#7992: Penyebab Kerosakan Hati

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang apa penyebab yang menyebabkan kerosakan hati seseorang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ

Maksudnya: Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

(Surah al-Baqarah: 10)

Imam al-Qurtubi menafsirkan (مَّرَضٌ) sebagai kerosakan pada akidah, kerana ia berlaku sama ada dengan syak wasangka dan kemunafikan, atau pengingkaran dan pendustaan. Maksudnya, Hati-hati mereka itu telah rosak kerana hilangnya al-‘ismah, taufiq, pemeliharaan dan juga sokongan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 1/197)

Daripada Nu’man bin Basyir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Imam al-Nawawi berkata: Para ulama’ menyebut bahawa meskipun hati (jantung) itu kecil berbanding bahagian tubuh yang lain, namun baik dan buruknya jasad itu adalah bergantung kepada hati. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 11/29) Begitu juga disebut bahawa hati merupakan raja bagi segala anggota badan (malik al-a’dha’), manakala anggota badan adalah tenteranya. (Lihat Jami’ al-‘Ulum, 1/210)

Ibn al-Qayyim berkata: Hati berfungsi sepertimana raja yang berkuasa mengatur pasukannya, di mana semuanya berasal dari perintahnya. Dari hati akan menjadikan seseorang (mengikuti) perkara yang lurus atau yang menyimpang. Seluruh anggota badan mengikuti tekad kuat hati atau mengikut sesuatu yang tidak dikehendaki oleh hati. (Lihat Ighasatu al-Lahfan, 1/5)

Menurut Imam al-Hasan al-Basri,[1] terdapat sekurang-kurangnya enam perkara yang menjadi penyebab kepada rosaknya hati, iaitu:

  • Melakukan dosa dengan berharap kelak dia dapat bertaubat.
  • Menuntut ilmu tetapi tidak mengamalkannya.
  • Melakukan amalan, namun tidak ikhlas.
  • Memakan rezeki Allah, tetapi tidak bersyukur.
  • Tidak redha dengan pembahagian kurniaan Allah.
  • Mengebumikan orang mati, namun tidak mengambil pelajaran daripadanya. (Lihat Iqaz al-Himam, 1/96)

Menurut Ibn Rajab, di antara perkara yang menyebabkan rosaknya hati adalah:

اتِّبَاعُ الْهَوَى وَطَلَبَ مَا يُحِبُّهُ وَلَوْ كَرِهَهُ

 Maksudnya: “Mengikut hawa nafsu dan mencari apa yang dicintai meskipun ia sesuatu yang dibenci.” (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/219).

Begitu juga Ibn al-Qayyim dalam Madarij al-Salikin menyebutkan tentang lima perkara yang menjadi punca kerosakan hati yang paling banyak dan paling besar, iaitu:

  • Bersosial dan bergaul.

Kesan dari banyak bersosial dan bergaul dengan orang lain, hati seseorang akan penuh dengan asap dari nafas manusia lain sehingga hatinya menjadi gelap, mengakibatkannya terganggu dan berbelah-bahagi, berilusi, kemurungan, lemah, serta memikul beban rakan-rakan yang jahat. Ia juga menyebabkan kemaslahatan dirinya kian menghilang kerana disibukkan dengan isu-isu sosial, dan fikirannya terbahagi pada permintaan dan kehendak mereka. Maka apa sahaja yang berbaki pada hatinya untuk Allah SWT dan hari akhirat?

  • Angan-angan.

Angan-angan ini ibarat lautan yang tidak bertepian, dan itulah lautan yang dilayari oleh golongan muflis di dunia ini. Angan-angan juga diibaratkan seperti wang modal bagi golongan muflis, dan barang dagangan peniaga itu adalah janji-janji syaitan serta khayalan-khayalan yang mustahil dan dusta. Gelombang ombak angan-angan palsu dan khayalan yang tidak benar, terus membadai penumpangnya sebagaimana ia membadai mayat di lautan.

