#7988: Pembahagian Golongan yang Didakwah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Dalam berdakwah, sudah tentu banyak golongan yang perlu dihadapi. Bagaimana saya ingin memahami kelompok golongan yang didakwah ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: ‘Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)’.”

(Surah Fussilat: 33)

Dalam usaha menyampaikan dakwah kepada masyarakat, pendakwah seharusnya mengenali dengan baik siapakan golongan yang ingin mereka sampaikan dakwah Islam ini. Setiap golongan mempunyai cara tertentu untuk didakwah sesuai dengan keadaan masing-masing. Ilmuan Islam telah cuba membuat beberapa pembahagian bagi golongan ini.

Pertama: Pembahagian Berdasarkan Keadaan Golongan yang Didakwah

Antara yang menyumbang dalam perbahasan ini adalah Imam al-Syahid Hassan al-Banna. Beliau membahagikan kelompok dakwah kepada empat golongan. Pembahagian yang dibawakan oleh beliau ini berdasarkan kepada keadaan golongan yang didakwah tersebut.

  1. Orang yang Yakin

Iaitu seseorang yang menyakini dakwah kita, mempercayai kata-kata kita dan tertarik dengan prinsip-prinsip kita. Hatinya meyakini sepenuhnya terhadap kebaikan dakwah ini. Orang ini akan kita ajak supaya bersama kita dan bekerjasama dengan kita supaya dengan ini bilangan para mujahidin akan bertambah dan suara para pendakwah akan semakin berkumandang. Tiada erti sebuah keyakinan tanpa disertakan dengan amalan. Tiada erti sebuah akidah jika ia tidak mampu membawa manusia untuk merealisasikannya dan berkorban deminya.

Begitulah sikap generasi yang pertama yang telah diberikan hidayah. Mereka mengikut dan meyakini risalah para nabi kemudian mereka berjuang bersungguh-sungguh. Mereka akan menerima ganjaran yang besar daripada Allah. Mereka juga akan memperolehi ganjaran yang besar daripada Allah. Mereka juga akan memperolehi ganjaran yang sama diperolehi oleh orang yang mengikut mereka. Tidak kurang walau sedikit pun.

  1. Orang yang Sangsi

Mereka ialah orang yang masih belum memahami kebenaran atau masih tidak meyakini keikhlasan kita. Mereka tidak meyakini betapa pentingnya apa yang kita katakan ini. Inilah orang yang tidak berpendirian dan sangsi.

Orang seperti ini akan kita biarkan bersama kesangsiannya. Namun kita nasihatkan agar dia terus berhubung dengan kita. Kita nasihatkan agar dia membaca tentang kita sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dia boleh mengkaji tulisan-tulisan kita atau berkenalan dengan saudara-saudara kita.

Dengan izin Allah selepas itu dia akan merasa lebih yakin dengan kita. Begitulah kedudukan orang-orang yang sangsi dalam kalangan pengikut para rasul sebelum ini.

  1. Orang yang Berkepentingan

Orang yang tidak mahu menghulurkan bantuannya melainkan setelah mengetahui faedah atau keuntungan yang bakal diperolehi hasil segala pengorbanan yang dicurahkan. Bagi mereka ini, kita katakan: “Minta maaf, kami tidak memiliki apa-apa ganjaran selain pahala Allah yang akan diberikan jika anda ikhlas dan syurga jika Allah tahu hati budi baik anda. Kami tidak tidak punyai apa-apa kedudukan atau wang. Malah sebaliknya kami korbankan segala yang kami miliki. Harapan kami hanyalah keredhaan Allah. Allah adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi kemenangan.”

Sekiranya Allah membuka segala tirai yang menutup hati orang ini atau Allah buang sifat haloba daripada hatinya nescaya dia akan mengetahui bahawa apa yang Allah sediakan adalah lebih baik dan lebih kekal. Dia akan menggabungkan dirinya dengan misi dakwah, menggembleng segala kekayaan dunia yang ada padanya supaya dia beroleh ganjaran daripada Allah di hari akhirat kelak. Firman Allah SWT:

مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ ۖ وَمَا عِندَ اللَّهِ بَاقٍ ۗ

Maksudnya: “(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal.”

(Surah al-Nahl: 96)

Jika tirai ini masih utuh, Allah sebenarnya tidak memerlukan orang yang tidak memberikan keutamaan kepada Allah terhadap dirinya sendiri, hartanya, dunianya, akhiratnya, matinya dan hidupnya.

Begitulah kedudukan sekumpulan manusia yang pernah menolak untuk memberi taat setia kepada Rasulullah SAW melainkan jika Baginda menyerahkan kekuasaan kepada mereka iaitu bumi yang merupakan hak milik Allah. Allah yang akan menyerahkannya kepada hamba-Nya yang dikehendaki-Nya. Segala kesudahan itu adalah untuk orang-orang yang bertakwa.

Benarlah firman Allah SWT:

وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُم

Maksudnya: “Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.”

