Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana untuk menjadi seorang pendakwah yang unggul dan mithali?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: ‘Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)’.”
(Surah Fussilat: 33)
Pendakwah dan pendidik hendaklah menjadi contoh terbaik buat masyarakat agar dapat menunaikan peranannya dengan cara yang lebih sempurna. Antara sifat-sifat yang perlu ada dalam diri pendakwah ialah, pendakwah dan guru mestilah merasakan pentingnya tugas dakwah dan tingginya nilai dakwah itu.
Ibn Kathir menyatakan iaitu seorang menyeru kepada tauhid kepada Allah dan mentaati-Nya sama ada melalui ucapannya, perbuatannya dan hal keadaannya. Termasuk juga melakukan amalan soleh sehingga dia menjadikan Islam sebagai agamanya dan mazhabnya. Ibn Kathir juga berkata: Ayat ini umum pada semua yang menyeru ke arah kebaikan. (Lihat Mukhtasar Ibn Kathir, 3/264)
Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata ketika menafsirkan ayat ini dengan menyatakan beberapa isi penting iaitu perkataan menyeru kepada mengesakan Allah dan taat kepada-Nya serta beribadah kepada-Nya. Selain itu, maksud beramal soleh di dalam ayat di atas adalah menunaikan segala yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas manusia di samping menjauhkan segala yang diharamkan oleh Allah SWT ke atasnya. (Lihat Tafsir al-Munir, 24/228-229)
Oleh kerana itu, para pendakwah hendaklah mempunyai kesedaran yang tinggi tentang peri pentingnya bidang dakwah ini dalam diri mereka. Berdakwah mengajak manusia kepada Allah dan beramal soleh adalah pekerjaan yang paling baik di sisi-Nya. Ia adalah sebagai jalan untuk menyampaikan cahaya kebenaran ke dalam hati bagi mendapatkan hidayah jalan yang lurus.
Ia hendaklah yakin bahawa pahala yang besar hasil usaha dakwah itu datang dari Allah. Betapa besarnya kelebihan pendakwah sehingga Allah hidayahkan mad’u atau khalayak masyarakat ke arah kebaikan dan agama sebenar, sudah tentu mendapat pujian daripada Tuhan serta balasan yang baik. Benarlah sabda Rasulullah SAW, sepertimana diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘ad R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Saidina ‘Ali R.A:
فواللَّهِ لأنْ يهْدِيَ اللَّه بِكَ رجُلًا واحِدًا خَيْرٌ لكَ من حُمْرِ النَّعم
Maksudnya: Maka demi Allah, bahawa Allah memberi hidayat kepada seorang lelaki dengan sebab kamu, makanya lebih baik bagi kamu daripada unta yang terbaik.
Riwayat al-Bukhari (4210) dan Muslim (2406)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Perkataan (حمر النعم) dengan maksud unta yang terbaik. Humruha (حمرها) dengan maksud yang paling afdhal sedangkan kalimah na’am (النعَم) dengan maksud unta secara khusus. Dikatakan al-an’am (الْأَنْعَام) termasuk padanya lembu, kambing bahkan dikatakan juga unta. Daripadanya ucapan kalimah na’am (نعم) bagi mereka dengan maksud unta yang banyak dan boleh dibaca dengan baris bawah pada awalnya, ni’am (نِعم). (Lihat Fath al-Bari, 1/196-197)
Bacaan yang paling tepat pada perkataan (حمر النعم) adalah dengan baris hadapan pada huruf ha’ dan mati pada huruf mim (حُمْر) dan jamaknya dengan (أَحْمُر). Sedangkan perkataan (النعم) ialah unta yang termasuk dalam idhafah sifat kepada mausuf. Kenyataan seperti ini untuk menggalakkan bagi orang Arab. Ini kerana (حمر النعم) adalah harta yang paling berharga di sisi mereka. Maka kinayah seolah-olah ia adalah yang paling terbaik di dunia ini kerana simpanan akhirat itulah yang paling kekal. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi, 2/439)
Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Kenyataan seperti ini adalah untuk menggalakkan orang Arab. Ini kerana (حمر النعم) adalah harta yang paling berharga di sisi mereka. Maka kinayah seolah-olah ia adalah yang paling terbaik di dunia ini kerana simpanan akhirat itulah yang paling kekal. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/439)
Kata Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini: Sebagaimana pernah dijelaskan bahawa perumpamaan suatu perkara akhirat dengan keuntungan dunia, ini hanyalah untuk memudahkan kefahaman. Namun, tentu sahaja balasan di akhirat itu lebih besar daripada kenikmatan dunia yang ada. Demikianlah maksud dari setiap gambaran yang biasa disebut dalam hadith.