  • Terikat dengan selain Allah.

Terikat dengan selain Allah adalah salah satu kerosakan yang paling besar, kerana tidak ada yang lebih merugikan daripada itu, dan tidak ada yang lebih memutuskan hubungan dengan Allah dan menghalangnya daripada mencapai kebaikan dan kebahagiaan daripadanya. Apabila seseorang bergantung dengan selain Allah, Allah SWT akan memberi kuasa sepenuhnya kepada yang lain yang dia bergantung tersebut, meninggalkannya pada pihak yang dia bergantung tersebut, dan menghalangnya daripada mencapai tujuan yang dikehendaki daripada Allah dengan mensyirikkan kepada yang lain dan berpaling daripadanya. Oleh itu, nasibnya itu tidak akan mendapat jaminan daripada Allah, dan dia tidak akan mencapai apa yang diharapkan daripada apa yang dia bergantung tersebut. Allah SWT berfirman:

وَاتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ آلِهَةً لِّيَكُونُوا لَهُمْ عِزًّا (81) كَلَّا ۚ سَيَكْفُرُونَ بِعِبَادَتِهِمْ وَيَكُونُونَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا

Maksudnya: Dan mereka yang kafir menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka. Tidak sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.”

(Surah Maryam: 81-82)

Dan Allah SWT berfirman:

وَاتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ آلِهَةً لَّعَلَّهُمْ يُنصَرُونَ (74) لَا يَسْتَطِيعُونَ نَصْرَهُمْ وَهُمْ لَهُمْ جُندٌ مُّحْضَرُونَ

Maksudnya: “Dan tergamak mereka menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah, (dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (dari makhluk-makhluk itu).Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka”

(Surah Yasin: 74-75)

Orang yang paling besar kekecewaannya ialah orang yang bergantung kepada selain Allah. Sesungguhnya apa yang telah terlepas daripadanya dalam urusannya, kebahagiannya, dan kesejahteraannya adalah lebih besar daripada apa yang diperoleh oleh orang yang dia bergantung kepadanya. Dia berada dalam keadaan mudah hancur dan kehilangan. Perumpamaan orang yang bergantung kepada selain Allah adalah seperti orang yang mencari perlindungan daripada panas dan sejuk di rumah labah-labah yang adalah rumah yang paling lemah.

Secara keseluruhan, asas syirik dan prinsip yang dibina di atasnya adalah: Bergantung hatinya dengan yang lain selain Allah, dan pemiliknya akan mendapat celaan dan kekecewaan, sebagaimana Allah berfirman:

لَا تَجْعَلْ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ فَتَقْعُدَ مَذْمُومًا مَخْذُولًا

Maksudnya: Janganlah kamu menjadikan bersama Allah tuhan yang lain, supaya kamu tidak menjadi orang yang tercela dan terhina”

(Surah Al-Isra: 22)

Kerosakan hati yang timbul, yang berpunca daripada makanan terbahagi kepada dua jenis:

Jenis pertama: Makanan yang merosakan hati disebabkan oleh zatnya atau makanan itu sendiri seperti makanan yang diharamkan syarak. Kemudian, ia terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama, makanan yang diharamkan oleh Allah yang berkaitan dengan hak-Nya seperti bangkai, darah, daging babi, haiwan buas yang mempunyai taring yang memburu dengan taringnya dan burung yang mempunyai kuku mencengkam yang memburu makanan dengan kukunya. Manakala kategori kedua pula, makanan yang haram disebabkan oleh hak-hak manusia seperti makanan yang dicuri, dirampas, dan diambil tanpa persetujuan pemiliknya, sama ada dengan paksaan atau dengan perasaan malu.