(Surah Muhammad: 38)

Ibn Kathir berkata: Iaitu, tetapi mereka semua sifatnya mendengar dan mematuhi kepada-Nya dan semua perintah-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/324)

  1. Orang yang Berprasangka

Mereka ialah orang yang prejudis dengan kita dan terlalu dikuasai oleh prasangka buruknya terhadap kita. Orang  seperti ini melihat kita dengan pandangan yang sangat buruk. Mereka hanya memperkatakan tentang kita dengan kata-kata yang memburukkan kita. Mereka ini begitu degil dengan kesilapannya dan masih mahu mempertahankan salah fahamnya.

Orang yang seperti ini kita akan doakan semoga Allah berikan kita dan dia hidayah supaya sama-sama boleh melihat kebenaran kemudian diberikan kekuatan untuk mengikuti kebenaran tersebut serta boleh melihat kepalsuan kemudian diberikan kekuatan untuk menjauhinya. Kita mengajaknya dan jika dia mahu untuk menerima ajakan daripada kita. Kita menyeru dia dan jika dia mahu menyahut seruan kita. Kita doakan kebaikan untuknya dan Allah adalah harapan kita.

Zaman yang semakin mencabar dengan dunia tanpa sempadan menyaksikan banyaknya ruang-ruang dakwah kepada warganet melalui Facebook, Twitter, Instagram, Youtube dan Tik Tok misalnya. Setiap platform ini mewakili satu kelompok masyarakat atau satu peringkat umur yang perlu disantuni dengan pendekatan yang pelbagai dan kreatif. Maka, hendaklah hal ini diteliti sebaiknya.

Kedua: Pembahagian Berdasarkan Sifat Golongan yang Didakwah

Terdapat juga pembahagian lain yang dibawakan oleh Syeikh ‘Abd al-Karim Zaidan yang menitikberatkan sifat atau peringkat golongan yang disampaikan kepada mereka dakwah Islam.

  1. Pemimpin

Golongan pertama adalah al-mala’ (المَلَأْ). Para ilmuan tafsir mengatakan bahawa al-mala’ (المَلَأْ) ini merujuk kepada pembesar-pembesar dan pemimpin dalam sesebuah masyarakat. Sifat ini diberikan kepada mereka yang suka terkehadapan dalam mewujudkan persengketaan terhadap dakwah ke jalan Allah SWT. Mereka ini golongan yang mengatur pendustaan, fitnah, penyesatan bertentangan dengan dakwah para nabi.

Firman Allah SWT di dalam kitab-Nya:

لَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِۦ فَقَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥٓ إِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍۢ (٥٩) قَالَ ٱلْمَلَأُ مِن قَوْمِهِۦٓ إِنَّا لَنَرَىٰكَ فِى ضَلَـٰلٍۢ مُّبِينٍۢ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah dia: ‘Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat). Ketua-ketua dari kaumnya berkata: ‘Sesungguhnya kami nampak kamu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata’.”

(Surah al-A‘raf: 59-60)

Antara sebab utama mengapa mereka ini cukup keras terhadap dakwah Islam:

  • Keangkuhan dan kesombongan.
  • Cintakan pangkat dan jawatan.

Uslub dakwah bagi golongan ini sedikit berbeza dengan yang lain. Sekiranya diteliti jalan dakwah para nabi dan rasul kepada pemimpin-pemimpin kaum mereka, kita akan dapati beberapa kaedah yang mereka gunakan, antaranya:

-Mengajak dengan kelembutan bahasa dan kehalusan budi pekerti. Ini dapat dilihat dalam dakwah Nabi Nuh A.S dan Nabi Hud A.S sebagaimana dalam firman Allah SWT:

إِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍۢ

Maksudnya: “(Nabi Hud A.S berkata:) ‘Sesungguhnya aku takut, (bahawa) kamu akan ditimpa azab seksa hari yang besar (huru-haranya)’.”

(Surah al-Syu‘ara’: 135)

Baginda A.S tidak mengatakan: “Kalian pasti ditimpa azab seksa!”, tetapi sebaliknya Baginda menyuarakan kegusarannya terhadap keadaan mereka kelak di hari akhirat.

Selain itu, jika berkemampuan, bolehlah berbahas dan berdebat bagi menolak syubhah yang dilontarkan. Ini juga jelas disebutkan di dalam al-Quran, bagaimana para nabi dan rasul akan membawakan hujjah untuk mematahkan syubhah serta dakwaan golongan al-mala’ (المَلَأْ) ini. Firman Allah SWT:

وَجَعَلُوا۟ لِلَّهِ شُرَكَآءَ ٱلْجِنَّ وَخَلَقَهُمْ ۖ وَخَرَقُوا۟ لَهُۥ بَنِينَ وَبَنَـٰتٍۭ بِغَيْرِ عِلْمٍۢ ۚ سُبْحَـٰنَهُۥ وَتَعَـٰلَىٰ عَمَّا يَصِفُونَ (١٠٠) بَدِيعُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُۥ وَلَدٌۭ وَلَمْ تَكُن لَّهُۥ صَـٰحِبَةٌۭ ۖ وَخَلَقَ كُلَّ شَىْءٍۢ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۭ (١٠١) ذَٰلِكُمُ ٱللَّهُ رَبُّكُمْ ۖ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ خَـٰلِقُ كُلِّ شَىْءٍۢ فَٱعْبُدُوهُ ۚ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ وَكِيلٌۭ

Maksudnya: “Dan mereka menjadikan jin sekutu bagi Allah, padahal Allah jualah yang mencipta jin-jin itu; dan mereka berdusta terhadap Allah dengan mengada-adakan bagi-Nya anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan. Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah Ia dari apa yang mereka sifatkan! (Dia lah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Ia mempunyai anak sedang Ia tidak mempunyai isteri? Ia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya. Yang demikian (sifat-sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadahlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya.”

