atas jalan hibah dan hadiah. Batil juga boleh dimaksudkan kepada sesuatu yang bukan hak.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 5/150)
Begitu juga firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَاۚ
Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
(Surah al-Baqarah: 275)
Al-Baidhawi di dalam tafsirnya menyebutkan: Ayat ini menjadi dalil kepada keharusan berjual beli dan larangan melakukan riba. Beliau juga mengatakan bahawa ayat ini juga mengingkari perbuatan menyamakan jual beli bersama riba. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 1/162)
Diriwayatkan daripada al-Sya‘bi R.A berkata:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم آكِلَ الرِّبَا وَمُوكِلَهُ وَشَاهِدَهُ وَكَاتِبَهُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat orang yang memakan riba’, orang yang memberi riba’, saksinya dan penulisnya.”
Riwayat al-Nasa’i (5105)
Syeikh al-Maraghi menjelaskan bahawa amalan riba’ merupakan punca kepada penderitaan dan kesengsaraan bagi mereka yang amat memerlukan (harta) dan kesusahan hidup. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/926)
Menurut Imam al-Mawardi, para ulama telah sepakat tentang pengharaman riba namun terdapat perbezaan pandangan tentang cabang-cabang berkaitan riba dan kaedah pengharamannya. Beliau berkata:
قَدْ أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى تَحْرِيمِ الرِّبَا وَإِنِ اخْتَلَفُوا فِي فُرُوعِهِ وَكَيْفِيَّةِ تَحْرِيمِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya telah sepakat kaum muslimin (para ulama) atas pengharaman riba walaupun terdapat perbezaan terhadap perkara cabangnya dan bagaimana pengharamannya.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 5/74)
Manakala pandangan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ menyatakan riba adalah salah satu dosa besar malah pengharaman riba ini turut dilakukan oleh syariat agama lain. Beliau berkata:
فَقَدْ أَجْمَعُ الْمُسْلِمُونَ عَلَى تَحْرِيمِ الرِّبَا وَعَلَى أَنَّهُ مِنْ الْكَبَائِرِ وَقِيلَ إنَّهُ كَانَ مُحَرَّمًا فِي جَمِيعِ الشَّرَائِعِ
Maksudnya: “Sesungguhnya telah sepakat kaum muslimin atas pengharaman riba dan ianya merupakan salah satu dosa besar, dan ada pendapat yang menyatakan riba diharamkan pada semua syariat agama-agama lain (samawi)” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/391).
Seterusnya, dari segi takrif riba, dalam bahasa mudahnya, riba adalah sebarang tambahan dalam barangan tertentu (ribawi) dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh. (Lihat al-Riba wa al-Mu‘amalat al-Ribawiyyah, hlm. 43).
Sebagaimana yang kita ketahui, secara umumnya, kad kredit konvensional tidak terlepas daripada elemen riba kerana terdapatnya kadar faedah yang dikenakan kepada pinjaman yang diberikan menurut perkhidmatan. Selain itu, terdapat juga caj bayaran lewat untuk bayaran yang tidak diterima selepas tarikh akhir perlu dibayar. Kedua-dua hal ini termasuk dalam jenis riba hutang (ربا ديون). Ia dipanggil sebagai riba hutang atau riba duyun kerana riba jenis ini muncul dari hutang. Dalam bahasa mudahnya, riba hutang atau riba nasi’ah atau riba qardh ialah pertambahan bersyarat yang diterima oleh pemiutang daripada penghutangnya sebagai balasan jangka masanya, dan jika penghutang tidak mampu membayar, pertambahan itu akan berlipat ganda dan berlipat ganda. Ia adalah riba yang diketahui pada zaman Jahiliyyah, maka oleh sebab itu ia kadang-kadang dipanggil juga sebagai riba jahiliyyah.[1]
Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, riba hutang ialah apabila hutang seseorang meminjam sejumlah wang daripada seseorang untuk tempoh tertentu dan dia perlu memulangkannya bersama bayaran tambahan yang ditetapkan, ataupun dia memberikan pemiutang bayaran tertentu sebagai faedah atau keuntungan sehingga dia memulangkan semua wang yang dipinjam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/83).
Bagi memudahkan kefahaman berkenaan riba qardh ini, dinyatakan di sini dua situasi berikut:
- Ahmad meminjamkan RM1000 kepada Abu dan memintanya untuk membayar semula dengan jumlah RM1010. Maka, RM10 lebihan itu adalah riba.
- Ahmad meminjamkan RM1000 kepada Abu, dengan syarat ia hendaklah dilunaskan dalam tempoh dua bulan. Akan tetapi Abu terlewat untuk membayar hutangnya. Maka, Ahmad mengenakan caj tambahan sebanyak Rm10 kepada Abu sebagai denda kerana lewat bayar. Caj tambahan RM10 itu adalah riba.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.cilecenter.org/ar/resources/articles-essays/alrba-walfaydt-byn-alfqh-walaqtsad. Diakses pada 21 Februari 2024.