Jenis kedua: Makanan yang merosakan hati disebabkan berlebihan dan melampaui batas seperti membazir dalam pengambilan makanan yang halal dan menjadikannya terlalu kenyang. Ini kerana berlebihan dalam pengambilan makanan akan menyebabkan dirinya berat untuk melakukan ketaatan dan menyibukkannya dengan mencari dan mengejar kesenangan perut sehingga dia berjaya memperolehinya. Apabila dia berhasil mendapatkannya, dia disibukkan pula dengan menguruskannya dan mencegah kemudaratannya, terkesan dengan beratnya, ditambah lagi dengan semakin kuatnya godaan hawa nafsu dan jalan bagi bisikan syaitan yang semakin meluas. Hal ini kerana sesungguhnya syaitan berjalan dalam diri seseorang seperti mana mengalirnya darah.[2] Namun, puasa menyempitkan laluannya dan menghalang jalan-jalannya, sedangkan kenyang membuka jalan-jalan itu dan memperluaskannya.

Justeru, sesiapa yang makan banyak, minum banyak, tidur banyak, dia akan kehilangan banyak perkara. Hal ini adalah sebagaimana hadith yang masyhur, daripada al-Miqdam bin Ma’di Karib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ حَسْبُ الْآدَمِيِّ لُقَيْمَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ فَإِنْ غَلَبَتْ الْآدَمِيَّ نَفْسُهُ فَثُلُثٌ لِلطَّعَامِ وَثُلُثٌ لِلشَّرَابِ وَثُلُثٌ لِلنَّفَسِ

Maksudnya: “Tidaklah anak Adam memenuhi tempat yang lebih buruk daripada perutnya, ukuran bagi (perut) anak Adam adalah beberapa suapan yang hanya dapat menegakkan tulang punggungnya. Jika jiwanya menguasai dirinya, maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minum dan sepertiga untuk bernafas.”

Riwayat Ahmad (17186); al-Tirmizi (2380); al-Nasa’i dalam al-Kubra (6737-6739); Ibn Majah (3349); Ibn Hibban (674, 52356); al-Hakim (4/121) daripada hadith al-Miqdam bin Ma‘dikarib. Imam al-Tirmizi menilainya sebagai hadith hasan sahih.

  • Banyaknya tidur

Terlalu banyak tidur, ia mematikan hati, mengurangkan kecergasan badan, membuang masa, dan menyebabkan kealpaan dan kemalasan yang berlebihan. Ia adalah sesuatu yang dibenci, dan ia merosakkan tubuh yang tidak  memberi sebarang  faedah kepadanya.

Tidur yang paling memberi faedah adalah ketika sangat memerlukannya, tidur awal pada malam hari lebih terpuji dan bermanfaat daripada tidur di waktu akhir malam, tidur di tengah hari lebih memberi manfaat daripada tidur di hujung kedua-dua waktu tersebut. Setiap kali tidur hampir pada waktu penghujung dari kedua-dua waktu tersebut, maka manfaatnya berkurang dan mudaratnya bertambah, terutamanya tidur petang dan tidur awal di waktu siang kecuali bagi mereka yang tidur pada  larut malam.

Terdapat beberapa perkara yang tidak digemari oleh ulama, antaranya ialah tidur di antara waktu subuh dan terbitnya matahari. Waktu ini adalah waktu yang bernilai tinggi, dan bagi mereka yang mengembara mencari kebaikan, berjalan pada masa ini adalah satu kelebihan besar. Walaupun mereka berjalan sepanjang malam, mereka tidak dibenarkan untuk duduk atau berhenti sehingga matahari terbit. Ini kerana waktu ini adalah permulaan hari, kunci kejayaan, saat turunnya rezeki, pembahagian takdir, dan waktu  kedatangan keberkatan. Dari masa inilah siang bermula dan keseluruhan hukum bergantung pada masa ini. Oleh itu, seharusnya tidur pada waktu ini dilakukan sebagaimana orang yang amat memerlukannya. (Lihat Madarij al-Salikin,  2/87-97)

