#7989: Minuman Bukan Arak Keluaran Syarikat Arak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana hukum minuman bukan arak, tetapi merupakan keluaran syarikat arak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, berkenaan air keluaran syarikat arak, ia terbahagi kepada dua jenis.

Jenis Pertama: Air yang dibuat atau diproses dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol lalu alkoholnya disuling.

Air dalam kategori ini tetap dihukumkan sebagai haram untuk diminum sekalipun alkoholnya sudah disuling. Hal ini kerana arak tetap diharamkan sekalipun tidak memabukkan atau ia diambil dalam kuantiti yang sedikit berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah  R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ

Maksudnya: “Apa sahaja yang memabukkan sama ada banyak atau sedikit, ia adalah haram.

Riwayat Abu Daud (3681) dan al-Tirmizi (1865)

Selain itu, ini juga kerana proses penyulingan alkohol daripadanya semata-mata tetap tidak dapat menjadikannya suci dan bebas daripada dianggap sebagai najis.

Jenis Kedua: Air yang dibuat atau diproses bukan dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak atau bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak.

Maka, secara umumnya air dalam kategori ini adalah harus untuk diminum berdasarkan kepada hukum asal air itu sendiri. Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan bahawa hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Selain itu, hal ini juga bertepatan dengan kaedah:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan (atau minuman) yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudharatan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi (kerana ia adalah suci dan tidak memudharatkan) dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Tambahan lagi, ini juga selari dengan keputusan yang diputuskan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan Isu Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011. Di antara perkara yang diputuskan adalah:

  • Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.
  • Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
  • Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.

Sekalipun pada asalnya ia adalah diharuskan, tetapi hukumnya boleh berubah menjadi haram disebabkan oleh penghasilannya di syarikat arak atau melibatkan bermuamalat dengan syarikat arak, ditambah lagi bentuknya yang menyerupai arak yang sebenar.

Hal ini kerana arak itu bukan sahaja diharamkan pada zatnya (yakni untuk diminum), bahkan  juga terdapat hadith yang jelas melarang daripada sebarang penglibatan dan aktiviti berkaitan arak sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصَرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا، وَحَامِلُهَا وَالْمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ وَسَاقِيهَا وَبَائِعُهَا، وَآكِلُ ثَمَنَهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا وَالْمُشْتَرَي لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan yang ada hubung kait dengan arak iaitu orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjualnya, orang yang memakan hasil jualan arak, orang yang membeli arak dan yang dijual untuknya.

Riwayat al-Tirmizi (1295)

Syeikh ‘Atiyyah al-Saqr ketika ditanya tentang orang yang bekerja di sektor yang membantu penjualan arak beliau menjawab bahawa orang yang memberi minum arak kepada orang lain mendapat dosa yang sama seperti mana yang telah diberitahu oleh nas hadith. Sama ada dia redha dengan perbuatan tersebut dan orang yang redha dengan maksiat maka akan dihukum dengan hukuman yang sama orang yang melakukannya. Ataupun dia hanya membantu dalam perkara maksiat. Orang yang membantu dalam perkara maksiat maka dia turut serta mendapat dosa disebabkan maksiat tersebut. (Lihat Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, 3/186).

Di sana terdapat kaedah menyebutkan:

كُلُّ مَا أَدَّى إِلَى حَرَامٍ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: “Setiap yang membawa kepada haram, maka hukumnya juga adalah haram.

Berdasarkan kaedah di atas, maka membantu dalam perkara yang diharamkan oleh Allah SWT adalah dikira sebagai berdosa. Bahkan perkara ini dikuatkan lagi dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).

Di samping itu, kita juga dituntut supaya tidak menunjukkan sikap redha dan bersetuju dengan golongan yang meminum arak. Ini bersandarkan hujahan dan nas yang menunjukkan kepada larangan ke atas perbuatan tersebut. Di antaranya nas umum berdasarkan firman Allah SWT:

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ ۚ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.