Dalam hadith ini terdapat pelajaran tentang keutamaan ilmu dan juga dijelaskan keutamaan seseorang yang mengajak pada kebaikan. Begitu juga dijelaskan keutamaan seseorang yang mengajak kepada kebaikan serta keutamaan menyebarkan sunnah yang baik. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 15/178)
Justeru, menyampaikan dakwah sehingga seseorang itu berubah ke arah yang lebih baik kerana mendapat hidayah Allah yang dengan sebab pendakwah maka balasannya amat besar.
Pendakwah dan guru hendaklah mengetahui bahawa faktor yang paling penting bagi melaksanakan dakwah dengan cara yang paling baik dan mendapat taufiq Allah ialah mengikhlaskan diri kepada Allah, tidak dicampuri dengan sesuatu yang lain seperti terpedaya, riya’, suka menonjol diri dan lain-lainnya. Para pendakwah selalunya mudah terdedah kepada fitnah terutama apabila dakwahnya menjadi tumpuan orang ramai serta ramai mengelilinginya.
Oleh kerana itu, mereka harus membersihkan hati mereka daripada penyakit ini dan sentiasa mentajdidkan niat mereka hanya kerana Allah. Hati adalah raja kepada jasad manusia. Sekiranya elok hatinya, maka eloklah keseluruhan jasadnya dan sebaliknya sepertimana hadith Rasulullah SAW, daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”
Riwayat al-Bukhari (52), Muslim (1599), Ibn Majah (3984), al-Darimi (22003), dan al-Baihaqi (1855)
Ibn Rajab berkata: Hati yang baik ialah hati yang selamat daripada segala penyakit hati dan pelbagai perkara yang dibenci. Ia juga adalah hati yang dipenuhi dengan kecintaan dan rasa takut kepada Allah, serta rasa takut berjauhan daripada Allah. Hati yang baik akan membawa kepada perbuatan yang baik. Ini kerana, jika hati itu baik dan hanya dipenuhi dengan kehendak Allah, nescaya amal perbuatannya akan hanya sesuai dengan kehendak Allah. Hal ini akan menjadikannya bersegera dalam melakukan perbuatan yang diredhai oleh Allah dan meninggalkan perbuatan yang dibenci oleh-Nya. (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/65-66)
Ibn al-Qayyim berkata: Hati berfungsi sepertimana raja yang berkuasa mengatur pasukannya, di mana semuanya berasal dari perintahnya. Dari hati akan menjadikan seseorang (mengikuti) perkara yang lurus atau yang menyimpang. Seluruh anggota badan mengikuti tekad kuat hati atau mengikut sesuatu yang tidak dikehendaki oleh hati. (Lihat Ighasatu al-Lahfan, 1/5)
Pendakwah hendaklah memastikan dirinya betul-betul mengikuti ajaran Allah dalam berdakwah sepertimana yang diajarkan oleh Allah kepada Nabi-Nya. Firman Allah SWT:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.
(Surah al-Nahl: 125)
Kekerasan yang dibalas dengan kekerasan tidak akan memberi manfaat, malah yang sebaliknya akan berlaku. Ia akan memberi kesan yang lebih buruk kepada umat Islam itu sendiri. Agama Islam mewajibkan ummatnya supaya sentiasa berlaku baik kepada semua orang dan menyeru manusia ke arah kebaikan dengan cara berhikmah.