(Surah al-An‘am: 100-102)

  1. Masyarakat Awam

Masyarakat awam ini adalah mereka yang selain dari golongan pertama – al-mala’ (المَلَأْ) -. Mereka ini kebiasaannya hanya mengikut sahaja golongan al-mala’ (المَلَأْ), dan termasuklah dalam golongan ini dari kalangan fakir dan miskin.

Pada kebiasaannya, mereka ini lebih mudah untuk menerima dakwah dan juga nasihat. Dikisahkan dalam sebuah hadith daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas R.A, bahawa Qaisar bertanya kepada Abu Sufyan tentang siapakah yang mengikuti ajaran Rasulullah SAW. Katanya:

فَأَشْرَافُ النَّاسِ يَتَّبِعُونَهُ أَمْ ضُعَفَاؤُهُمْ؟ قُلْتُ: بَلْ ضُعَفَاؤُهُمْ، قَالَ: فَيَزِيدُونَ أَوْ يَنْقُصُونَ؟ قُلْتُ: بَلْ يَزِيدُونَ

Maksudnya: “‘Adakah golongan bangsawan mengikutinya atau hanya golongan yang lemah di kalangan mereka?’ Aku (Abu Sufyan) berkata: ‘Bahkan golongan lemah dalam kalangan mereka yang mengikutinya.’ Qaisar berkata: ‘Adakah pengikutnya bertambah atau berkurang?’ Aku berkata: ‘Bahkan semakin bertambah’.”

Riwayat al-Bukhari (2941)

Hujjah bahawa mereka ini lebih mudah menerima dakwah kerana mereka ini bebas dari sifat-sifat yang ada pada golongan pemimpin, seperti cintakan jawatan dan kuasa, angkuh dan berbesar diri. Oleh itu, mereka lebih mudah menerima kebenaran dan dibimbing. Ini sepertimana yang diisyaratkan oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsir beliau.

  1. Munafik

Golongan munafik ini pada zahir mereka berbeza dengan apa yang tersirat di dalam hati mereka dari pendustaan terhadap keimanan.

Pendakwah perlu memberi perhatian kepada amar makruf nahi mungkar dan mengajarkan kepada generasi muda prinsip-prinsip yang benar, kerana membentuk generasi yang membina ini akan memberikan kebaikan kepada dirinya sendiri dan dapat mengembalikan manfaat buat orang lain. Prinsip-prinsip ini adalah dengan mengingkari perbuatan kerosakan yang dilakukan dan tidak berdiam diri terhadap kerosakan tersebut.

Tanggungjawab pendakwah juga adalah untuk menekankan kepentingan memelihara solat dengan cara yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, termasuk memenuhi rukun, kewajiban, dan sunnah-sunnah solat yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Ini juga melibatkan menjaga waktu solat, serta memastikan pelaksanaannya secara jemaah di masjid, agar seorang Muslim dapat terhindar dari sikap munafik.

  1. Ahli Maksiat

Manakala ahli maksiat pula, mereka ini boleh jadi dari kalangan orang yang jahil akan hukum agama, dan boleh jadi sebaliknya. Setiap dari mereka memerlukan uslub dakwah yang berbeza agar mereka tidak semakin menjauh dari kebenaran, seterusnya enggan menerima yang haq.

Sekiranya orang tersebut jahil akan hukum agama, maka seseorang pendakwah itu perlu memperbanyakkan bersabar dengan kejahilan mereka, dan mengajak mereka dengan penuh kelembutan.

Akan tetapi jika mereka mempunyai ilmu, maka pendakwah itu perlu menyampaikan teguran dengan penuh hikmah dan peringatan yang baik. Berikan juga kepada mereka perumpamaan yang dapat dicerna oleh akal serta pancaindera agar keimanan mereka bertambah, dan mereka dapat istiqamah mentaati Allah SWT serta Rasul-Nya. (Lihat Usul al-Da‘wah, hlm. 380-409)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ،

Maksudnya: “Ya Allah, berikan petunjuk kepada ku sebagaimana orang-orang yang telah Kau berikan hidayah. Berikan aku keselamatan sebagaimana orang-orang yang telah Kau berikan keselamatan. Jadikan aku sebagai wali sebagaimana mereka yang telah Kau jadikan wali. Berkati untuk aku apa yang telah Kau berikan kepada ku, selamatkan ku daripada keburukan yang telah Kau takdirkan.”