(Surah al-Nisa’: 140)

Abu Ja‘far al-Tabari ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, dalam ayat ini mengandungi dalil yang jelas mengenai larangan duduk bermajlis bersama golongan kebatilan dari segenap jenis lapisan daripada kalangan ahli bidaah dan juga golongan fasik, semasa mereka melakukan kebatilan tersebut. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 9/320).

Selain itu, terdapat juga riwayat yang jelas daripada Nabi SAW berkenaan larangan duduk di dalam majlis yang dihidangkan padanya arak. Ini berdasarkan riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يَشْرَبِ الْخَمْرَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يَجْلِسْ عَلَى مَائِدَةٍ يُشْرَبُ عَلَيْهَا الْخَمْرُ

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan juga hari akhirat, janganlah dia meminum arak. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah dia duduk pada hidangan yang diminum padanya arak.

Riwayat al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib (1/120); riwayat al-Tabarani (11462) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (5585) dengan sedikit perbezaan lafaz.[1]

Justeru, konteks hadith di atas jelas menunjukkan kepada larangan untuk kita berkompromi dengan majlis yang di dalamnya terdapat hidangan arak.

Berasaskan kepada kaedah ini, jika kita membeli sebarang produk syarikat arak, walaupun produk itu berstatus bukan arak, ia tetap dikira bersubahat atau berkompromi dengan arak kerana menyumbang kepada kelangsungan syarikat arak tersebut.

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa minuman yang dihasilkan oleh syarikat arak dan dibotolkan (packaging) sebagaimana rupa bentuk botol arak sekalipun ia dihasilkan bukan melalui proses pembuatan arak adalah dilarang untuk diminum. Bagi hal ini, kami mengambil pendekatan Sadd al-Zarai‘ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada galakkan mendekati produk arak tersebut, penyerupaan budaya arak, tidak sensitif terhadap isu pengharaman arak dan sebagainya. Seterusnya ia boleh membawa kepada kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan dikhuatiri mereka akan terjebak dengan meminum air arak yang sebenar dengan sangkaan ia adalah “soju halal”, “arak halal” atau seumpamanya.

Selain daripada itu, berkemungkinan besar penghasilan air arak tanpa alkohol atau arak 0% alkohol atau seumpamanya, lalu ia dibotolkan dalam rupa bentuk arak, tujuannya adalah sebagai strategi pemasaran untuk mempromosikan arak yang sebenar. Maka, dengan membenarkan hal itu secara tidak langsung menyebabkan umat Islam terjebak dalam bersubahat menggalakkan meminum arak serta tidak lagi sensitif dengannya mahupun menganggapnya sebagai suatu larangan yang keras dalam agama.

Tambahan lagi, dalam kalangan ulama ada menyebutkan beberapa perkara, yang mana orang kafir zimmi tidak boleh menzahirkannya kepada orang Islam. Ini adalah seperti mana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Haitami bahawa termasuk dalam perkara yang ditegah adalah menzahirkan kemungkaran dalam kalangan orang Islam seperti arak, babi dan loceng gereja. Menurut beliau lagi, di antara sebab perkara-perkara itu ditegah adalah kerana ia boleh membawa kepada pelbagai kemungkaran yang lain. Selain itu, perkara yang turut dilarang sama sekali dan tidak boleh dizahirkan ialah syiar atau lambang kekufuran dan kemungkaran. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/301).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

 

Nota Hujung:

[1] Al-Haithami menyebutkan dalam Majma‘ al-Zawa’id (1/283) bahawa di dalamnya terdapat perawi yang bernama Yahya bin Abu Sulaiman al-Madani. Dia telah dinilai sebagai dha‘if (lemah) oleh Imam al-Bukhari dan Abu Hatim, tetapi dinilai sebagai thiqah oleh Ibn Hibban. Begitu juga pengarang Sahih al-Targhib (2350) menilainya sebagai sahih li ghairihi.