Kata Syeikh al-Maraghi: Gunalah pendekatan yang terbaik dalam dakwah dan berdebat, iaitu berdakwah dengan cara yang terbaik. Itulah kewajipanmu manakala pemberian petunjuk dan penyesatan serta pembalasan terhadap kedua-duanya diserahkan kepada Allah SWT semata-mata. Dia lebih mengetahui keadaan orang yang tidak mahu meninggalkan kesesatan kerana ikhtiarnya yang buruk dan keadaan orang yang mengikut petunjuk kerana dia mempunyai persiapan yang baik. Apa yang digariskan oleh Allah SWT untuk berdakwah, itulah yang dituntut oleh hikmah dan itu telah cukup untuk memberikan petunjuk kepada orang yang mahu mengikut petunjuk serta menghilangkan alasan daripada orang yang sesat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3868)
Hubungan antara pendakwah dan sasaran dakwah dapat disemak daripada sabda Rasulullah SAW berikut:
مَثَلِي وَمَثَلُكُمْ كَمَثَلِ رَجُلٍ أوْقَدَ نَارًا فَجَعَلَ الجَنَادِبُ والفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهَا وَهُوَ يَذُبُّهُنَّ عَنْهَا، وَأَنَا آخذٌ بحُجَزكُمْ عَنِ النَّارِ، وَأنْتُمْ تَفَلَّتونَ مِنْ يَدَيَّ
Maksudnya: “Perumpamaan aku dengan kamu bagaikan seorang yang menyalakan api, semua kupu-kupu kalkatu berkerumun pada api itu. Orang yang menghalau binatang-binatang itu daripadanya, aku selalu menarik kamu daripada belakang agar jangan sampai kamu masuk ke dalam api. Tetapi kamu selalu melepaskan diri dari tanganku.”
Riwayat al-Bukhari (6483) dan Muslim (2285)
Pelaksanaan dakwah haruslah terancang rapi, serius, sistematik, terarah dan berkesinambungan, bukan sambil lewa dan acak-acakan, benar-benar serius, memanfaatkan segenap tenaga fikiran, dana, kemampuan untuk menyelamatkan masyarakat agar tidak sampai jatuh ke dalam murka Allah.
Dakwah Islam harus mempunyai program yang jelas, terarah, terukur dan teratur. Berapa peratus dimatlamatkan bagi kenaikan jumlah anggota jemaah Subuh, kenaikan jumlah anggota jemaah solat jumaat untuk selang waktu tertentu. Berapa peratus jumlah dimatlamatkan bagi kenaikan jumlah yang boleh membaca dan menulis al-Quran, kenaikan jumlah yang boleh membaca dan menulis hadith, kenaikan jumlah orang yang boleh membaca dan menulis hadith, kenaikan jumlah orang berkhutbah Jumaat untuk selang jangka waktu tertentu. Berapa peratus dimatlamatkan bagi menurunnya jumlah peragut, penyeluk saku, pelacur, pemabuk, penjudi, penjarah dan sebagainya untuk selang waktu tertentu.
Hasil dakwah perlu dimuhasabah secara berkala. Sudah berapa peratus matlamat tercapai? Apa masalah yang merintangi keberhasilan? Indikator-indikator perlu keberhasilan perlu ditentukan. Tentukan juga langkah dan program kerja berikutnya selepas post mortem. Kegiatan dakwah di zaman moden perlu mengambil fungsi operasi sebagaimana sebuah organisasi seperti pengurusan, perencanaan, pengurusan, bimbingan, dan pengawasan. Dalam masa yang sama, tenaga kerja, dana, dan kaedah penyampaian perlu diberi perhatian serius.
Segelintir pendakwah masih hanya bermain retorik di sekitar teks-teks klasik. Kurang membumi, menyentuh ajaran agama secara kontekstual, menjelaskan secara tegas tentang isu-isu semasa seperti faham materialisme yang merosakkan masyarakat. Pendekatan pendakwah juga kurang memahami sosio-budaya setempat yang menatijahkan kurangnya impak terhadap usaha dakwah yang dijalankan. Maka, sudah sampai masanya usaha yang menyeluruh dapat digembleng agar dakwah Islam dapat dirasai kesannya bermula daripada rakyat bawahan hinggalah pemimpin negara demi menyampaikan ajaran Islam sebenar yang penuh dengan kasih sayang.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”