Pendapat Imam al-Muhasibi dan Penyelesaiannya

Imam al-Muhasibi[3] pula menyatakan bahawa terdapat dua perkara utama yang mengakibatkan rosaknya hati. Beliau berkata:

وَأَصْلُ فَسَادِ الْقَلْبِ: تَرْكُ الْمُحَاسَبَةِ لِلنَّفْسِ ، وَالْإِغْتِرَارِ بِطُوْلِ الْأَمَلِ

Maksudnya: “Perkara utama yang membawa kepada rosaknya hati adalah: Meninggalkan muhasabah diri dan tertipu dengan panjangnya angan-angan.” (Lihat Risalah al-Mustarsyidin, hlm. 110)

Seterusnya, beliau mengingatkan kita agar sentiasa memohon pertolongan kepada Allah dalam usaha mengatasi perkara tersebut. Beliau berkata:

وَاسْتَعِنْ عَلَى قِصَرِ الْأَمَلِ بِدَوَامِ ذِكْرِ الْمَوْتِ

Maksudnya: “Dan mohonlah pertolongan untuk membataskan angan-angan dengan cara sentiasa mengingati kematian. (Lihat Risalah al-Mustarsyidin, hlm. 110)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Nota Hujung:

[1] Al-Hasan al-Basri dilahirkan di Madinah pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab pada tahun 21 Hijrah (642 Masihi). Beliau juga telah didoakan oleh Saidina Umar agar menjadi tokoh dan ikutan kepada khalayak masyarakat. Beliau pernah menyusu dengan Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW. Al-Hasan al-Basri juga pernah berguru kepada beberapa orang sahabat Rasulullah SAW sehingga beliau muncul sebagai ulama terkemuka dalam peradaban Islam. Al-Hasan al-Basri telah meninggal dunia di Basrah, Iraq, pada hari Jumaat 5 Rejab 110 Hijrah (728 Masihi), pada umur 89 tahun. Beliau pernah hidup pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan.

[2] Hal ini adalah sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنَ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ، وَإِنِّي خَشِيتُ أَنْ يُلْقِيَ فِي أَنْفُسِكُمَا شَيْئًا

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan berjalan dalam diri seseorang sepertimana mengalirnya darah, dan sesungguhnya aku bimbang jika dicampakkan sesuatu ke dalam hati kamu berdua.

Riwayat al-Bukhari (2038)

[3] Harith al-Muhasibi adalah seorang ulama dan guru dalam ilmu akidah Islam dan akhlak di Baghdad. Nama lengkapnya adalah Abu Abdillah al-Harith bin Asad al-Basri al-Muhasibi. Beliau lahir pada tahun 165 Hijriyah di Basrah atau bertepatan dengan tahun 781 Masehi. Al-Muhasibi pindah ke Baghdad ketika usianya masih muda untuk belajar hadis dan agama dari para ulama pada masanya. Beliau meninggal di Baghdad pada tahun 243 Hijriyah atau 857 Masehi.

Pemikiran dan ajaran al-Muhasibi termasuk dalam sufisme. Tulisan-tulisannya mempengaruhi pemikiran Abu Hamid al-Ghazali. Karya terbesarnya adalah kitab al-Ri’ayah li Ruquq al-Insan. Al-Muhasibi menjadi salah satu tokoh yang pertama membahas masalah moral dan hal-hal yang berkaitan dengannya seperti latihan jiwa, taubat, sabar, ikhlas, tawakal, takwa, dan rasa takut. Pemikiran al-Muhasibi menggabungkan antara ilmu syariat Islam dengan ilmu hakikat. Gelar al-Muhasibi diberikan kepadanya kerana ia sering mengadakan muhasabah. Di Baghdad, al-Muhasibi menjadi salah satu pengasas aliran tasawuf Baghdad bersama dengan al-Junaid, Abu Hamzah al-Baghdadi, Abu Husain al-Nuri, dan Sari al-Saqati.